Selasa, 11 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Azizah lawan Mei Fun

Posted: 11 Mar 2014 12:19 PM PDT

Salleh Buang

INI bukan nama satu kes yang telah diputuskan atau sedang dibicarakan di mahkamah kita. Sebaliknya ia adalah rujukan ringkas kepada pertarungan yang berlaku di Kajang sekarang dan minggu yang mendatang. Kemuncaknya akan berlaku pada 23 Mac depan.

Pihak pertama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan pihak kedua pula lawannya, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Calon wanita lawan calon wanita. Azizah nyata sekali proksi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Mei Fun ialah pilihan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Mei Fun telah memfailkan kertas pencalonannya pada 9.07 pagi Selasa 11 Mac 2014, sementara Azizah memfailkan kertas pencalonannya pada 9.10 pagi. Disebabkan tidak ada calon lain yang bertanding, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua wanita ini. Walaupun ada yang menggelar kedua-duanya sebagai `ikon wanita, saya tidak yakin semua pengundi atau pemilih di Kajang berfikiran sedemikian.

Dalam satu sidang akhbar baru-baru ini, Azizah memberitahu wakil media bahawa dia mewakili rakyat biasa yang ditindas dan dianiayai, terutama golongan wanita. Bila ditanya wartawan apakah tujuannya bila bertanding ini semata-mata `menyelamatkan kerusi untuk suaminya (seperti yang pernah dilakukan pada satu masa dulu di Permatang Pauh), Azizah menjawab; "Biarlah mereka kata apa yang mereka suka".

Apa yang penting namanya telah dipilih dan sebagai presiden parti, dia mesti memikul tanggungjawab ini.

Lim Kit Siang pernah dipetik sebagai berkata, Azizah ialah calon paling layak dan DAP menyokong pencalonannya.

Yang menghairankan, beberapa hari sebelumnya, Anwar ada menyatakan 12 nama telah disenarai pendek sebagai calon yang dikira layak mengambil tempatnya.

Sebelum ini nama Datuk Saifuddin Nasution juga disebut-sebut sebagai calon pengganti Anwar, tetapi khabarnya Saifuddin tidak berminat bertanding. Dia mahu terus menumpukan perhatian kepada jawatannya sebagai setiausaha agung parti.

Begitu juga, sebelum ini Datuk Zaid Ibrahim ada menyatakan niatnya untuk bertanding, semata-mata mahu melawan Anwar. Kata bekas menteri ini ada sebab tertentu kenapa dia perlu lawan Anwar di Kajang. Kini setelah Anwar tidak bertanding kerana hilang kelayakan, Zaid tidak lagi minat bertanding.

Anwar pernah berkata, isterinya itu ada banyak kali menyebut hasratnya untuk "berehat dan meluangkan lebih banyak masa dengan cucu dan suami". Tetapi kini lain pula cerita.

Sementara Azizah bersedia menggalas kerja yang sepatutnya dipikul oleh Anwar dalam pertarungan sengit yang akan berlangsung pada 23 Mac depan, soalan sama ada (sekiranya Azizah menang) dia juga sanggup nanti meneruskan cita-cita suaminya untuk menjadi Menteri Besar Selangor, itu masih lagi jadi tanda-tanya.

Mei Fun, 50, pula mempunyai pengalaman luas dalam arena politik dan pentadbiran negara. Dia ialah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (dua penggal), bekas Senator, bekas Ketua Wanita MCA dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam PRU-12, Mei Fun dikalahkan oleh calon DAP, Tony Pua. Beliau mengundur diri daripada politik MCA pada April 2010, tidak lama selepas Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menang jawatan Presiden MCA.

Setelah tiga tahun dipinggirkan, Mei Fun kembali dalam arus perdana politik MCA apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.

Kalau kita bandingkan kekuatan vokal (bercakap, berceramah, berinteraksi dengan orang awam, menjawab soalan dan sebagainya) antara dua wanita ini, saya akan pilih Mei Fun sebagai personaliti yang lebih mampu, bertenaga dan meyakinkan. Dia juga punyai bahasa badan yang lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sendiri mengakui bahawa pucuk pimpinan BN sebulat suara memilih Mei Fun kerana "beliau pernah berkhidmat dalam kerajaan, berpengalaman luas dalam bidang politik serta berjiwa rakyat".

Pada mulanya saya jangkakan PRK Kajang akan ditandingi oleh banyak pihak. Selain wakil BN dan wakil pakatan, nama-nama lain yang turut disebutkan sebagai ingin bertanding (selain Zaid) ialah Senator Datuk S Nallakaruppan (pada satu ketika kawan rapat Anwar), peguam Yuktes Vijay (pada satu ketika peguam Anwar) dan penyanyi Herman Tino. Nampaknya mereka telah ubah pendirian atau sudah tidak minat lagi.

Kajang mempunyai 38,965 pengundi berdaftar, terdiri daripada pengundi Melayu 48%, pengundi Cina 41% dan pengundi India 10%. Kira-kira separuh pengundi Kajang terdiri daripada golongan wanita.

Dalam PRU-13, pengundi telah memberi sokongan kuat kepada calon Pakatan Rakyat, dengan lebihan hampir 7,000 undi. Soalnya apakah sokongan yang sama besar akan terus diberi kepada Azizah pada kali ini?

Sementara ada pihak yang menyifatkan tindakan Azizah bertanding di Kajang sebagai usaha meneruskan agenda politik suaminya yang terhalang, ada pula pihak lain berpendapat tindakannya ini sebagai langkah yang mesti diambil demi meneruskan kesinambungan dinasti keluarga Anwar dalam PKR.

Ada juga penganalisis politik yang menganggap Azizah tidak lebih daripada hanya boneka kepada suaminya (lihat http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/wan-azizah-teruskan-agenda-terhalang-anwar-di-kajang).

Mei Fun berharap pengundi Kajang akan menyokongnya pada 23 Mac nanti bagi membolehkannya menjadi wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Saya memohon restu dan sokongan daripada pengundi Kajang supaya saya dapat dipilih sebagai ADUN, yang mana dapat memperkuatkan lagi peranan parti pembangkang memantau dan menegur dalam kerajaan Selangor," katanya lagi.

Pada 1 Mac lalu, Kit Siang dipetik sebagai berkata bahawa musuh sebenar calon PKR dalam PRK Kajang adalah perpecahan dan perbalahan dalam parti. Menurut pemimpin veteran DAP ini lagi, calon yang diletakkan BN bukan punca sebenar yang mempengaruhi undi majoriti di Kajang sebaliknya perbalahan dalaman PKR yang menjadi musuh utama.

Seorang penganalisis politik dipetik oleh sebuah portal propembangkang sebagai berkata bahawa pengundi Kajang akan memberikan undi simpati kepada Azizah ekoran keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Sodomi II yang diputuskan baru-baru ini. Penganalisis itu berpendapat, kredibiliti Wan Azizah sama dengan Anwar dan berkemungkinan jumlah undi akan lebih meningkat daripada jangkaan pengundi untuk Anwar.

Pada 21 Februari lalu, Mei Fun ada berkata bahawa menentang seorang pemimpin bertaraf dunia seperti Anwar bukan satu laluan mudah baginya dalam PRK Kajang. Kata-katanya itu diucapkan kerana dia memikirkan dia akan menentang Anwar. Tetapi kini setelah nyata Anwar tidak bertanding, apakah Mei Fun masih berfikiran sama?

Walter D. Wintle pernah menulis dalam satu puisinya, "If you think youll lose, youve lost".

Mara peneraju transformasi bumiputera

Posted: 11 Mar 2014 12:19 PM PDT

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Sebahagian yang hadir pada majlis sambutan ke-48 tahun penubuhan Mara mengaminkan doa di hadapan Menara Mara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"JIKA dihitung mungkin lebih empat juta orang telah mendapat faedah daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sejak ia ditubuhkan pada 1966. Mereka terdiri daripada golongan pelajar, usahawan, ahli perniagaan, petani, pekerja sektor awam atau swasta, pesara dan sebagainya. Ramai daripadanya telah berjaya dan mengecapi nikmat dalam bidang yang diterokai atau dalam kerjaya masing-masing."

Demikian sedutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Menara Mara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, agenda pemerkasaan bumiputera merupakan agenda nasional yang akan sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan. Sebarang bantuan kepada masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan masyarakat dan sosial.

Apa yang menarik dalam ucapan itu, beliau mengakui bahawa api perjuangan hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 1965 yang dicetuskan oleh Tun Abdul Razak masih terus menyala dalam dirinya. Ini terbukti baru-baru ini apabila pihak Mara memohon tambahan dana sebanyak RM400 juta tetapi beliau meluluskan RM800 juta.

Jelasnya, beliau amat memahami dan tidak mahu program bagi membantu masyarakat bumiputera akan terjejas dan terbantut jika berlakunya kekurangan dana.

Walau bagaimanapun beliau sentiasa mengingatkan pihak pengurusan Mara bahawa bumiputera yang dibantu itu mestilah layak secara merit. Ini bermakna mereka yang dibantu itu hendaklah memiliki keupayaan dan kebolehan untuk terus berjaya dan berdaya saing bukan hanya sebagai pelobi atau peminta.

Sesungguhnya perasmian bangunan baru Menara Mara setinggi 30 tingkat itu menjadi lambang kejayaan Mara dalam usaha mengangkat martabat bumiputera agar berupaya bersaing dengan kaum lain. Majlis perasmian gilang gemilang itu diadakan bersempena dengan sambutan 48 tahun penubuhan Mara. Acara bersejarah ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh terdahulu yang bertanggungjawab menggerakkan agensi itu.

Sejarah awal Mara bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. RIDA (Rural & Industrial Development Authority) ditubuhkan pada Julai 1950 setelah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu. Badan ini menjadi pencetus perubahan dalam pelbagai aspek pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.

Berteraskan prinsip Mahu menolong diri sendiri iaitu slogan laungan Dato Onn Jaafar, Ketua Besar RIDA ketika itu. Matlamat penubuhan RIDA ialah untuk memberi peluang kepada masyarakat bumiputera terlibat dalam bidang keusahawanan serta memperolehi peluang pendidikan yang lebih baik.

Namun demikian kerana peranan RIDA yang agak terhad dan keperluan mendesak untuk diwujudkan sebuah organisasi yang lebih berfokus maka pada 1966, menyaksikan penyusunan semula peranan RIDA. Agensi itu kemudiannya diberi nafas baru dan nama yang lebih mencabar iaitu Majlis Amanah Rakyat atau Mara yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966.

Untuk memperkasakannya ia diletakkan di bawah Akta Parlimen. Mara bergerak sebagai sebuah badan berkanun yang lahir daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1965. Para peserta Kongres itu sangat menginginkan sebuah agensi khusus untuk membantu serta memperkukuhkan tahap sosioekonomi masyarakat bumiputera.

Kini selepas 48 tahun penubuhannya, Mara boleh berbangga dengan kejayaannya menjadi peneraju transformasi bumiputera. Sektor Keusahawanan berperanan sebagai peneraju ke arah melahirkan usahawan baru, memperkasakan usahawan sedia ada dan membangunkan perusahaan melalui pendekatan bersepadu. Tumpuan yang diberikan adalah kepada pembangunan usahawan, pewujudan peluang perniagaan, penyediaan premis dan menyediakan kemudahan modal perniagaan.

Pendekatan ini turut diperkukuhkan melalui program pemasaran, penjenamaan dan latihan industri. Matlamatnya ialah untuk melahirkan kelompok usahawan bumiputera dalam bidang korporat, tekno-usahawan, peruncitan, pembuatan dan kontraktor berwibawa. Kemudahan yang disediakan meliputi ruang niaga komersial dan inkubator bagi mempertingkatkan prestasi dan keupayaan perniagaan di lokasi yang strategik. Di samping itu, ia turut menyediakan kemudahan pinjaman dan suntikan modal bagi menjayakan perniagaan tersebut.

Satu lagi bidang yang diterokai ialah sektor Pelaburan. Ia bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi melalui penambahbaikan pengurusan sumber kewangan dan peningkatan penguasaan ekuiti bumiputera.

Peningkatan ekuiti ini telah bermula sejak 1967 melalui aktiviti pengurusan skim saham amanah, pakar runding kewangan, kawalan kredit dan khidmat nasihat kewangan serta pelaburan.

Mara turut mempunyai 13 subsidiari yang aktif dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, peruncitan, hartanah, pengangkutan dan perkhidmatan.

Penulis berpendapat kejayaan besar Mara amat terserlah dalam sektor pendidikan. Agensi ini telah berjaya melahirkan ramai modal insan yang bertaraf global. Program transformasi sektor pendidikan telah dirangka bagi mencapai matlamat menghasilkan dalam jumlah yang ramai, pelajar cemerlang, profesional, pemimpin perniagaan dan tekno-usahawan.

Bagi melahirkan modal insan yang cemerlang itu diwujudkan gugusan institusi pendidikan di seluruh negara yang meliputi dua laluan utama iaitu bidang akademik, teknikal dan vokasional atau TVET. Laluan akademik bermula dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hinggalah ke peringkat pra-universiti di Kolej Mara, separa profesional di Kolej Profesional dan Kolej Poly-Tech.

Sementara itu, laluan kedua iaitu TVET bermula daripada peringkat sijil di GiatMara dan Institut Kemahiran Mara (IKM). Peringkat diploma dan Higher National Diploma (HND) di Kolej Kemahiran Tinggi, German-Malaysian Institute (GMI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Pada dasarnya UniKL merupakan apex pendidikan TVET yang menyediakan pengajian sehingga ke peringkat PhD. Universiti itu turut menyediakan pengajian dalam bidang kritikal seperti aeroangkasa, teknologi maritim, automotif, elektronik, perubatan serta pelbagai bidang kejuruteraan terkini.

Justeru bagi melengkapkan generasi baharu bumiputera menghadapi cabaran akan datang maka Mara secara berterusan telah merancang hala tujunya agar sentiasa relevan dengan perubahan persekitaran sama ada dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Selamat menyambut ulang tahun ke-48. Semoga berjaya mencapai matlamat penubuhannya dan terus maju menjadi pencetus transformasi bumiputera!

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSZA.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved