Ahad, 20 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Usaha atasi masalah peniaga

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

SAMAT Atan (kiri) mendengar keluhan peniaga buah-buahan, Idris Jaafar (tengah) di Kampung Rawang, Sungai Mati, Ledang, semalam.

LEDANG 19 April - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri Johor akan bertemu dengan pengurusan Majlis Daerah Tangkak (MDT) untuk menyelesaikan masalah sebuah kedai yang akan dirobohkan di Batu 5 Kampung Rawang, Sungai Mati dekat ini, minggu depan.

Yang Dipertua Perkasa negeri, Samat Atan akan bertemu Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin bagi mendapatkan penjelasan kerana peniaga terbabit, Idris Jaafar, 54, mempunyai lesen perniagaan yang sah sehingga hujung tahun ini.

Samat berkata, perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu harus dilakukan kerana Perkasa melihat isu itu sebagai perjuangan mereka untuk membela orang Melayu terutama peniaga kecil.

"Walaupun mereka menjaja dan membina kedai di tepi jalan tetapi kita berharap MDT melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab untuk membantu dan menaik taraf peniaga-peniaga Melayu.

"Peniaga terbabit perlu dibantu selagi mereka tidak melanggar undang-undang dan mempunyai lesen perniagaan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan peniaga terbabit hari ini.

Idris semalam menyatakan rasa kesal dan kecewanya kerana MDT mengarahkan kedainya dirobohkan minggu depan selepas membatalkan lesen perniagaan pada 5 Januari lalu sedangkan tempoh tamat lesen 31 Disember ini.

Peniaga tersebut mendakwa, jika kedai menjual 30 jenis buah-buahan, tanaman kontan dan produk industri kecil dan sederhana (IKS) itu dirobohkan, ia akan menjejaskan pendapatan lebih 100 petani yang memasarkan hasil pertanian mereka di situ.

Samat menegaskan, setiap peniaga dalam kawasan PBT mesti dibantu dengan diberikan lesen serta tidak merobohkan gerai atau kedai mereka kerana tindakan yang salah hanya akan merugikan peniaga Melayu.

"Perkasa faham peraturan serta akur dengan keputusan tetapi berharap MDT mempunyai kesedaran dan keinsafan membantu peniaga- Melayu. Malah kami menggesa peniaga bekerjasama mematuhi undang-undang pelesenan, namun kes seperti ini banyak berlaku di seluruh negara bergantung kepada PBT untuk menyelesaikannya," katanya lagi.

PNK Pontian Selatan nafi seleweng bantuan

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

PONTIAN 19 April - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian Selatan menegaskan tidak pernah mengambil peruntukan yang disalurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada nelayan bagi program membaik pulih rumah golongan tersebut.

Pengerusi PNK Pontian Selatan, Pungot @ Abd. Rahman Selamat berkata, peruntukan yang diberikan adalah bagi tujuan menjaga kebajikan nelayan dan beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PNK mendapat untung daripada program yang disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Kami hanya sebagai membantu ahli-ahli mendapatkan bantuan bagi program baik pulih mahupun membina rumah baharu mengikut kriteria yang ditentukan sebelum kelulusan dibuat.

"Setakat ini bagi program baik pulih tersebut, setiap nelayan akan menerima bantuan di antara RM5,000 hingga RM10,000 sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam majlis pelancaran program Baik Pulih Rumah Parlimen Pontian di Kampung Ayer Baloi, di sini semalam.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Pungot, kira-kira 1,100 nelayan yang berpangkalan di Sungai Rambah hingga ke Sungai Tampok bernaung di bawah PNK Pontian Selatan dengan sebahagian besar merupakan nelayan pantai.

Katanya lagi, selain bantuan baik pulih rumah, nelayan juga turut menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan serta perlindungan insurans nelayan sehingga RM100,000 bagi kemalangan di laut dan RM50,000 bagi kemalangan di darat.

"Mengenai permohonan baik pulih rumah tahun ini, kami menerima 150 permohonan dengan 15 permohonan melibatkan RM120,000 telah diluluskan. Kami masih membuka permohonan bagi memberi keselesaan kepada nelayan dan ahli keluarga mereka sebagaimana diharapkan kerajaan," katanya.

Salah seorang penerima bantuan tersebut, Hashim Md. Tahir, 50, mengucapkan terima kasih kepada pihak LKIM dan PNK Pontian Selatan kerana meluluskan permohonan yang sebelum ini ditolak dan akan menggunakan peruntukan RM6,000 yang diterima untuk menggantikan atap zink serta baik pulih kerosakan kecil.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved