Ahad, 20 April 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Teruja cuba aktiviti lasak Mister UN dan Mister Global

Posted: 19 Apr 2014 06:22 AM PDT

Muhammad Syazwie Nazri (berdiri, empat dari kanan) dan Fareez Vincent Amos (bertopi biru) seronok melakukan aktiviti lasak bersama teman-teman.

GAYANYA bersahaja seperti pemanjat berpengalaman apabila beraksi di Taman Ekstrem Shah Alam (TESA), Selangor.

Walaupun pertama kali melakukan aktiviti tersebut, namun peserta pertandingan gaya maskulin, Mister United Nation 2014, Fareez Vincent Amos, 26, dan Mister Global 2014, Muhammad Syazwie Nazri, 21, nyata menyukai aktiviti memanjat tembok batu tiruan.

Mengakui masih mentah dalam dunia sukan memanjat tembok batu tiruan yang tidak pernah dicuba sebelum ini, kedua-duanya kelihatan berani menyahut cabaran lasak berkenaan. Ternyata mereka bukan sekadar berani berjalan di pentas dengan aksi catwalk sahaja.

Bagi peminat dunia peragaan, sudah tentu kedua-duanya dikenali. Mereka berdua lahir daripada program Mister Planet Malaysia (MPM) 2014.

Sebagai pemenang tempat kedua dan keempat dalam program itu, siapa sangka, di sebalik kerjaya sebagai model, Fareez Vincent dan Muhammad Syazwie sememangnya menyukai aktiviti sukan lasak.

Mengimbas kembali pengalaman ketika memanjat tembok tiruan, Fareez dan Syazwie memberitahu aktiviti memanjat tembok batu tiruan sangat berbeza dengan rutin harian mereka yang suka menghabiskan masa di gimnasium.

Fareez berkata, dia dapat merasakan perbezaannya terutama daripada aspek cabaran dan tahap kesukaran.

"Jika di gimnasium, kami hanya melakukan aktiviti senaman dan angkat berat.Tetapi selepas cuba memanjat tembok batu buat pertama kali, baru saya sedar bahawa sukan ini selamat dimainkan dan mampu membina otot badan yang lebih kuat," kata anak kacukan berdarah Melayu dan Portugis itu.

Berbekalkan tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman, Fareez dan Syazwie mampu memanjat sehingga ke puncak tembok tiruan setinggi 10.67 meter itu.

Syazwie berkata, aktiviti itu memberikan kepuasan kepadanya, lebih-lebih lagi setelah dia berjaya sampai ke puncak tembok.

"Pertama kali mencuba, saya terus suka sukan memanjat tembok batu ini. Sebabnya saya nak cabar kemampuan diri. Selain itu, saya berasa lega apabila mampu menyelesaikan cabaran yang ada," katanya.

Menurut mereka, selepas dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan Mister United Nation dan Mister Global, mereka berdua kini semakin giat membina badan di gimnasium.

Setiap hari, Fareez akan meluangkan masa selama hampir empat jam untuk bersenam bagi mendapatkan badan yang sesuai.

Selain itu, dia juga berjinak-jinak dalam dunia lakonan selepas berlakon dalam drama Lembayong Kasih Mu yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Jelasnya, walaupun dia menerima tawaran berlakon tetapi dia masih lagi meminati dunia peragaan.

"Saya lebih meminati bidang peragaan kerana bidang lakonan bukan suatu bidang yang mudah.

"Untuk menjiwai watak dan belajar ekspresi muka yang bersesuaian, ia sangat berbeza berbanding ketika saya berada di pentas peragaan," katanya.

Syazwie yang kini semakin laku di pasaran peragaan mengakui kehidupannya kini semakin sibuk.

"Bidang peragaan nampak mudah, namun ia sangat sukar kerana sebagai model, kami perlu menyesuaikan diri dan pergerakan mengikut baju yang diperagakan.

"Jika kami memperagakan baju tradisional, mungkin lenggok badan kami lebih kasual tetapi sebaliknya, jika kami memperagakan baju lain, setiap baju yang kami peragakan itu perlu disesuaikan dengan muzik dan gaya berjalan yang perlu dipelajari terlebih dahulu," katanya. - SYAHRIL/ Shiddieqiin Zon

Kota Tinggi medan persaingan

Posted: 19 Apr 2014 06:22 AM PDT

Aktiviti berbasikal seperti basikal gunung semakin diminati golongan muda yang ingin merasai cabaran dan keterujaan ketika mengendalikan kayuhan dua roda tersebut.

Lebih mencabar, basikal bukit biasanya akan menggunakan jalan yang tidak berturap dan bentuk muka bumi Malaysia sememangnya amat sesuai dijadikan lokasi untuk melakukan aktiviti seperti itu.

Buat julung kalinya, Kota Tinggi, Johor menjadi pilihan para peserta di seluruh Malaysia dan beberapa buah negara luar turut mengambil bahagian pada cabaran basikal bukit menerusi program Kota Tinggi Mountain Bike Challenge 2014. Cabaran itu telah menarik hampir 600 peserta dari dalam dan luar negara.

Penganjuran kali ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Johor, Johor Corporation melalui Kulim (M) Berhad serta IPPJ Sdn. Bhd. Antara lain ia bermatlamat menjadikan Kota Tinggi sebagai salah satu hub sukan lasak di negara ini.

Acara yang berlangsung di ladang kelapa sawit, Ladang REM, Kota Tinggi milik Johor Corporation melalui anak syarikatnya Kulim (M) Berhad dalam rangka mempromosikan sekitar kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan dan aktiviti rekreasi. Ini ditambah pula dengan adanya pelbagai tempat menarik seperti Taman Kelip-kelip Kota Tinggi dan kemudahan lain yang tersedia.

Pengarah Urusan Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ) Sdn. Bhd., Zamri Norani berkata, cabaran kali ini berjaya menarik ramai peserta dari seluruh negara dan beberapa peserta luar negara seperti dari Australia, Filipina, Thailand, Singapura, Itali, Denmark dan Jerman.

"Paling menarik adalah yuran penyertaan untuk pertandingan ini adalah sangat rendah iaitu RM70. Ini membuatkan ramai yang hadir. Objektif utama bukanlah keuntungan tetapi lebih untuk mempromosikan Kota Tinggi sebagai hub sukan lasak di negara ini," katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pertandingan basikal bukit itu sedikit sebanyak membantu membangunkan industri pelancongan terutamanya di Kota Tinggi,

"Kota Tinggi memang terkenal dengan keunikan muka buminya dan menyimpan pelbagai sejarah menarik yang dapat menarik kedatangan pelancong ke negeri ini. Sebab itulah, kami memasukkan promosi acara basikal bukit dalam kalendar pelancongan tahun ini," katanya.

Cabaran kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Veteran, Terbuka Wanita dan Junior. Peserta Malaysia, Mohd Salahuddin berjaya menggondol tempat pertama menerusi ategori Terbuka Lelaki manakala kategori Veteran pula dimenangi oleh peserta dari Denmark, Morten Hansen.

Bagi johan kategori Terbuka Wanita pula, ia menjadi milik Ainnurulhuda Rusli dari Malaysia, manakala Kategori Junior dimenangi oleh Muhamad Kahiril, juga dari Malaysia.

Pertandingan seumpama ini mampu menarik minat lebih ramai generasi muda menceburi sukan ini, apatah lagi dengan keadaan bentuk muka bumi negara yang amat sesuai untuk sukan berbasikal gunung yang memberikan pelbagai cabaran kepada para penunggang. - ZIININE ABDESSELAM

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved