Isnin, 10 Mac 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Utusan Malaysia bantu pelajar

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Sumarni Junin (barisan depan, lapan dari kanan) bersama guru dan pelajar mempamerkan akhbar Utusan Malaysia dan Tutor selepas majlis penyerahan langganan akhbar tersebut di SMK Taman Desa, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kira-kira 95 peratus Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa di sini terdiri daripada kaum Tionghua, namun sejak lebih lima tahun lalu, akhbar Utusan Malaysia menjadi akhbar pilihan utama sekolah ini.

Malah SMK Taman Desa muncul sekolah paling banyak melanggan Utusan Malaysia dengan 500 naskhah setiap minggu.

Pengetuanya, Sumarni Junin berkata, sejak melanggan akhbar Utusan Malaysia, pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu berjaya ditingkatkan seterusnya membantu mereka menguasai mata pelajaran tersebut.

Menurutnya, penggunaan akhbar Utusan Malaysia sebagai rujukan dan alat bantu mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu telah berjaya meningkatkan pencapaian akademik pelajar malah menyaingi pencapaian sekolah kebangsaan harian lain.

"Sebahagian besar pelajar Tionghua di sekolah ini datangnya daripada sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJT) jadi mereka amat lemah dalam pemahaman bahasa Melayu dan kita gunakan akhbar Utusan Malaysia untuk membantu mereka menguasai subjek itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Insentif Langganan Tertinggi (ILT) akhbar Utusan Malaysia di sekolah itu hari ini.

Sumarni mewakili SMK Taman Desa menerima hadiah wang tunai RM500 yang disampaikan oleh Eksekutif Kanan Jabatan Pemasaran, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Mohd. Asri Jantan.

SMK Taman Desa menerima ILT untuk tiga tahun berturut-turut.

Kata Sumarni, penggunaan akhbar Utusan Malaysia dalam bilik darjah juga membolehkan pelajar sekolah itu mengetahui perkembangan semasa melalui berita serta rencana seperti disaran Kementerian Pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Pelajar tingkatan tiga hingga lima wajib menggunakan akhbar Utusan Malaysia sebagai rujukan pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral manakala tingkatan satu dan dua pula sebagai bahan bacaan dalam bilik darjah.

"Akhbar ini amat sesuai dijadikan alat bantu mengajar buat guru-guru kerana mengandungi bahan berita yang boleh dijadikan rujukan kepada murid," katanya.

Tutor bahan rujukan sepanjang masa

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

SEBAHAGIAN pelajar tingkatan lima SMK Datuk Haji Talib Karim menunjukkan Tutor sambil mengulang kaji pelajaran sementara menunggu majlis pelancarannya oleh Md. Rashid Hussin di Alor Gajah, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 10 Mac - Akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor bukan sahaja mampu meningkatkan minat dalam kalangan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bahkan boleh dijadikan bahan rujukan pembelajaran ketika berada di rumah.

Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Talib Karim, Zulkapli Othman berkata, dengan saiz kecil dan mudah dibawa serta kandungannya yang sangat padat, Tutor sesuai dijadikan bahan rujukan sepanjang masa.

Selain dijadikan bahan rujukan jelasnya, Tutor juga merupakan medium paling menarik untuk dijadikan bahan latihan di luar kelas terutama oleh calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan awam.

"Pelajar masa kini lebih berminat dengan bahan yang ringkas dan mudah dibawa ke mana-mana namun padat dengan pelbagai informasi serta ilustrasi menarik.

"Oleh itu, saya melihat Tutor sebagai pilihan paling sesuai kepada mereka kerana mempunyai segala elemen tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Bulan Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dan pelancaran Tutor Utusan Malaysia yang dirasmikan Pengarah Pendidikan negeri, Md. Rashid Hussin di SMK Datuk Haji Talib Karim, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Guru Penolong Kanan 1, Rohaya Othman; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Rusli Zahari dan wakil Utusan Malaysia, Mohd. Najib Fahmi Ali.

Program pelancaran Tutor Utusan Malaysia yang pertama kali dianjurkan di sekolah itu melibatkan penyertaan kira-kira 1,200 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam.

Jelas Zulkapli, pihak sekolah akan terus menggunakan Tutor sebagai rujukan tambahan bagi pelajar dalam usaha untuk meningkatkan prestasi mereka.

"Penggunaan berterusan bahan bantuan mengajar ini diharap dapat menyediakan pelajar untuk berhadapan dengan peperiksaan sebenar pada penghujung tahun," katanya.

Sementara itu, Md. Rashid memuji langkah diambil SMK Datuk Haji Talib Karim yang menjadikan Tutor sebagai bahan bantuan tambahan bagi meningkatkan minat pelajar dalam sesi PdP.

Ujarnya, penggunaan bahan utama seperti buku teks sememangnya penting namun usaha tambahan perlu dilaksanakan untuk menghasilkan keputusan akademik luar biasa.

"Saya melihat penggunaan Tutor ini sebagai salah satu usaha tambahan pihak sekolah dalam membantu meningkatkan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajarnya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved