Jumaat, 17 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perkongsian baru Kuala Lumpur

Posted:

Perkongsian baru Kuala Lumpur

Perkongsian baru Kuala Lumpur

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HASHNAN ABDULLAH pengarang@utusan.com.my

SETELAH lapan tahun Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) diadakan di Pulau Langkawi, maka buat pertama kali dalam sejarahnya dialog tersebut pada tahun ini diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Keputusan itu dibuat bagi memenuhi permintaan negara-negara peserta yang ingin melihat perkembangan pembangunan terkini yang berlaku di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Penganjuran LID diadakan di saat dunia berdepan dengan gelombang inflasi, harga makanan dan minyak terus melambung tinggi akibat bencana alam, konflik dan juga spekulasi. Meskipun masalah sejagat seperti itu melanda semua tempat tanpa mengira ideologi politik atau status ekonomi, namun implikasinya sudah tentu lebih besar ke atas negara membangun.

Dalam suasana global yang semakin mencabar, ia menonjolkan kepentingan perkongsian pintar antara negara-negara membangun ini untuk menangani isu-isu yang menggugat kepentingan bersama.

LID dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 1995 bagi merapatkan hubungan dengan negara-negara Afrika yang menghadapi masalah yang hampir sama iaitu kemiskinan dan masalah negara yang pernah dijajah.

Dan tidak dinafikan bahawa sempadan geografi sedikit sebanyak membataskan hubungan Malaysia dengan negara-negara Afrika dan Caribbean.

Masing-masing lebih aktif dalam pertubuhan serantau seperti ASEAN (Asia Tenggara), AEC (Afrika) dan CARICOM (Caribbean). Keadaan itu seiring dengan perkembangan semasa yang menampakkan pertumbuhan blok- blok ekonomi wilayah di seluruh dunia.

Walaupun masing-masing mengekalkan hubungan diplomatik yang stabil, hubungan Malaysia dengan negara-negara Afrika dan Carribean dilihat kurang akrab berbanding dengan dengan negara membangun di Asia.

Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) contohnya merupakan medan komunikasi Malaysia dengan Afrika dan Carribean. Namun pergerakan itu lebih tertumpu kepada kerjasama politik dan kerelevanannya juga dipersoalkan selepas tamatnya Perang Dingin pada 1990.

Dalam pada itu, walaupun Kerjasama Selatan-Selatan menumpu kepada kolobarasi negara-negara membangun dalam bidang sosial dan ekonomi, peranan inisiatif ini bagaimanapun dibayangi ikatan wilayah yang dilihat jauh lebih dominan.

Dalam keadaan ini, Malaysia memerlukan lebih banyak pentas yang mampu memacu hubungannya dengan negara-negara Afrika dan Caribbean. Sebab itu LID dalam soal ini dapat memainkan peranan yang penting.

Walaupun mempunyai latar belakang budaya yang amat berbeza, Malaysia tetap berkongsi banyak persamaan dengan Carribean dan Afrika.

Benua Afrika dan kepulauan Caribbean juga menawarkan pasaran yang luas untuk pelabur dan usahawan Malaysia. Dalam pada itu, Malaysia juga mempunyai pelbagai pengalaman yang boleh dikongsi bersama dengan komuniti Afrika dan Caribbean. Jika sebelum ini usaha menghapuskan kemiskinan tegar merupakan isu yang sering dikongsikan dalam LID, Malaysia pada LID 2011 di Putrajaya boleh berkongsi sesuatu yang baru.

Transformasi yang digariskan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bukan setakat menyentuh tentang penghapusan kemiskinan tetapi lebih dari itu suatu usaha untuk mengubah negara membangun menjadi negara berpendapatan tinggi.

LID 2011 dilihat menjadi ruang dan peluang yang terbaik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan dasar dan hala tuju negara yang baru dalam mencapai visi menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Antara dasar tersebut adalah konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; GTP; ETP dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Perdana Menteri dijangka mengambil peluang tersebut untuk menerangkan bagaimana idea baru dan inovatif tersebut mampu mengurangkan perbelanjaan untuk pentadbiran dan projek-projek pembangunan kerajaan.

Idea baru dan inovatif itu diperlukan sebagai satu usaha untuk menjadikan peranan LID sentiasa relevan selaras dengan cabaran global semasa.

Dan secara kebetulan pula inilah LID pertama yang dirasmi dan dipengerusikan oleh Najib. Malah, Dr. Mahathir menyifatkan penganjuran LID di Putrajaya adalah langkah yang baik untuk mempamerkan pembangunan infrastruktur dan inovasi terkini dalam pembinaan Malaysia. Kata beliau, lokasi persidangan yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, akan memberikan platform yang baik untuk mempamerkan pembangunan negara selain pembangunan Putrajaya sendiri.

"Di Langkawi mereka hanya berbincang tetapi mereka tidak boleh menunjukkan apa-apa kecuali pelancongan tetapi di sini (Putrajaya) boleh nampak," katanya baru-baru ini.

Bertemakan "Menjana Perkongsian Bestari Untuk Transformasi Sosio-Ekonomi", LID 2011 akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 Jun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

LID ialah sebahagian daripada siri Dialog Perkongsian Bestari yang mempromosikan prinsip dan amalan pendekatan "Perkongsian Bestari" kepada kerjasama kreatif antara kerajaan dan sektor-sektor lain yang menyumbang kepada aktiviti-aktiviti sosio-ekonomi."Perkongsian Bestari" ialah konsep inovatif yang berlandaskan kepada aspek "situasi menang-menang" dan prosper thy neighbour.

LID 2011 akan turut memberi peluang kepada peserta melawat PROTON, SIRIM dan Malaysia Palm Oil Board (MPOB). Dan hasil dari lawatan lapangan itu akan dilaporkan kepada Sidang Pleno yang akan disertai oleh ketua negara yang menyertai forum itu.

Buat pertama kalinya LID 2011 akan turut mengadakan Forum Perniagaan Malaysia-Afrika pada hari ini (Sabtu) dan bertemakan Meneroka Dimensi Baru bagi mencerminkan pentingnya mengembangkan hubungan ekonomi dan perniagaan antara Malaysia dan Afrika dengan perkembangan geopolitik semasa.

Forum yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan turut disertai Dr. Mahathir dan beberapa penceramah terkenal dari Malaysia dan Afrika.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kartunis Utusan, rogol dan zina

Posted:

Kartunis Utusan, rogol dan zina

Kartunis Utusan, rogol dan zina

Oleh Dr.Mohd.Asri Zainul Abidin

SAYA tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu hendak menghina Islam atau hendak menghina pihak tertentu. Jika dia bertujuan menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam.

Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah.

Ada pun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar.

Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariah akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan?

Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

ROGOL

Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyamakan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab itu diketatkan dengan empat orang saksi.

Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya tidak seketat zina.

Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain.

Sementara mendakwa diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri. Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam keadaan yang amat memaksa.

Bagaimanakah mungkin seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?

Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf: "Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya".

Yusuf pula berkata: "Dialah yang menggoda diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:"Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya" (Surah Yusuf: ayat 25-28).

Lihat, al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.

LI'AN

Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh.

Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina.

Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.

Justeru Allah menyebut: (maksudnya) "Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): "bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; -

Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan 'li'an' atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini.

Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.

Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat secara paksa juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain.

Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua ada, demi memelihara keturunan dan maruah.

PROF. MADYA DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah bekas Mufti Perlis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved