Isnin, 10 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Anwar fail rayuan, bayar jaminan

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya setelah didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lalu.

Notis rayuan tersebut difailkan melalui peguamnya, Ramkarpal Singh di kaunter pendaftaran Mahkamah Rayuan di sini kira-kira pukul 10.30 pagi dan salinannya turut diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan.

Anwar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan hukuman dan sabitan atas pertuduhan itu yang diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi pada Jumaat lalu.

Menurut Ramkarpal, notis rayuan tersebut difailkan hari ini sebagaimana yang dikehendaki oleh mahkamah walaupun pihaknya mempunyai tempoh selama 14 hari untuk berbuat demikian.

Beliau turut memberitahu, pihaknya mempunyai tempoh 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik sahaja menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan.

Setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk sebarang prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Anwar hari ini turut membayar wang jaminan RM10,000 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan, dengan seorang penjamin iaitu ketua staf di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ibrahim Yaakob.

Anwar menandatangani dokumen ikat jamin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan (Bahagian Jenayah), Darmafikri Abu Adam setelah tiba di Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 12.25 tengah hari, hampir satu jam setengah lewat dari masa pukul 11 pagi yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu.

Kelewatan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah disebabkan beliau menghadiri majlis pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muaazam Shah di ibu negara.

Yang turut hadir ialah abang Anwar, Rosli Ibrahim.

Pada 7 Mac lalu, Anwar dihukum penjara lima tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.

Panel tiga hakim berkenaan memutuskan demikian ketika membenarkan rayuan pihak pendakwaan setelah mendapati hakim bicara terkhilaf apabila menyatakan bahawa integriti sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kes itu telah tercemar.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat PKR itu didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dibenar temui adik

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

STOCKHOLM 10 Mac - Suasana menyayat hati menyelubungi mahkamah apabila seorang wanita Malaysia yang dibicarakan atas tuduhan memukul anak-anaknya di Sweden, akhirnya bertemu dengan adiknya, yang menjadi penjaga sementara terhadap kesemua anak wanita terbabit.

Shalwati Norshal dibenarkan oleh pegawai mahkamah untuk bercakap dengan adik perempuannya, Shalena buat beberapa ketika, walaupun kedua-dua beradik itu tidak dibenarkan bersentuhan antara satu sama lain.

Shalena didengar memberitahu tentang ulang tahun ke-15 kelahiran anak sulung Shalwati, Aishah yang akan disambut pada Rabu, meskipun tarikh lahir sebenarnya adalah pada 11 Mac.

Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awaludin yang tidak menemui anak-anak mereka sejak ditahan pada 18 Disember tahun lalu, hanya melihat mereka melalui rakaman temu bual yang dibuat oleh pihak polis.

Bercakap kepada pemberita semasa prosiding berhenti rehat, Shalena berkata, dia berterima kasih kerana dibenarkan berbual dengan kakaknya walaupun tidak dibenarkan untuk berpelukan.

''Saya perlu datang ke sini, rasanya seperti sudah terlalu lama.

''Kami dalam keadaan baik, sekurang-kurangnya saya dapat bercakap dengannya dan abang ipar saya, Azizul, saya sangat sayang mereka,'' katanya.

Shalena berkata, dia memberitahu kakaknya bahawa anak-anak mereka dalam keadaan baik dan berjanji akan terus menjaga anak-anak Shalwati dengan baik.

Aishah dan adik-adiknya, Ammar, 13, Adam, 12, dan Ariff, 8, diletakkan di bawah jagaan Shalena dan suaminya, Nik Farid Nik Abdullah, setelah mereka dibawa pulang ke Malaysia pada 1 Februari lalu.

Sejak tarikh itu, keempat-empat adik-beradik berkenaan menetap di Kota Bharu, Kelantan.

''Saya bangga dengan kakak saya. Walaupun berada dalam keadaan sebegini, dia dapat menanganinya dengan baik.

''Saya kenal kakak saya, dia seorang yang berpendirian teguh dan tahu akan hak-haknya,'' kata Shalena.

Sementara itu, semasa perbicaraan di Mahkamah Daerah Solna di sini hari ini, Pegawai Pendakwa, Anna Arnell telah memainkan rakaman audio temu bual dengan Azizul Raheem yang dirakamkan pada 10 Januari lalu.

Dalam rakaman tersebut, Azizul Raheem mengaku memukul anak-anaknya ketika mereka bermain atau berkelahi semasa berdoa selepas bersolat.

''Kebiasaannya anak-anak lelaki dipukul, Aishah meningkat dewasa, jadi dia tahu apa perlu dilakukan,'' kata Azizul dalam rakaman tersebut.

Ditanya bila kali terakhir dia memukul anak-anaknya, Azizul Raheem berkata, dia tidak mengingati tarikhnya dengan tepat walaupun kali terakhir kejadian itu barangkali pada tiga atau empat bulan sebelum itu.

Kenyataan itu bercanggah dengan keterangan Azizul Raheem di mahkamah yang menyatakan dia hanya memukul anak-anaknya ketika mereka masih di Afrika Selatan, tiga tahun lalu.

Selepas pasangan suami isteri itu selesai memberi keterangan, perbicaraan hari ini tertumpu pada keterangan beberapa orang guru dan ibu bapa berhubung bagaimana kanak-kanak tersebut didakwa telah didera.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Perbicaraan bersambung 12 Mac ini. - THE STAR

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved