Rabu, 6 Julai 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rempit untuk mencari kepuasan

Posted:

Rempit untuk mencari kepuasan

Rempit untuk mencari kepuasan

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


Gejala merempit di kalangan anak muda bagai tiada kesudahan.


MAT rempit, gelaran cukup sinonim dengan gejala sosial yang meruntuhkan akhlak anak-anak muda termasuk seks bebas, jenayah ragut, samseng jalanan dan sebagainya.

Biarpun sudah banyak dilakukan bagi membendung kegiatan golongan ini namun sehingga sekarang ia bagai tiada kesudahan dan terus menjadi duri dalam daging.

Apakah punca kegagalan itu disebabkan pendekatan yang kurang sesuai atau mungkin kerana masyarakat tidak memahami 'siapa' sebenarnya mereka ini.

Baru-baru ini, penulis berpeluang 'melepak' bersama beberapa orang mat rempit dalam usaha menyelami hati dan memahami apa sebenarnya yang dicari di sebalik kegiatan tersebut.

Ternyata personaliti mereka jauh berbeza apabila tiada helmet di kepala dan tangan tidak memulas 'minyak'.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa mereka ini menjadi 'liar' tatkala beradu kehandalan masing-masing di atas jalan raya.

"Sekarang susah untuk kami melepak di satu-satu kawasan kerana pihak berkuasa bukan sahaja mengacau malah mereka juga tidak pernah memberi peluang kepada kami untuk membela diri.

"Kami sememangnya begitu 'hina' di mata mereka (pihak berkuasa). Disebabkan itu sekarang ini kami lebih gemar mengisi minyak penuh dan membuang masa di atas jalan raya," ujar Joe (bukan nama sebenar), salah seorang mat rempit yang ditemui.

Dia yang berusia awal 20-an mengakui dirinya seolah-olah 'ketagih' sekiranya tidak merempit satu hari.

Bercerita lanjut penglibatannya di dalam dunia rempit, jelas Joe, ia akibat daripada pengaruh rakan-rakan sebaya.

Walaupun pada mulanya dia tidak mempunyai motosikal, tetapi rakan-rakan sanggup meminjamkan dan bermula daripada situ Joe mula serius dan akhirnya hari ini dia merupakan salah seorang mat rempit yang disegani.

Banyak menghabiskan masa pada malam minggu, Joe juga tidak pernah terkecuali dengan perlumbaan haram bersama rakan-rakan rempit yang lain.

Bukan itu sahaja malah Joe juga sanggup berhabis wang ringgit untuk menjadikan motosikalnya yang terhebat di kawasan 'jajahannya'.

Yang menjadi persoalannya, daripada manakah Joe memperoleh duit untuk membaiki dan 'menyolek' motosikalnya?

Setelah dirisik, rupa-rupanya Joe bekerja di siang hari malah kerja yang dilakukannya merupakan pekerjaan tetap di sebuah syarikat swasta.

Apabila ditanya bagaimana pula dengan penerimaan ahli keluarga terutama ibu bapa dengan 'hobinya' itu, Joe memberitahu mak bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak mereka sering merayap setiap malam.

"Saya memang tinggal dengan keluarga dan sudah pasti emak yang paling kuat membebel.

"Tapi apa boleh buat, saya memang suka merempit, ia memberi kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat memulas minyak hingga habis meter.

"Biarlah apa orang nak kata, lagipun yang merempit saya bukannya mereka dan yang tanggung akibatnya pun saya, mereka tiada kaitan langsung," katanya lagi.

Sementara itu, menurut seorang lagi rakannya, Black (bukan nama sebenar), dunia rempit hanya berkisar tentang kehebatan masing-masing di jalan raya dan bukannya raja lepak.

Untuk itu, sesiapa sahaja yang bergelar mat rempit pastinya berkebolehan menunggang dan mampu melakukan pelbagai skil berani mati seperti wheelie (mengangkat tayar hadapan) dan juga wikang (wheelie menggunakan tayar belakang).

Jelas Black lagi, dirinya tergolong dalam kategori mat rempit yang mementingkan kepuasan apabila dapat menarik minyak dengan kelajuan maksimum.

"Memang puas sangat kalau saya berjaya memecut laju dan sememangnya kami gemar memecut.

"Untuk itu, motosikal akan diubahsuai berkali-kali bagi mencapai kelajuan yang benar-benar maksimum," tambahnya.

Katanya lagi, jika Joe merupakan mat rempit yang puas apabila dapat memecut, dirinya pula merupakan mat rempit yang lebih mementingkan hadiah wang kemenangan.

Bagi Black, lumba haram sudah sebati dalam dirinya dan dia tidak teragak-agak menyahut cabaran jika ada yang mencabar kemampuannya.

Sekiranya menang, kepuasan memang tidak dapat digambarkan kerana dalam masa yang sama diri turut diberi penghormatan.

Black juga tidak menyembunyikan fakta bahawa dirinya pernah ditahan polis gara-gara melanggar sekatan jalan raya.

Begitupun, selama menjadi mat rempit, kedua-dua remaja ini belum pernah lagi terbabit dengan kemalangan yang teruk cuma sekadar cedera ringan.

Yang pasti, mereka hanya melepaskan 'gian' masing-masing untuk membuktikan kemampuan diri dalam mengendalikan motosikal di jalan raya.

Mereka juga merupakan anak-anak muda yang ingin kehendak mereka difahami dan didengari.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Boling satukan minda, fizikal

Posted:

Boling satukan minda, fizikal

Boling satukan minda, fizikal

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ABDUL RAZAK LATIF


Ayra Nur Jehan Aminuddin dan abangnya, Amir Din Imran bercita-cita menjadi pemain boling profesional.


APA kepuasan yang diperoleh daripada bermain boling? Adakah berdasarkan jatuhan pin ataupun ada kepuasan lain yang boleh diraih?

Sudah jatuhan pin bukan segala-galanya. Boling membuatkan si pemain menjadi lebih fokus, yakin dan jitu pada matlamat yang ingin dicapai. Simbolik pencapaian tersebut mungkin boleh dilihat daripada jumlah jatuhan pin itu sendiri.

Maka boling antara sukan terbaik yang boleh menjadi pilihan para pelajar untuk memberikan mereka kekuatan fizikal dan minda bagi menjalankan tanggung jawab secara keseluruhan.

Hakikat itu juga dipersetujui Penyelaras Program Pembangunan Boling Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat (SMKJE), Bandar Baru Bangi, Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim.

Ujarnya, SMKJE merupakan satu antara 27 buah sekolah yang telah mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ia telah melahirkan 20 wakil boling yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima yang telah dipilih secara teliti menerusi beberapa perlawanan peringkat sekolah.

Baru-baru ini, Mega berpeluang melihat sendiri latihan tiga daripada 20 wakil pemain boling yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Boling atau nama rasmi kumpulan mereka JESS (Jalan Empat Secondary School).

Afiq Iskandar Aziz, 14, dan pasangan adik beradik, Amir Din Imran Aminuddin, 17, serta adiknya, Ayra Nur Jehan, 13, merupakan antara pemain yang berjaya digilap dari program tersebut.

Menurut Wan Nor Ashikin, boling dipilih sebagai sukan untuk SBT kerana ia merupakan satu sukan yang mementingkan ketelitian, fokus, teknik dan kemahiran yang baik.

"Pelajar di SMKJE merupakan pelajar yang terpilih, mereka yang masuk ke sekolah ini adalah yang mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 5A.

"Jadi pelajar ini mudah diajar dan senang memahami apa yang diperturunkan oleh jurulatih. Boleh saya katakan bahawa sukan ini lebih menggunakan minda.

"Jadual latihan mereka langsung tidak mengganggu waktu belajar. Sebanyak 10 sesi dirancang dan kami pihak sekolah juga amat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik dari ibu bapa pelajar-pelajar tersebut.

"Malahan ibu bapa juga sanggup mengeluarkan modal membiayai bola boling anak dan lain-lain perbelanjaan, itu komitmen yang sangat-sangat kami hargai," ujarnya.

Wan Nor Ashikin menambah, syarat untuk mereka kekal sebagai SBT ialah menyertai kejohanan terbesar peringkat antarabangsa sebagai wakil Malaysia sebanyak tiga kali.

Dua beradik cemerlang boling dan pelajaran

Bagi Ayra Nur Jehan yang merupakan pelajar tingkatan satu di SMKJE, penglibatan dia dan abangnya dalam sukan boling setelah salah seorang saudara mereka meraih pingat emas dalam sukan itu.

"Apabila saudara saya mengajak kami adik beradik berlatih bersama-samanya secara tidak langsung minat tersebut bercambah dalam diri kami," jelasnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Lebih menggembirakan apabila minat tersebut dikongsi seluruh ahli keluarga. Lalu ia dijadikan riadah hujung minggu di samping mengasah teknik dan skil untuk menjadi baik dan lebih baik lagi.

Ayra Nur Jehan yang turut bercita-cita menjadi pemain boling professional negara mengakui, sukan tersebut menjadikan dia lebih fokus dalam urusan lain. Malah ia membantu dari segi kecerdasan dalam pelajaran.

Antara pencapaian yang diraih Ayra baru-baru ini ialah memenangi Malaysian Open kategori Girl's Graded di tempat kedua.

Tempah bola boling sendiri

Bagi Afiq Iskandar Aziz, 14, penyertaannya dalam program pembangunan boling sekolah adalah berdasarkan minat juga galakan ibu bapa dan rakan-rakan.

"Bagi saya ia satu sukan untuk mengisi masa lapang sekali gus menambah daya fokus.

"Sesi latihan yang telah dirangka iaitu dua kali seminggu tidak langsung mengganggu pelajaran," katanya yang merupakan anak sulung dari tiga beradik.

Afiq juga beruntung kerana minatnya tersebut mendapat sokongan ibu bapa sepenuhnya.

Demi memberikan permainan yang terbaik pada setiap kejohanan, Afiq menempah bola boling yang mengikut sukatan jarinya sendiri.

"Pemilihan bola boling yang bersesuaian amat penting kerana ia mempengaruhi prestasi balingan, jadi tiada salahnya membuat pelaburan ke arah tersebut," katanya yang merupakan pelajar tingkatan dua di SMKJE.

Afiq juga tidak menafikan yang dirinya bercita-cita untuk mencapai peringkat tertinggi dalam sukan boling.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved