Isnin, 15 Ogos 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tertuduh sihat, beri kerjasama

Posted:

Tertuduh sihat, beri kerjasama

Tertuduh sihat, beri kerjasama

SHAH ALAM 15 Ogos - Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa tiga tertuduh yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi berada dalam keadaan sihat, boleh berbual serta memberi kerjasama yang baik semasa disoal siasat pada September tahun lalu.

Pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan, 45, berkata, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan di temu bual di bilik soal siasat, Balai Polis Selayang pada 11 September secara berasingan.

Sementara soal siasat pada 12, 13 dan 14 September pula berlaku semasa mereka berada di tempat-tempat kejadian iaitu Ladang Gadong, Sungai Panchau, jabatan sungai Kampung Endah dan berhampiran sungai di ladang kelapa sawit, Kampung Kelanang, Banting.

''Pada 11 September 2010, temu bual dijalankan ke atas mereka pada mulanya bagi kes pembunuhan berkaitan laporan polis Selayang, tetapi maklumat yang diberi berkaitan kes kehilangan empat orang (Sosilawati dan tiga lagi).

''Semasa Kathavarayan ditemu bual, dia duduk di kerusi dalam keadaan bergari dan saya hanya bersama dia selama 50 minit. Kemudian saya temu bual Thilaiyalagan selama 20 minit sebelum pergi berjumpa suspek-suspek lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap Thilaiyalagan dan Kathavarayan semasa disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes.

Menurut Govindan, beliau dan pasukannya menggunakan kaedah soal jawab yang mana suspek akan turut disoal semula berdasarkan jawapan diberikan oleh mereka.

Beliau juga menafikan berlaku sebarang kekerasan, paksaan atau penggunaan senjata semasa kesemua tertuduh disoal siasat, selain tidak pernah meminta Thilaiyalagan mengaku membunuh keempat-empat mangsa.

Di samping makanan dibekalkan untuk kesemua tertuduh termasuk semasa berada di tempat kejadian, beliau juga memberitahu bahawa Sarjan N. Thiagarajan memegang kepala Thilaiyalagan semasa berada di atas jambatan Sungai Kampung Endah atas permintaan tertuduh yang mahu mengelakkan wajahnya dirakamkan oleh media.

''Kita sendiri tidak tahu dia buat atau tidak. Jadi sebab itu kita guna kaedah soal jawab. Semasa soal siasat tidak dibenarkan membawa senjata api. Saya memang dibekalkan senjata tetapi sudah lima atau enam tahun saya tidak pakai senjata api.

''Segala tohmahan dalam laporan polis yang dibuat oleh Thilaiyalagan dan Kathavarayan juga tidak pernah berlaku. Semua tuduhan itu tidak berasas,'' jelas beliau.

Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bekas peguam serta, tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, Kathavarayan semasa memberi keterangan mengakui laporan polis yang dibuat pada 6 Julai lalu ditulis oleh peguamnya. Ravi Nekoo dengan isi kandungan diberikan olehnya.

Tertuduh keempat itu juga mengakui dalam laporan tersebut tidak menyebut dia dipukul selama satu setengah jam di Balai Polis Selayang walaupun dia memberitahu perkara itu dalam keterangannya di mahkamah.

Dia yang pada mulanya memberitahu tidak dapat mengecam kerana ramai yang memukulnya semasa di ladang, bagaimanapun mengatakan bahawa ramai yang berada di ladang dan bukan memukulnya semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Walaupun mendakwa Govindan mengugut untuk menembaknya sehingga mati, Kathavarayan mengaku pegawai polis itu tidak pernah menunjukkan pistol kepadanya.

Sementara itu, tertuduh kedua, Thilaiyalagan tidak berada di kandang tertuduh sepanjang prosiding hari ini selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonannya untuk berada di lokap mahkamah.

Permohonan itu dibuat oleh lelaki itu kerana merasa amat sedih berikutan kematian bapanya akibat terjatuh di Ampang dekat sini, malam semalam.

Perbicaraan yang masuk hari ke-23 bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Anwar akhirnya beri keterangan bela diri Isnin depan

Posted:

Anwar akhirnya beri keterangan bela diri Isnin depan

Anwar akhirnya beri keterangan bela diri Isnin depan

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya akan memberi keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin depan, setelah dua kali berjaya menangguhkan perbicaraan peringkat pembelaan sejak 8 Ogos lalu.

Pihak pembelaan dan pasukan pendakwaan mengesahkan bahawa Anwar akan memberi keterangan pada 22 Ogos ini, setelah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal berbuat demikian pada hari ini memandangkan enam saksi masih belum dapat ditemu bual oleh mereka.

Hakim Datuk Mohamd Zabidin Mohd. Diah membenarkan tarikh tersebut ditetapkan untuk Anwar membela diri tanpa mengambil kira sama ada keenam-enam saksi itu telah berjaya ditemu bual atau sebaliknya.

Enam saksi yang masih belum ditemu bual ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; ibu kepada bekas tunang pengadu, Sharehah Md. Salim; jururawat di Hospital Pusrawi, Yazihan Jusoh; dan bekas pengawal peribadi tertuduh, Mohd. Rasid Mohd. Rosdi.

Turut tersenarai ialah dua bekas pembantu rumah pemilik unit kondominium yang didakwa sebagai saksi tempat kejadian, Fitria Dipan dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Suliati. Kedua-duanya dipercayai telah pulang ke negara asal mereka, Indonesia.

Sharehah bagaimanapun ditemu bual pada hari ini selepas prosiding mahkamah berakhir. Musa pula berada di luar negara dan dijangka pulang dalam minggu ini.

Anwar sepatutnya mula memberi keterangan bela diri pada 8 Ogos lalu tetapi ditunda ke hari ini setelah mahkamah membenarkan permohonannya untuk menemu bual saksi-saksi terlebih dahulu.

Terdahulu, peguam Sankara Nair yang mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu mahkamah, pihaknya telah menemu bual 19 saksi yang berpotensi, manakala enam lagi masih belum dapat ditemu bual.

Nair juga memberitahu bahawa pihaknya telah membayangkan senarai saksi-saksi yang akan dipanggil kepada pihak pendakwaan.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan pula menyatakan, pihaknya akan cuba menyediakan keenam-enam saksi terbabit dalam minggu ini dan mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju peringkat pembelaan akan dimulakan pada Isnin depan.

Sebelum prosiding hari ini bermula juga, terdapat kain pemidang 'Selamatkan Malaysia daripada peliwat 2.0' digantung di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini selama beberapa minit sebelum diturunkan.

Kain pemidang itu dipercayai dipasang oleh sekumpulan ahli Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang memakai kemeja-T warna kuning dan turut mengadakan demonstrasi secara aman sambil melaungkan reformasi dan keadilan kepada Saiful.

Sehingga Jumaat lalu, sebanyak 19 saksi daripada sejumlah 25 saksi yang disenaraikan, telah hadir untuk ditemu bual oleh barisan pembelaan yang diketuai oleh peguam Karpal Singh.

Antara mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Polis Melaka, Mohd. Rodwan Mohd. Yusof; doktor di Hospital Pusrawi, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid dan pemilik kondominium terbabit, Hasanuddin Abd. Hamid.

Ketua Pembangkang itu diperintahkan membela diri setelah Hakim Mohamad Zabidin pada 16 Mei lepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan tersebut.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved