Isnin, 10 Mac 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Harimau Malaya tanggung akibat?

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

TINDAKAN Ultras Malaya menyalakan suar dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina di Stadium Selayang bakal mengundang masalah buat FAM.

KUALA LUMPUR - Mungkinkah Harimau Malaya selepas ini terpaksa bermain di gelanggang berkecuali atau beraksi tanpa kehadiran sebarang penonton?

Demikian dua realiti yang berkemungkinan diterima oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Setiausahanya, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan pihaknya telah menerima surat pertuduhan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Khamis lalu.

Semuanya gara-gara tindakan liar para penyokong `Ultras Malaya yang membaling suar, bunga api dan bom asap semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina, 1 Mac di Stadium Selayang yang mengakibatkan perlawanan dihentikan selama lapan minit.

FAM yang dikenakan surat pertuduhan di bawah tiga pertuduhan artikel berbeza dan hanya diberikan tempoh masa sehingga hari ini oleh AFC bagi menjawab pertuduhan yang dikenakan.

"Surat daripada AFC saya baru pada petang hari Khamis lepas dan sekurang-kurangnya esok kita kena balas namun saya akan cuba minta penangguhan daripada pihak mereka.

"AFC telah mengeluarkan surat pertuduhan selepas mendapat laporan daripada komisioner perlawanan terhadap perlawanan itu kerana ia adaah perlawanan persahabatan berkelas A dan di dalam surat ada menyatakan yang kita akan didakwa di bawah Artikel 65,66 dan 67.

"Di bawah ketiga-tiga artikel ia menyebut atas dakwaan pengurusan perlawanan yang menjurus kepada sikap dan keganasan yang dicetuskan oleh penonton apabila membaling bunga api, mercun dan bom asap sehingga permainan terpaksa dihentikan, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Hamidin, terdapat beberapa hukuman boleh dikenakan sekiranya AFC mendapati FAM selaku penganjur perlawanan berkenaan didapati bersalah.

"Hukuman itu boleh datang dalam pelbagai bentuk iaitu antaranya penggunaan stadium di tempat sendiri boleh digantung dan jika ada sebarang kejohanan, kita terpaksa bermain di tempat berkecuali.

"Buat masa ini, tiada denda disebut dalam pertuduhan namun terpulang kepada Jawatankuasa Tatatertib AFC jika mahu mengenakan denda jika dirasakan perlu, " katanya.

Aksi Malaysia dan Filipina pada 1 Mac lalu terpaksa dihentikan di minit ke-31 selepas para penyokong Ultras membaling bom asap dan mercun sebagai tanda memprotes terhadap Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang telah mentadbir badan induk bola sepak itu selama 30 tahun.

Apa yang dilakukan oleh Ultras itu mendapat perhatian seluruh negara dan teguran daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selain Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sedia menyelesaikan perseteruan anrara kedua-dua pihak.

Namun, beberapa wakil Ultras yang ditemui berhasrat tidak mahu menemui pihak FAM dan berjanji akan meneruskan perjuangan selagi tiada perubahan drastik di FAM.

PBNJ sudah balas surat pertuduhan

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

JOHOR BAHRU - Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) sudah membalas surat pertuduhan berhubung kekecohan yang berlaku di dalam terowong sewaktu perlawanan Johor Darul Tazim (JDT) menentang T-Team dalam kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini 1 Februari lalu dan kini terpulang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk

Setiausaha Kehormatnya, Mohd. Fahmy Yahya ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan pasukan JDT sudah menjawab surat pertuduhan dikeluarkan Pihak Sekretariat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada skuad tersebut melalui PBNJ.

"Kita sudah menjawab surat pertuduhan itu," katanya, namun enggan mengulas lanjut berhubung kandungan isi surat jawapan berkenaan termasuk bila ia diserahkan kepada FAM.

Utusan Malaysia 5 Mac lalu melaporkan, JDT telah diberikan surat pertuduhan berhubung kekecohan yang berlaku di dalam terowong sewaktu perlawanan skuad itu menentang T-Team dalam kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pertuduhan yang dikenakan ialah berhubung kegagalan dari segi keselamatan dan JDT diberikan tempoh seminggu bermula 4 Mac untuk menjawab pertuduhan itu.

"Pihak Sekretariat FAM telah mengeluarkan surat pertuduhan kepada pasukan JDT di bawah Kod Tatatertib 28.1 iaitu kesalahan daripada segi mengawal keselamatan pegawai dan pemain semasa perlawanan.

"Pihak JDT diberi masa seminggu untuk membalas surat pertuduhan itu dan mereka kena serahkan selewat-lewatnya pada 11 Mac ini kepada FAM," katanya.

Beliau menambah, surat itu hanya ditujukan kepada pasukan itu melalui PBNJ.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved