Isnin, 10 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


MIC sasar 100,000 belia India sertai pertanian NAAM

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

SEREMBAN 9 Mac - Seramai 100,000 belia India disasar menyertai program Gerakan Afirmatif Baharu (NAAM) dalam sektor pertanian bermula tahun ini sehingga 2018 bagi memperkasakan ekonomi kaum itu.

Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan berkata, sasaran itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal mengumumkan peruntukan khas sebagai permulaan tidak lama lagi.

"Untuk tahun pertama, kita menyasarkan 5,000 belia India menyertai program ini yang dipilih berdasarkan keahlian NAAM.

"Penyertaan dalam kalangan anggota NAAM untuk program ini adalah percuma dan hanya seorang anggota daripada setiap keluarga dibenarkan menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Catur Terbuka Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Sembilan Kali Ke-3 di Kolej Tafe, di sini hari ini.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan memberitahu, projek pertanian yang berpotensi untuk diusahakan meliputi tanaman cili merah, bunga melor dan pisang.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti enam negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor bagi mengerakkan program berkenaan.

"Kita sedang mendapatkan kerjasama kerajaan negeri BN supaya mereka dapat menyewakan tanah pertanian dengan kadar yang rendah untuk dimajukan dalam tempoh lima tahun.

"Selepas tempoh itu, terpulang kepada kerajaan negeri sama ada mereka berminat memperbaharui perjanjian tersebut atau sebaliknya," ujarnya.

Tambahnya, peserta terpilih akan diberikan latihan termasuk dibekalkan benih tanaman secara percuma daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Di samping itu, mereka turut berpeluang mendapatkan bantuan kewangan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan hasil tanaman mereka akan dibeli semula oleh NAAM," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved