Ahad, 20 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Wartawan Malaysia jangan apologetik

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Muhyiddin Yassin berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2014 di One World Hotel, Petaling Jaya, Jumaat lalu.

ALHAMDULILLAH, pertama-tama marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapat kita bertemu pada malam ini bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2014.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Press Institute (MPI), selaku penganjur majlis ini, kerana sudi mengundang saya sebagai tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013 tajaan PETRONAS sebentar lagi.

Bagi saya, penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang diperkenalkan pada 1980 dan mula ditaja oleh PETRONAS pada 1994 adalah satu usaha murni yang mempunyai matlamat tersurat dan tersirat yang tersendiri dalam mengangkat bidang kewartawanan di negara kita.

Secara tersurat, Malam Wartawan Malaysia bukan sahaja diadakan untuk mengiktiraf karya-karya terbaik para wartawan di Malaysia tetapi ia juga menjadi lambang semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan pengamal media di negara ini. Kehadiran para peneraju media dan para supremo editorial pada majlis tahunan ini adalah testimoni nyata hakikat itu.

Saya percaya masing-masing berkongsi matlamat yang sama iaitu mahu meraikan kejayaan para wartawan dan jurugambar merangkul anugerah serta membawa pulang hadiah, walaupun kejayaan itu belum tentu lagi milik organisasi mereka. Tetapi atas nama untuk mengangkat profesion wartawan dan meningkatkan mutu karya-karya mereka seperti yang diserlahkan pada malam ini, ternyata mereka nampaknya bersatu hati.

Hadiah Kewartawanan Malaysia juga adalah satu wahana untuk mencapai matlamat tersirat kewartawanan kita iaitu untuk memupuk kewartawanan yang bertanggungjawab atau responsible journalism berpaksikan acuan kita sendiri dalam kalangan pengamal media di negara ini.

Dalam perjalanan kita untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, stabil, aman, makmur dan berjaya, peranan kewartawanan yang bertanggungjawab ini adalah amat penting.

Namun saya harus akui bahawa mencapai matlamat tersirat ini adalah lebih payah berbanding memenuhi hasrat tersurat HKM. Barangkali analoginya adalah membina jauh lebih sukar berbanding menghancurkan.

Kewartawanan bertanggungjawab adalah untuk membina, menjaga dan memelihara apa yang telah kita bina sedangkan kewartawanan tidak bertanggungjawab adalah sebaliknya - memusnahkan.

Bagaimanapun, apa yang melegakan dan membanggakan saya adalah komuniti wartawan di negara ini, terutama dalam kalangan media arus perdana, mempunyai komitmen yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab sebagai pegangan mereka.

Hal ini dapat kita saksikan dalam laporan mereka sewaktu kita menghadapi tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga sekarang masih kekal misteri, walaupun sudah memasuki hari yang ke-42 hari ini.

Saudara-saudari sekalian,

Tragedi MH370 itu telah menarik perhatian media seluruh dunia pada tahap yang belum pernah kita saksikan sebelum ini. Boleh dikatakan sejak 8 Mac 2014 sehinggalah ke hari ini, kehilangan MH370 serta usaha kita mencari dan menyelamat serta cara kita menguruskan krisis itu menjadi makanan ruji liputan media global.

Boleh saya katakan laporan mengenai MH370 pada era moden ini lebih mendalam, lebih intrik, lebih misteri, lebih sofistikated, dan jauh lebih komprehensif berbanding dengan laporan media dalam tragedi-tragedi bersejarah lain dan sebanding dengan kisah tenggelamnya kapal RMS Titanic di utara Lautan Atlantik pada 15 April 1912.

Ketika tragedi itu berlaku kira-kira 102 tahun lalu, Titanic yang dalam pelayaran dari Southampton, United Kingdom ke New York, Amerika Syarikat membawa 2,224 penumpang dan anak kapal. Dalam tragedi itu, lebih 1,500 orang terkorban. Kisahnya menjadi berita besar di seluruh dunia pada era ketika dunia hanya dihubungkan dengan telegraf dan telefon berwayar.

Misteri kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China pula telah menarik perhatian komuniti jurnalisme global, daripada akhbar-akhbar, stesen televisyen dan radio serta portal berita di seluruh dunia.

Apabila kita meneliti kembali pendekatan kewartawanan dalam pelaporan MH370, kita akan dapati bahawa apa yang dipanggil standard antarabangsa dalam jurnalisme adalah sesuatu yang abstrak, tidak seragam dan tidak konkrit. Sebenarnya, tiada satu panduan yang jelas tentang standard tersebut.

Yang tergambar dalam laporan wartawan dan pengamal media mengenai tragedi MH370 ialah elemen patriotisme kumpulan wartawan dari negara-negara yang terlibat dalam pencarian MH370.

Wartawan Amerika Syarikat dengan caranya, China dengan pendekatannya, Australia dengan gayanya, tetapi semua wartawan daripada organisasi media yang berbeza itu diikat dengan suatu unsur psikologi yang sama. Mereka bersaing memaparkan kebenaran dengan objektif untuk mengekalkan rating bisnes media, tetapi pada masa yang sama menyerlahkan aspirasi nasional masing-masing.

Berdasarkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh media-media dari pelbagai negara dalam melaporkan kehilangan MH370, kita harus sedar bahawa kepelbagaian itu adalah sesuatu yang bersifat global.

Jadi, janganlah kita terikut-ikut dengan momokan kononnya wujud keseragaman atau standard tertentu kewartawanan. Kononnya set nilai antarabangsa perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh wartawan tempatan di mana-mana negara termasuk di Malaysia.

Saya harus menggunakan kesempatan pada Malam Wartawan Malaysia ini untuk memberi pujian dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua wartawan dan media Malaysia yang terlibat dalam laporan tragedi antarabangsa kehilangan MH370.

Anda semua telah memainkan peranan masing-masing dan menjadi penyumbang kepada pembinaan negara bangsa. Adalah jelas bahawa kita bergerak melaksanakan tanggungjawab kepada audiens - dalam bentuk menyampaikan maklumat serta berjuang memaparkan kebenaran -dengan suatu kesedaran nasional.

Saudara-saudari yang dihormati,

Saya berharap wartawan di Malaysia sentiasa mempertahankan kepentingan nasional dan bumi yang kita pijak.

Akan ada usaha-usaha untuk mendominasi perdebatan mengenai isu-isu yang berlaku dengan sudut pandangan negatif oleh pihak-pihak tertentu dari dalam negara dan juga dari seberang laut, tetapi saya yakin media dan wartawan di Malaysia telah cukup matang untuk menanganinya.

Saya yakin komuniti media di Malaysia bersatu hati dalam tugas-tugas memperjuangkan kewartawanan yang kompeten, memiliki jati diri dan progresif.

Wartawan Malaysia tidak boleh lagi berasa apologetik apabila mempertahankan kepentingan nasional, kerana seperti yang telah diperlihatkan, media di negara lain juga mempertahankan kepentingan nasional negara masing-masing.

Menjadi responsif kepada kepentingan nasional dan memajukannya adalah sebahagian daripada karakter media global.

Apatah lagi dengan peledakan perkembangan teknologi informasi komunikasi maklumat, dunia jurnalisme yang menyaksikan kemunculan akhbar-akhbar dalam talian, penyebaran berita melalui twitter juga facebook, maka cabaran mempertahankan agenda nasional sesungguhnya menjadi amat besar.

Portal-portal berita dan juga sosial media mengemaskini berita mereka hampir setiap minit. Aliran maklumat menjadi terlalu pantas, informasi sama ada yang sahih atau tidak disebar kepada orang awam dengan sekelip mata sehingga ada kalanya tidak memberi ruang kepada otak pembaca untuk mencerna intipati yang disampaikan.

Saya percaya biar secanggih mana pun teknologi yang digunakan dalam dunia kewartawanan baik di media cetak, elektronik mahu pun portal-portal berita, etika serta tanggungjawab anda sebagai wartawan tidak pernah berubah. Arus pemodenan tidak boleh menyanggah prinsip asas pemberitaan yang hakikatnya bersifat universal dan terpakai dahulu, kini dan selama-lamanya. Berita yang ditulis tidak boleh semberono, mesti berpaksikan fakta dan paling penting adil kepada subjek yang ditulis.

Kesungguhan untuk memartabatkan profesion kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang adil, tepat, jujur dan sahih harus diberi tumpuan dan penekanan yang jitu.

Tuntutan itu sejajar dengan peranan wartawan sebagai cerdik pandai yang tahu apa sebenarnya yang mereka ingin sampaikan. Terlalu ghairah menulis berita tanpa ada usaha untuk memastikan kesahihan fakta dan membiarkan maklumat tersebut sampai kepada pembaca adalah menyalahi etika dan boleh merosakkan profesion sebagai wartawan.

Jangan jadi wartawan kering minda atau pun wartawan yang popular kerana menulis berita-berita tidak benar, mengejar sensasi dan didorong oleh agenda tertentu yang kemudiannya tanpa ada rasa bersalah menyebarkan pula kepada pembaca.

Peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat, malah media juga melibatkan diri dalam pendidikan, perkembangan ekonomi negara, politik semasa, kebudayaan dan hiburan.

Tanggungjawab media dalam menyampaikan informasi, mendidik, membentuk jati diri masyarakat dan seterusnya menjadi agen transformasi minda dalam kalangan masyarakat sehingga membentuk sesebuah masyarakat itu yang lebih bermoral, bermaruah dan berdaya saing merupakan prinsip yang harus dipegang teguh oleh pengamal media.

Saudara-saudari yang dihormati,

Berada bersama rakan-rakan wartawan pada majlis ini memberikan saya kegembiraan kerana saya dapat merakamkan sendiri penghargaan kepada wartawan dan pengamal media yang begitu banyak membantu pembangunan negara serta menjadi pengkritik yang membina selama ini.

Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada MPI kerana berjaya menganjurkan Malam Wartawan Malaysia 2014. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang yang telah berjaya menghasilkan karya-karya cemerlang dalam pelbagai genre penulisan. Semoga pengiktirafan malam ini dapat meningkatkan lagi kualiti kewartawanan tanah air.

Rentan pemilihan PKR

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh Khairuddin Mohd Zain

JIKA berdasarkan apa yang tercatat di garis masa 'twitter' penulis, malam semalam (20 April 2014) akan berlangsung siri Jelajah Reformasi 2.0 di Pantai Dalam. Selepas 'Langkah Kajang' yang sumbang, suara reformasi pun tidak segempita 1998. Nyata, angin sepoi reformasi masih belum mampu dilunak menjadi ribut yang diharap-harapkan. Kali ini, iklim politik tertumpu kepada pemilihan parti.

Seorang teman yang sangat aktif di dalam medan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan pandangan yang cukup ikhlas mengenai apa yang sedang berlaku di dalam parti itu. Walaupun bukan di kalangan pimpinan tertinggi, penglibatan sejak awal zaman Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) memberi hak kepadanya untuk memberi pandangan.

"Beza pemilihan kali ini adalah punca kuasa dan kekayaan. Selangor adalah punca kepada kedua-dua kunci masa hadapan politik. Kuasa dan kekayaan. Tak mustahil juga PKR akan pecah berderai disebabkan kedua-dua elemen penting ini,'' jelasnya dalam nada yang sugul. Kerisauan jelas terpancar pada wajah sahabat lama itu.

Pemilihan 2010 membawa 'rentan' kepada PKR. Rajuk dan protes bersilih ganti. Ketidaktelusan pengurusan pemilihan mengundang kecewa banyak pihak dalam parti. Rajuk Zaid Ibrahim membawa sumbing kepada imej PKR yang kononnya menjadi pilihan kelompok reformis.

Seorang pemimpin Melayu-DAP seakan-akan orang paling khuatir dan risau bahawa pertandingan di dalam PKR kali ini akan menimbulkan perpecahan di dalam parti tersebut. Mungkin pemimpin Melayu-DAP itu merasakan pemilihan dalam DAP dirasakan lebih 'tersusun' dan mudah dicatur Setiausaha Agung partinya.

Pemimpin Melayu-DAP yang risau itu menulis beberapa siri artikel mengenai pemilihan PKR. Dua daripada artikel tersebut berkaitan pertembungan 'Azmin Ali dan Khalid Ibrahim'. Tanpa segan silu, pemimpin Melayu-DAP itu merasakan Azmin lebih layak dijadikan pemimpin no.2 PKR.

Kepada wakil DAP tersebut, kemahiran keusahawanan Khalid tidak membawa nilai tambah kepada PKR dan Pakatan Rakyat. Yang lebih diperlukan adalah seorang 'Jeneral Politik' sebenar yang boleh memimpin parti.

Ini boleh diringkaskan dalam satu perenggan tulisan wakil DAP tersebut: '....business leadership may one day find it more profitable to be in mainstream politics and so can decide it is of strategic importance to be in BN'.

Makna kata, DAP sendiri merasakan pemimpin tertentu akan mengambil jalan Barisan Nasional (BN) jika ia lebih menguntungkan untuk berbuat demikian. Demikianlah persepsi dan pandangan, bukan sahaja di kalangan ahli parti, malahan rakan-rakan dalam pakatan. Kalangan pimpinan DAP sendiri merasa 'khuatir' tentang kemungkinan berlakunya penghijrahan politik sekiranya keputusan tidak memihak kepada kumpulan tertentu.

Sindrom Kelelahan Politik

Kita semua maklum bahawa gempita 'reformasi' ini adalah obor perjuangan lama yang mahu dinyalakan semula. Asasnya masih lagi sama, soal kepentingan dan masa hadapan politik 'individu' bernama Anwar Ibrahim. Umur PKR pun tidak jauh beza dengan usia 'kes liwat' pertama yang melibatkan supremo-politik PKR tersebut.

Mungkin lebih mudah untuk PKR menjual konsep 'reformasi' sekiranya jawatan Presiden parti itu tidak difaraid sepasang suami isteri. Sebagai parti politik, PKR sudah diangkat martabatnya menjadi 'harta sepencarian' yang wajar dikongsi sesama sendiri. Mungkin ini agaknya yang mendorong 'kelelahan politik' (political fatigue) kepada ramai pimpinan PKR yang selama ini mendokong perjuangan politik parti tersebut.

Calon Timbalan Presiden, Azmin sendiri bercakap mengenai kumpulan yang menghidapi sindrom kelelahan politik ini. Ucapan yang sendat dengan terminologi dan ayat-ayat politik besar ini boleh dirujuk di laman web rasmi Ahli Parlimen Gombak tersebut.

Menyusur ucapan Azmin, kita dapat mengesan elemen keterdesakan untuk meletakkan perjuangan 15 tahun parti itu seiring dengan sejarah-sejarah besar yang berlaku di seluruh dunia. Untuk mengaitkan perjuangan insular dan individualistik PKR, seiring dengan karya seperti The Glorious Revolution, The Rising Tide of Colour - dan pelbagai lagi rujukan nasionalisme lain adalah percubaan yang longgar.

Kemewahan kempen awal Azmin juga menjadi isu di dalam media sosial, khususnya di kalangan ahli PKR sendiri. Kepada ramai aktivis parti tersebut, standard yang diletakkan Azmin terlalu tinggi sekali gus membuktikan PKR bukan lagi parti yang berdiri di atas landasan keadilan dan kesaksamaan, malahan banyak dipengaruhi dengan kemampuan dana dan kewangan.

Kita boleh faham dengan keperluan Azmin menggunakan nama-nama buku dan pandangan ahli falsafah besar ini. Daripada sudut strategi, 'Keadilan Raya' (walaupun apa sahaja interpretasinya), adalah fikrah besar yang diharapkan mendapat sokongan ahli Keadilan seluruhnya. Gagal mempertahan jawatan Timbalan Presiden, memberi petanda buruk kepada masa depan politiknya.

Selangor Sebagai 'Punca Kuasa'

Lawan Azmin bukan calang-calang ahli politik. Walaupun mungkin bukan di kalangan 'reformis awal' kepada PKR, namun Khalid telah membuktikan kemampuan untuk memberi kemenangan penting kepada parti itu di Selangor. Walaupun pada hakikatnya Pas menjadi 'tulang belakang' kepada kemenangan di Selangor, Khalid adalah seorang calon Menteri Besar yang diterima oleh semua parti di dalam pakatan.

Kepada Khalid, kemenangan penggal kedua di Selangor, dengan majoriti yang lebih besar adalah kerana pentadbiran beliau yang cekap dan diterima rakyat. Berkempen di atas gagasan 'Menuju Reformasi Tulen' juga tidak disenangi oleh kalangan aktivis parti. Mereka menyamakan bagaimana Ezam yang pernah menjadi menjuarai istilah 'reformis' juga akhirnya berhijrah sokongan kepada UMNO/BN.

Di atas kertas, beza manifesto di antara Azmin dan Khalid memang jauh dan sangat nyata. Sementara seorang calon menggunakan falsafah hebat dan kental, Khalid lebih tertumpu kepada soal dalaman parti. Jika mereka mahukan klon Ketua Umum, Azmin adalah pilihan terbaik. Namun jika mereka mahu PKR melakukan koreksi dalaman, termasuk membudaya elemen integriti dan urus kelola baik, Khalid mungkin menjadi pilihan.

'Third Force'

Di dalam ucapan pemula kempen Azmin secara spesifik menyentuh tentang wujudnya kumpulan yang mungkin mewujudkan perpecahan. Menurut Azmin, '...kita perlu mengelakkan factionalism, alliance atau gabungan yang akan menyebabkan parti yang kita sayangi hancur berantakan. Bagi saya, seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kenapa kita perlu mencipta third force ? What we need is just one force. Only one ! That is the force of Keadilan.'

Hujah Azmin ini pastinya merujuk kepada pasukan 'Masa Depan Bersama' yang diterajui Saifuddin Nasution yang juga tidak boleh dinafikan gelombangnya. Dengan mempunyai 'ayam tambatan' seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah, pasukan ini juga mempunyai kelebihan yang bukannya kecil.

Restu Politik Segambut

Sepanjang 15 tahun kewujudan PKR, 'restu politik Segambut' adalah lesen besar yang boleh memenangkan dan menewaskan ramai calon yang kepingin jawatan yang lebih tinggi. Tanpa lesen tersebut, maka ruang untuk mendapat tempat dengan sendirinya akan menjadi kecil.

Pada pandangan penulis, pertembungan tiga penjuru jawatan Timbalan Presiden ini mungkin sahaja dibatalkan di saat-saat akhir. Kalaupun tidak batal, 'kompromi' akan cuba dicapai dalam memastikan PKR tidak berantakan dan pecah. PKR yang berantakan, akan juga menyebabkan pakatan politik lebih besar berdepan onar yang lebih tajam.

Meraih sokongan orang muda hanya dengan fakta kononnya kezaliman sistem kehakiman mungkin sudah tidak lagi membangkit semangat 1998. Anak muda juga sudah menyaksikan sendiri bagaimana sistem kehakiman diperguna dengan puluhan cubaan penangguhan yang bertahun-tahun lamanya.

Selepas ini, ada kemungkinan gerakan politik susulan dilakukan untuk kerusi Permatang Pauh. Jika larian politik berganti-ganti diteruskan antara suami isteri, gempita reformasi elok dilakukan kepada PKR sendiri - yang masih gagal berlari jauh daripada individu dan keluarga sama, sejak 15 tahun lamanya!

Kita hanya perlu tunggu dan lihat bagaimana pemilihan PKR membawa lanskap baru di dalam parti tersebut. Resah, rajuk dan rentan memang menjadi wajah biasa pemilihan PKR. Akhirnya nanti, kroni dan keluarga sendiri juga mendapat laba politik yang dihajatkan.

PENULIS ialah Juragan, Sekretariat Gerak Sosial dan Urbanisasi (SERASI).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved