Selasa, 11 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penguatkuasaan dipertingkat

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
utusankota@utusan.com.my

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terpaksa membelanjakan antara RM4,000 hingga RM6,000 bagi membersih dan menurap semula jalan raya yang dicemari tumpahan sisa konkrit di sekitar Kuala Lumpur. - UTUSAN/AHMAD AMZAR ANAQI JAMZIT (PELATIH UITM)

KUALA LUMPUR 10 Mac - Pengusaha kilang konkrit di ibu kota digesa mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengelakkan pencemaran habuk dan bunyi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, mereka juga perlu memastikan semua pemandu menggunakan jalan yang ditetapkan untuk ke kawasan pembinaan bagi mengelakkan sisa konkrit bertaburan di atas jalan raya.

Menurutnya, terdapat 38 kilang konkrit di ibu kota dan termasuk sembilan kilang haram, manakala 17 lagi dalam proses mendapat kelulusan.

"Ia tidak wajar dihentikan operasinya kerana pembangunan di bandar raya ini sangat pesat. Ini terbukti dengan sejumlah 500 hingga 600 kren beroperasi secara aktif di bandar raya ini

"Sekiranya kita tidak meluluskan mereka beroperasi dalam bandar, mereka terpaksa memandu lori dari luar untuk masuk ke bandar yang mana potensi tumpahan konkrit akan bertambah serius," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan kilang konkrit, Lafarge Malaysia di Jalan Empat, Jalan Chan Sow Lin di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif Lafarge Malaysia Berhad, Bradley Mulroney.

Tambah Ahmad Phesal, DBKL terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi antara RM4,000 hingga RM6,000 untuk membersih dan melakukan kerja-kerja menurap jalan yang dipenuhi sisa konkrit.

"Kita memandang serius isu ini. Melalui unit penguatkuasaan, tindakan tegas termasuk menahan kenderaan berat dalam tempoh tertentu jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan akan dilakukan," katanya.

Tambahnya, spesifikasi lori pengangkut simen juga perlu dikaji berikutan takungan yang menampung tumpahan simen itu berkemungkinan tidak cukup besar.

Raja Permaisuri Perak hadiri majlis ulang tahun ke-50 SMK Sri Ampang Sabtu ini

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Mac - Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun akan menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-50 Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Ampang (SMKSA) Kuala Lumpur di Dewan Merak Kayangan FELDA, Jalan Semarak pada 15 Mac ini.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar SMKSA (AROBA), Ibrahim Alias berkata, Tuanku Bainun yang pernah berkhidmat di SMKSA dari tahun 1963 hingga 1979 menjadi tetamu istimewa majlis itu yang dijangka dihadiri lebih 500 bekas pelajar dan guru.

"Selain itu, bekas pelajar SMKSA berpeluang berjumpa semula dengan insan istimewa seperti guru yang banyak berjasa selepas puluhan tahun berpisah.

"SMKSA adalah sekolah yang amat istimewa kerana ramai orang kenamaan dilahirkan dan membesar di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara tokoh yang dilahirkan sekolah itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kasim Mohamed; Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sany Abdullah Sani; Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium, Datuk Abdul Kadir Mohd. Din.

Menurutnya, selain itu, dalam bidang sukan pula, SMK Sri Ampang adalah gelanggang awal kepada atlet negara antaranya Khalid Ali, Redzuan Abdullah, Razip Ismail, T. Gopinath Naidu (bola sepak), Norani Adnan (sepak takraw) serta Rosman Alwi dan Noor Azahar Rosli (lumba basikal).

"Dalam bidang seni pula, vokalis kumpulan Wings, Awie; komposer muzik, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah; penyanyi Sani Sudin, selain pelakon Sidi Oraza dan Den Wahab adalah antara bekas pelajar SMK Sri Ampang.

"Sekolah ini juga melahirkan ahli politik dan pemimpin masyarakat termasuk Datuk Fauzi Zahari yang sekarang menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa," katanya yang juga merupakan penganjur majlis tersebut.

Beliau berkata, bayaran untuk menghadiri majlis makan malam itu ialah sebanyak RM150 untuk seorang bagi pendaftaran secara individu atau RM1,200 untuk 10 orang (satu meja) bagi pendaftaran berkumpulan.

Untuk sebarang maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh melayari laman web www.aroba.com.my atau menghantar e-mel di yem.bohemia@gmail.com.

DBKL batalkan lesen peniaga tempatan jika gajikan warga asing

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Beberapa anggota penguat kuasa DBKL merampas barang-barang milik peniaga warga asing di Pasar Pudu, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/WAHIDIN SALIM

KUALA LUMPUR 10 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berkompromi terhadap penjaja rakyat tempatan yang menyewakan lesen atau menggunakan khidmat pembantu warga asing.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd. Sauffi Muhamad berkata, pihaknya akan membatalkan serta-merta lesen penjaja yang didapati berbuat demikian dan mereka tidak boleh memohon lesen baharu serta menuntut barang yang disita.

"Sewaktu Ops Tegas dilancarkan pada Mei 2013, kita masih lagi memberi ruang kepada mereka dengan memberi notis tunjuk apabila mendapati gerai mereka mempunyai pembantu warga asing.

"Bagaimanapun, pada masa ini kita akan bertindak membatalkan lesen mereka tanpa memberi peluang lagi agar kegiatan tersebut dapat dibasmi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ops Tegas yang bertujuan menyekat tindakan penjaja tempatan menggunakan khidmat pembantu warga asing dan menyewakan lesen mereka di sini, hari ini.

Seramai 161 anggota dan pegawai DBKL, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam Ops Tegas di sekitar Jalan Petaling, Pasar Pudu, Jalan Silang dan Lorong Canton di sini.

Mohd. Sauffi berkata, mengikut bancian yang dilakukan pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun lalu, terdapat 6,326 warga asing terlibat dalam perniagaan di sekitar ibu negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 5,461 warga asing didapati bekerja sebagai pembantu di tapak penjaja dan ia salah di sisi undang-undang.

"Selebihnya merupakan warga asing yang bekerja sebagai penjaja dan pencuci kereta, namun perkara tersebut telah dikurangkan sebanyak 80 peratus setakat ini," katanya.

Jelasnya, sejak 30 Mei 2013 hingga 27 Februari lalu, sebanyak 305 tindakan sitaan telah diambil terhadap penjaja, manakala 276 warga asing ditahan Jabatan Imigresen.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved