Ahad, 20 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Mara tawar RM700,000

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Shariful Azhar Othman (dua dari kanan) memberi kata-kata motivasi kepada sekumpulan pelajar lepasan SPM yang hadir dalam Karnival Pendidikan Mara peringkat Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Sunway Carnival, Permatang Pauh, semalam. Turut sama, Yahaya Sani (kanan). - MINGGUAN/AZMAN ASMAYATIM

PERMATANG PAUH 19 April - Kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri memperuntukkan sebanyak RM700,000 sebagai bantuan awal kepada pelajar bumiputera di negeri ini untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pengarah Mara negeri, Yahaya Sani berkata, pelajar yang menghadapi masalah kewangan boleh memohon bantuan berkenaan di ibu pejabat Mara negeri.

"Setiap pelajar akan diberikan RM2,500 untuk tujuan itu dan pada tahun ini kita menawarkan bantuan kepada 350 pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Karnival Pendidikan Mara 2014 yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Shariful Azhar Othman, di sini hari ini.

Karnival berkenaan disertai sebanyak 74 buah IPTS yang membuka ruang pameran untuk mendedahkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengenai kursus pengajian yang ditawarkan institusi masing-masing.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, setakat ini sebanyak 120 pelajar menerima bantuan itu melibatkan pembiayaan berjumlah RM300,000.

Tambahnya, bantuan itu bertujuan memastikan lebih ramai pelajar bumiputera menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas SPM dan tidak memasuki alam pekerjaan pada usia muda.

Sementara itu, Shariful Azhar berkata, penganjuran program berkenaan memberi manfaat dan pendedahan kepada lepasan SPM terutama yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti awam.

"Persaingan untuk memasuki universiti awam pada hari ini semakin sengit dan tempat yang ditawarkan begitu terhad. Namun, pelajar perlu didedahkan dengan peluang pengajian lain terutama di IPTS yang juga mempunyai kualiti pengajian yang bagus dan diakui di peringkat antarabangsa," katanya.

10% daripada 200 orang tinggal tabiat merokok

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

PULAU PINANG 19 April - Hanya 10 peratus daripada sebanyak 200 perokok berjaya meninggalkan tabiat buruk itu selepas mengikuti program pemulihan di klinik berhenti merokok di seluruh negeri ini.

Antara punca yang dikenal pasti majoriti mereka gagal melepasi tempoh enam bulan yang ditetapkan adalah tiada disiplin diri, sukar mengawal ketagihan dan kurang kesungguhan untuk berhenti merokok.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Lailanor Ibrahim berkata, berlaku beberapa simptom kepada perokok tegar seperti kurang bertenaga dan mudah mengantuk apabila tidak merokok dalam tempoh lama yang menyebabkan mereka sukar meninggalkan tabiat itu.

"Sebenarnya tiada istilah terlewat untuk berhenti merokok kerana kebanyakan yang mendapatkan rawatan terdiri daripada individu berusia 40 tahun ke atas dan mereka terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.

"Selain itu ada juga perokok muda berniat berhenti merokok kerana tidak mampu membayar harga rokok yang semakin meningkat, bagaimanapun peratusan mereka amat kecil," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran Tempat Kerja Bebas Asap Rokok di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah SPRM negeri, Datuk M. Samarajoo.

Lailanor berkata, terdapat sebanyak 12 klinik berhenti merokok di seluruh negeri yang dikendalikan pakar perubatan keluarga secara percuma dan perokok biasanya diberi gula-gula nikotin untuk mengawal ketagihan selain sesi kaunseling.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri dalam proses mencadangkan zon larangan merokok dalam premis yang terletak di kawasan bandar warisan kepada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri.

Menurut beliau, pihaknya masih berunding dengan pelbagai pertubuhan peniaga, hotel, pengusaha restoran nasi kandar termasuk pemilik pub dan menjangka kawasan terlibat dapat digazet sebelum akhir tahun ini.

Promosi pelancongan Kedah Tengah diperhebat

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

SUNGAI PETANI 19 April - Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang dilancarkan kerajaan menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menarik ramai pelancong.

Kedah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan unsur seni budaya, alam sekitar indah dan destinasi unik, tentunya mempunyai aneka produk pelancongan menarik.

Menyedari hakikat itu serta potensinya untuk menjana ekonomi, Pertubuhan Pembangunan Pelancongan Dan Kesenian Kedah Tengah (PPPKKT) melaksanakan pelbagai usaha bagi menarik seberapa ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

Pengerusinya, Vincent Tai berkata, sebelum ini pelancong yang berkunjung ke negeri Kedah lebih tertumpu di Langkawi walaupun banyak kawasan lain di tanah besar menawarkan tempat menarik.

"Melihat senario pertambahan jumlah pelancong ke Kedah, kita dengan kerjasama pengusaha dan juga kerajaan memberi fokus kepada usaha mempromosi pelancongan di kawasan Kedah tengah.

"Antara kawasan tumpuan adalah Sungai Petani, Lembah Bujang, Gunung Jerai, Tanjung Dawai, Sungai Merbok, Sungai Batu dan Yan. Kawasan ini sememangnya mempunyai potensi sendiri kerana menggabungkan keindahan alam dan unsur warisan serta ketamadunan," katanya di sini semalam.

Vincent berkata, pihaknya kini turut memperhebatkan usaha menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan di Kedah tengah melalui penganjuran pameran, seminar, forum dan hebahan media sosial.

"Kita berharap usaha ini sedikit-sebanyak dapat membantu memberikan faedah kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat," katanya.

Orang ramai yang berminat mengetahui kawasan pelancongan berpotensi atau menyalurkan maklumat boleh melayari laman web sosial Facebook/Discoverkedah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved