Selasa, 11 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Karpal Singh didapati bersalah

Posted: 11 Mar 2014 12:18 PM PDT

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KARPAL Singh (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas hampir tiga minggu didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, lima tahun lalu.

Berikutan keputusan itu, Karpal, 73, boleh lucut kelayakan sebagai ahli Parlimen (MP) Bukit Gelugor, Pulau Pinang sekiranya Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan hari ini.

Hukuman denda tersebut dijatuhkan oleh Hakim Datuk Paduka Azman Abdullah selepas mengambil kira masalah kesihatan yang dialami oleh Karpal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 29 Januari 2005.

"Berbalik kepada prinsipal, setiap tuduhan perlu memberi impak kepada masyarakat, jika tidak, tiada rasa takut pada mereka yang melakukan kesalahan.

''Seperti mana yang saya katakan (berdasarkan faktor kesihatan), mahkamah ini tidak akan mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000," kata beliau.

Hakim Azman sebelum itu turut 'mengimbau kenangan' berhadapan dengan Karpal dalam beberapa kes sebelum ini serta selepas menjadi hakim dan mengakui bahawa peguam itu merupakan seorang yang handal dalam bidang perundangan.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta telah gagal merayu sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan.

Perkara 9A(1)(b) Akta Pertubuhan 1966 pula menyebut bahawa seseorang individu hilang kelayakan untuk memegang jawatan dan tidak boleh memegang sebarang jawatan sekiranya telah disabitkan atas apa jua kesalahan undang-undang dan telah dijatuhi hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara minimum setahun.

Karpal dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebut kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak pada satu sidang akhbar antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, No.67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi, di sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada 21 Februari lalu, Karpal didapati bersalah di akhir kes pembelaan selepas gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah namun jatuh hukum ditangguhkan sehingga hari ini bagi memberi peluang pihak pembelaan menyediakan laporan perubatan bagi tujuan mitigasi.

Pemimpin pembangkang itu sebelum ini pernah dibebaskan di akhir kes pendakwaan namun diperintah membela diri selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Terdahulu, Noorin menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat termasuk hukuman tahanan bagi menghantar mesej jelas kepada pihak lain agar tidak mempersoalkan kuasa sultan.

Katanya, sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Perak telah bertindak betul apabila melantik Menteri Besar yang baharu dan ini diakui oleh Mahkamah Rayuan bahawa baginda telah membuat keputusan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dalam menyelesaikan krisis politik ketika itu.

Menurut beliau, sebagai peguam yang arif mengenai perlembagaan dan berpengalaman hampir 45 tahun, Karpal sepatutnya lebih berhati-hati semasa membuat kenyataan kepada media.

Kekecohan bagaimanapun berlaku apabila hujahan Noorin yang menyentuh mengenai pandangan masyarakat sekiranya hukuman ringan dikenakan telah dibidas oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Karpal.

Keadaan menjadi panas apabila Gobind mengecam Jabatan Peguam Negara menyebabkan Noorin yang bertubuh genit dan pernah digelar 'Iron Lady' oleh seorang hakim mula 'memulangkan paku buah keras' sebelum keadaan itu ditenangkan oleh Hakim Azman.

Sementara itu, Gobind dalam rayuannya, memohon Karpal yang juga ayahnya diberikan jaminan berkelakuan baik kerana sebagai ahli Parlimen, tertuduh bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berhubung isu kepentingan awam.

Beliau turut mengemukakan dua laporan perubatan mengenai kerosakan saraf serviks Karpal yang terbabit dalam kemalangan selain bapanya itu terpaksa menggunakan kerusi roda, malah perlu dibantu untuk memakai pakaian.

Gobind ketika ditemui selepas tamat prosiding menyatakan, pihaknya akan membayar denda tersebut kerana pelaksanaan hukuman itu tidak boleh ditangguhkan namun akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Karpal yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita berkata, beliau masih lagi berpegang dengan apa yang dinyatakan dalam sidang akhbar tersebut.

Menjawab pertanyaan media sama ada 'King' telah turun takhta dengan memetik kenyataannya sebelum ini iaitu 'Singh is King" (Singh adalah raja), Karpal mengatakan bahawa 'Singh will always be King' (Singh akan sentiasa jadi raja).

Ahli keluarga Karpal dan beberapa pemimpin kanan pakatan pembangkang serta pemerhati asing turut hadir di mahkamah.

Saman fitnah: Bekas Timbalan Pengerusi SPR mohon ganti rugi RM200,000

Posted: 11 Mar 2014 12:18 PM PDT

KUALA LUMPUR 11 Mac - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon ganti rugi tidak kurang daripada RM200,000 sekiranya memenangi kes saman fitnahnya terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan lidah rasmi Pas, Harakah berhubung dakwaan beliau terbabit dalam 'Projek IC' di Sabah.

Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Wan Ahmad berkata, pihaknya memohon jumlah tersebut memandangkan kes berkenaan melibatkan maruah, integriti dan reputasi anak guamnya itu supaya dapat menjadi teladan kepada pihak-pihak lain yang cuai semasa membuat tuduhan dan fitnah.

Beliau menyatakan demikian setelah Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Lee Heng Cheong hari ini memohon kedua-dua pihak berhujah lanjut berhubung isu ganti rugi sekiranya keputusan kes saman itu memihak kepada mana-mana pihak.

Mohd. Hafarizam ketika ditemui pemberita selepas prosiding di kamar hakim selanjutnya berkata, pihaknya juga memohon kos RM50,000 sementara peguam Azhana Mohd. Khairuddin yang mewakili Mohamad dan empat yang lain memohon ganti rugi minimum dan jumlah kos yang sama.

Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Hakim Heng Cheong menangguhkan keputusan yang sepatutnya dibuat pada hari ini kepada 20 Mac ini.

Sehingga hari ini telah empat kali penangguhan keputusan dibuat setelah mahkamah memohon hujahan lanjut berhubung isu-isu tertentu.

Wan Ahmad turut hadir pada prosiding tersebut.

Dalam saman tersebut, Wan Ahmad selaku plaintif menamakan Mohamad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel itu, Aziz Muda sebagai defendan pertama hingga kelima.

Plaintif memfailkan saman terhadap mereka pada 5 Mac tahun lalu kerana menerbitkan artikel bertajuk 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai' dan 'Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan' dalam Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013 yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau.

Wan Ahmad mendakwa, Mohamad Sabu mengeluarkan perkataan fitnah apabila menyatakan plaintif tidak boleh dipercayai kerana terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam ''Projek IC'' di Sabah.

Dakwa beliau, perkataan fitnah tersebut membawa maksud plaintif tidak mempunyai kredibiliti dan integriti dalam menjalankan tugasnya di SPR.

Katanya, pihak defendan juga mendakwa beliau telah menggunakan kedudukan serta jawatannya untuk mengaburi dan menutup konspirasi jahat untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di Sabah dalam pilihan raya.

Akibat penerbitan itu, Wan Ahmad menyatakan, beliau telah dihina dan diaibkan bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa.

Dengan itu, plaintif antaranya menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah kelak.

Sementara itu, dalam pernyataan pembelaan bertarikh 2 April 2013, pihak defendan mendakwa, writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Wan Ahmad melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak wajar dibatalkan kerana firma guaman itu tidak mempunyai kuasa untuk mewakili anak guamnya itu.

Pihak defendan juga mendakwa, tindakan Wan Ahmad memfailkan tuntutan fitnah ke atas mereka mewujudkan kesan yang menakutkan kepada hak kebebasan bersuara kesemua defendan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved