Isnin, 10 Mac 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Tuisyen

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh Wahid Hashim
pendidikan@utusan.com.my

Jadual Program PIT

Ibu bapa kini boleh mengikuti program pendidikan Tutor di 21 kluster terpilih, yang menawarkan tiga modul pembelajaran iaitu latih tubi kendiri, atas talian dan bersemuka, hasil usaha sama Utusan Malaysia dengan pusat tuisyen terkemuka - Kumpulan Pendidikan Mawar - yang menjadi hos program intensif berkenaan.

Bagi menjamin keberkesanannya, pada sepanjang program nanti, pelajar akan diminta membuat sekurang-kurangnya 10,000 soalan secara latih tubi secara berbimbing bagi meningkatkan penguasaan akademik mereka.

Program enan bulan itu akan dijalankan pada hari Ahad setiap minggu bermula April dan pengambilan peserta boleh dilakukan sekarang.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini baru-baru ini, program ini akan dikenali sebagai Program Intensif Tutor (PIT).

Sebagai permulaan, PIT bertumpu di sekitar Lembah Klang selain di Perlis, Kedah dan Perak bagi memenuhi permintaan yang tinggi bagi sisipan akhbar Tutor serta populariti pusat tuisyen Mawar di lokasi terpilih, tambah kenyataan itu.

''Kini akhbar Tutor adalah eksklusif untuk langganan sekolah, sama ada langganan langsung atau penajaan untuk kegunaan pelajar di sesebuah sekolah," kata kenyataan tersebut.

Pogram khas PIT ini sekali gus membuka laluan kepada ibu bapa atau pelajar yang ingin menggunakan modul Tutor di luar sekolah berbuat demikian di salah sebuah daripada 21 kluster berkenaan.

Kenyataan itu turut memberitahu, PIT ialah program enam bulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Pentakiran Menengah Rendah (PPMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

''Sepanjang program enam bulan itu, pelajar akan mengikuti tiga bentuk pendekatan iaitu post-mortem pengukuhan, pengayaan atau bimbingan, melalui konsep latih tubi berdasarkan gaya belajar masing-masing," ujar kenyataan itu.

Ujian diagnostik juga akan dilakukan pada peringkat awal bagi membolehkan Tutor menilai kekuatan dan kelemahan pelajar, serta topik yang sukar bagi mereka.

Kata kenyataan itu lagi, menjelang peperiksaan, pelajar akan mengikuti pula simulasi peperiksaan sebenar sebagai pra-syarat keberkesanan konsep latih tubi .

Program akan melibatkan pemantauan secara dekat oleh ibu bapa di luar waktu tuisyen kerana pelajar akan diminta membuat semua latihan dalam akhbar Tutor dalam tempoh seminggu sebelum mereka bersemuka dengan guru Tutor di kluster masing-masing.

Kata kenyataan itu, pihak PIT akan mengadakan pertemuan sekali dengan ibu untuk sesi taklimat dan menyerahkan laporan akademik anak masing-masing.

''Ibu bapa perlu mengetahui bahawa pelajar yang tidak membuat kerja rumah akan dianggap gagal dan bakal menghadapi masalah untuk memahami perbincangan dalam modul post-mortem," tegas kenyataan itu.

Pada hari pendaftaran , tambah kenyataan berkenaan, pelajar akan dibekalkan dengan satu atau dua set akhbar pendidikan Tutor, dan mereka akan terus diminta membuat bahan latih tubi di dalamnya sebagai persiapan program bersemuka pada Ahad berikutnya.

Kerja rumah itu akan dibincangkan secara intensif dalam sesi post-mortem. Bahan Tutor akan menjadi rujukan utama, dan guru tuisyen akan menambah bahan-bahan lain seta memberikan tip tentang format, bentuk soalan serta soalan-soalan tambahan.

Untuk latihan pada minggu berikutnya, mereka akan mendapat akhbar pendidikan Tutor yang baru pada hari Ahad dan memulakan kitaran pembelajaran dengan set bahan latih tubi yang baru pula.

''Sewaktu di kluster atau pusat tuisyen PIT, guru pakar yang dipilih akan memberi tumpuan kepada kerja rumah daripada bahan akhbar Tutor, serta akan menambah kefahaman pelajar dengan nota serta soalan tambahan, yang hanya boleh didapati semasa program bersemuka ini," ujar kenyataan tersebut.

Guru pula mengecam tahap dan minat pelajar bagi membolehkan fokus diberikan kepada sasaran yang betul mengikut dos pembelajaran yang sesuai.

Bagi memantapkan lagi kemahiran calon, PIT akan memberikan kata laluan khusus yang eksklusif untuk akses kepada laman web sensasi masa kini, tutor.com.my bagi membolehkan calon yang gemar pembelajaran Internet serta melakukan latih tubi secara bersendirian belajar mengikut gaya belajar masing-masing.

Kepada ibu bapa atau pelajar yang berminat, mereka boleh membuat pendaftaran dengan terus ke pusat tuisyen Mawar yang dinyatakan di bawah atau mengisi borang yang tertera dalam iklan di akhbar Utusan Malaysia dalam kadar yang segera.

Van jenazah arak pelajar ponteng

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

Hussain Awang (tiga dari kiri) memberi nasihat kepada pelajar yang ditahan ponteng sekolah di Masjid Telipot, Kota Bharu, semalam. - Utusan/NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

KOTA BHARU 9 Mac - Jabatan Pelajaran negeri menggunakan cara tersendiri untuk memberi amaran kepada pelajar supaya tidak ponteng sekolah iaitu mereka akan diarak dengan van jenazah ke seluruh kawasan bandar berhampiran sekolah mereka jika ditangkap berbuat demikian.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tersebut bagi mengurangkan gejala ponteng sekolah di negeri itu.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi mengurangkan pelajar ponteng terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral terutama penagihan dadah.

"Kita memberi amaran keras kepada pelajar yang ponteng, mereka akan diarak mengelilingi bandar ini dengan van tersebut kerana kami mahu mereka mengambil pengajaran daripada perbuatan yang dilakukan itu.

"Jabatan Pelajaran negeri mahu mengurangkan kadar ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menjalankan Ops Ponteng di sini hari ini.

Operasi di sekitar bandar itu yang bermula pada pukul 9 pagi ini turut melibatkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan negeri dan Pasukan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela).

Hussain berkata, dalam operasi tersebut 17 pelajar ditangkap di beberapa lokasi di sini kerana ponteng sekolah.

"Sebahagian besar pelajar terlibat adalah dari sekolah di daerah ini tetapi ada juga pelajar sekolah dari daerah lain yang turut ponteng. Ada antara mereka dikesan positif dadah dan merokok.

"Kesemua pelajar itu diberikan kaunseling dan ibu bapa turut dimaklumkan oleh pihak sekolah dan terkejut dengan perlakuan anak mereka itu," ujarnya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi yang sama selepas ini secara berkala untuk memastikan gejala ponteng sekolah berjaya dibanteras.

"Langkah mengatasi masalah itu bukan hanya menjadi tanggungjawab jabatan dan sekolah semata-mata, sebaliknya perlu ditangani bersama ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa secara berterusan," tegasnya.

Sementara itu, seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Bidi, 17, memberi alasan dia dan rakan-rakannya ponteng sekolah disebabkan makanan yang disediakan di kantin tidak sedap.

"Kami sering ponteng sekolah kerana mahu makan makanan di kantin tidak sedap, tetapi selepas ini kami berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved