Ahad, 20 April 2014

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Korban feri karam meningkat kepada 54

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

JINDO, Korea Selatan 20 April - Pasukan mencari dan menyelamat menemukan 13 lagi mayat penumpang feri Sewol yang karam di kawasan perairan di selatan negara ini lima hari lalu, meningkatkan angka korban dalam kejadian tersebut kepada 54 orang.

Lebih 200 penumpang feri itu, yang membawa seramai 462 orang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah masih belum ditemui.

Lebih 174 orang berjaya diselamatkan, namun harapan untuk menemui mangsa yang hilang semakin tipis.

Para pegawai, hari ini berkata, mayat-mayat tersebut ditemukan selepas unit penyelam berjaya memasuki bahagian dalam feri tersebut selepas gagal berbuat demikian sejak tiga hari lalu ekoran arus ombak yang kuat.

Agensi berita Associated Press melaporkan maklumat lanjut tentang bagaimana mayat-mayat itu dikeluarkan dari dalam feri tersebut masih belum diketahui.

Ketua Pusat Pengurusan Kecemasan, Shin Won-nam berkata, operasi menyelamat itu mungkin memakan masa selama beberapa bulan untuk ditamatkan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Korea Selatan mahu melanjutkan tempoh penahanan kapten dan dua kru feri itu, selama 10 hari lagi ketika mereka cuba menentukan punca kemalangan tersebut.

Kapten feri, Lee Joon-seok, 69, dan dua anak kapal ditahan semalam oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Pendakwa Raya, Yang Joong-jin berkata, pihaknya dimaklumkan beberapa kru tidak mendapat sebarang latihan keselamatan.

"Kami kini cuba menyiasat jika berlakunya lebih banyak perkara melibatkan kecuaian dalam nahas ini," katanya pada sidang media di Mokpo, hari ini. - REUTERS

Arab Saudi kesan 7 lagi kes MERS-CoV

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

JEDDAH 20 April - Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengesan sebanyak tujuh lagi kes Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) di sini, termasuk dua orang yang meninggal dunia akibat penyakit itu.

Akhbar, Saudi Gazette yang memetik jurucakap kementerian itu, Dr. Khalid al-Marghalani melaporkan, kementerian berkenaan menjangkakan penyelidik antarabangsa akan melawat negara ini sebelum akhir bulan ini untuk mengadakan rundingan berkenaan kes jangkitan yang semakin meningkat.

Kementerian Kesihatan mencatatkan sejumlah 76 kematian daripada 231 kes MERS-CoV di Arab Saudi sejak virus itu dikesan pada 2012.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian itu menjelaskan bahawa mereka bekerjasama dengan pelbagai badan bagi mendapatkan maklumat tentang jangkitan virus itu dan langkah untuk mengubati MERS-CoV.

Sementara itu, kerajaan Filipina mengumumkan langkah pencegahan terhadap jangkitan penyakit berbahaya itu dipertingkatkan memandangkan jumlah rakyatnya yang ramai bekerja di Asia Barat dan berpotensi sebagai pembawa penyakit.

"Ini penting untuk ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat memahami dan mengetahui tentang jangkitan penyakit MERS-CoV," kata Setiausaha Kesihatan, Enrique Ona.

Seorang jururawat warga Filipina yang dikesan positif MERS-CoV di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah pulang ke negara itu minggu lalu, menurut Jabatan Kesihatan.

Jururawat itu kemudian dikuarantin bersama ahli keluarganya yang menjemputnya di lapangan terbang Manila sebagai prosedur pencegahan, namun mereka disahkan bebas daripada virus itu.

Pihak berkuasa kesihatan meneruskan usaha mengesan 418 penumpang pesawat Etihad Airways, termasuk 45 orang asing bagi menjalankan ujian.

Sehingga kini, seramai 119 penumpang telah dihubungi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved