Selasa, 11 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kes denggi di PD meningkat

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

AB. Khalid Mat (dua dari kanan) memeriksa sistem saliran rumah penduduk semasa gotong-royong anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson di Bandar Sunggala, Port Dickson, semalam. - UTUSAN/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG 10 Mac - Jumlah kes denggi menyaksikan peningkatan mendadak di sekitar daerah ini apabila mencatatkan 24 kes sepanjang Januari hingga hari ini berbanding hanya dua kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Induk Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) Port Dickson, Datuk Ab. Khalid Mat berkata, walaupun kadar itu masih tidak mencapai tahap serius, namun langkah pencegahan wajar dijalankan secara berterusan bagi memerangi wabak yang boleh membawa maut itu.

"Justeru, kita menjalankan gotong-royong setiap dua minggu di kawasan berisiko tinggi bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes ini.

"Gotong-royong ini juga bertujuan mencegah pembiakan tikus serta lalat yang merupakan antara haiwan pembawa penyakit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program Gotong-royong Jabatan Kerajaan Bersama Penduduk Setempat dan Pihak Swasta anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), di Bandar Sunggala, Port Dickson dekat sini semalam.

Beliau yang juga Yang Dipertua MPPD berkata, hasil pemerhatian pihaknya mendapati ada beberapa faktor yang mengundang pembiakan serangga dan haiwan berkenaan.

"Antaranya, saluran pengaliran yang dibuat penduduk mengganggu sistem yang sedia ada sehingga menyekat kelancaran pengaliran, pembuangan sampah tidak mengikut arahan syarikat konsesi dan tidak membersihkan persekitaran rumah dengan sempurna.

"Hal ini menyebabkan banyak pembiakan nyamuk, tikus serta menarik kehadiran lalat. Pihak MPPD akan berusaha membaik pulih sistem saliran longkang ini mengikut fasa bagi melancarkan kembali pengaliran dan penduduk dilarang mengubahsuainya kembali," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk seharusnya peka dan sering berkerjasama untuk melakukan aktiviti bergotong-royong.

"Apabila agensi kerajaan membuat gotong-royong, kita berharap jumlah penyertaan penduduk setempat adalah lebih ramai," katanya.

Anuar raih RM15,000 juara Memancing Wang Besar Kolam 2014

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Hasan Rahman (tiga dari kanan) bersama juara pertandingan Memancing Wang Besar Kolam 2014 iaitu Anuar Ismail (dua dari kanan) dan pemenang lain, Ujang Lundaw (tiga dari kiri) dan Jackson Randy (kiri) di Pusat Rekreasi Kolam Pancing Joran Terbang di kawasan Perindustrian Gangsa, Durian Tunggal, Melaka, semalam.

MELAKA 10 Mac - Ikan patin seberat 10.4 kilogram menobatkan Anuar Ismail, 37, selaku juara pertandingan Memancing Wang Besar Kolam 2014 di Pusat Rekreasi Kolam Pancing Joran Terbang di kawasan Perindustrian Gangsa, Durian Tunggal dekat sini semalam.

Kejayaan itu membolehkan Anuar yang berasal dari Hutan Perca dekat Alor Gajah meraih hadiah wang tunai RM15,000 menewaskan lebih daripada 700 peserta pertandingan tersebut.

Pemenang tempat kedua yang menawarkan hadiah wang tunai RM4,000 pula dimenangi oleh seorang tentera dari Kem Sungai Udang yang berasal dari Sarawak, Ujang Lundaw, 40, apabila menaikan ikan patin seberat 10 kilogram.

Ikan patin seberat 8.1 kilogram yang dijinakkan seorang lagi peserta dari Sarawak, Jackson Randy, 35, membolehkannya menduduki tempat ketiga pertandingan tersebut.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Anuar berkata, dia tidak menyangka jorannya akan disentap ikan patin seberat 10.4 kilogram iaitu satu-satunya ikan yang berjaya berjaya dipancing olehnya sepanjang lima jam pertandingan itu berlangsung.

"Mungkin ini sudah rezeki saya untuk menang. Mulanya saya ingat ada peserta lain dapat menaikkan ikan lebih besar tetapi sehingga tamat pertandingan, kemenangan menjadi milik saya," katanya.

Bagi Ujang pula, ikan patin yang dinaikkan sepuluh minit sebelum tamat membawa tuah untuk dia menduduki tempat kedua.

"Saya sangat gembira dan tidak sangka ikan yang saya peroleh di saat-saat akhir membolehkan saya mendapat RM4,000," katanya.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Kamal Abd. Rahman berkata, berdasarkan sambutan menggalakkan, pihaknya akan menganjurkan satu lagi pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 bulan depan.

Menurutnya, pertandingan pada 13 April ini menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk juara, naib juara RM6,000, ketiga RM3,000 dan keempat RM1,000.

Wujudkan kepelbagaian dalam pembelajaran

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

SEBAHAGIAN pelajar tingkatan lima SMK Dato Haji Talib Karim membelek akhbar pendidikan Tutor terbitan Utusan Melayu sebelum majlis pelancarannya oleh Md. Rashid Hussin di Alor Gajah, Melaka, semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD

ALOR GAJAH 10 Mac - Golongan guru di negeri ini diseru mempelbagaikan teknik semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas bagi meningkatkan minat dalam kalangan pelajar.

Pengarah Pendidikan negeri, Md. Rashid Hussin berkata, kepelbagaian itu termasuklah penggunaan bahan bantuan mengajar seperti akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor sebagai tambahan dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan.

Katanya, pelajar masa kini lebih meminati sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan dan pendekatan menggunakan bahan rujukan baharu dipenuhi ilustrasi serta padat dengan maklumat mampu menarik perhatian mereka.

"Saya melihat kesan positif melalui penggunaan bahan rujukan tambahan ini yang mempunyai kepelbagaian serta mampu mewujudkan suasana berbeza dalam proses PdP tersebut.

"Jika digunakan secara berterusan, saya yakin bahan ini dapat membantu mencapai lebih dari apa yang telah dikecapi negeri ini daripada segi pencapaian akademik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Bulan Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dan Tutor Utusan Malaysia di SMK Datuk Haji Talib Karim di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua Cemerlang SMK Datuk Haji Talib Karim, Zulkapli Othman; Guru Penolong Kanan 1, Rohaya Othman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Rusli Zahari.

Jelas Md. Rashid, kepelbagaian dalam proses pembelajaran itu perlu untuk menghasilkan keputusan luar biasa malah guru tidak boleh hanya bergantung kepada penggunaan buku teks semata-mata.

Beliau berkata, guru perlu berani melakukan perubahan dalam mendekati pelajar demi mencapai hasil berbeza daripada kebiasaan.

"Saya yakin sedikit perubahan yang dilakukan dalam bilik darjah dapat menghasilkan satu perubahan besar kepada pelajar serta pencapaian mereka," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved