Selasa, 11 Mac 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Kurikulum baharu mulai 2015

Posted: 11 Mar 2014 12:19 PM PDT

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KHAIR Mohamad Yusof (kanan) berbual dengan para pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia selepas menyampaikan anugerah tersebut di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM 11 Mac - Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di semua sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) di seluruh negara bermula tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, perkara itu telah diputuskan oleh pihaknya yang mana kedua-dua kurikulum tersebut akan dimulakan dengan para pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan.

"Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menyediakan inisiatif untuk mengukuhkan laluan pendidikan agama melalui gelombang satu.

"Melalui inisiatif ini, kementerian beriltizam menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi melengkapkan murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai serta tasawur Islam yang kukuh.

"Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan juga akan memperkukuhkan pelaksanaan kurikulum di sekolah agama dengan mengangkat KBD dan KBT sebagai kurikulum kebangsaan. Kedua-dua kurikulum ini akan bermula pada 2015 melibatkan pelajar tingkatan satu," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 peringkat kebangsaan di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Mesyuarat Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor serta Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak.

Sebanyak 34 pelajar menerima anugerah pada majlis tersebut setelah cemerlang dalam keputusan peperiksaan STAM pada tahun lalu manakala tiga buah sekolah agama turut diumumkan sebagai sekolah terbaik selepas menunjukkan peningkatan dalam Gred Purata Sekolah (GPS) melebihi 0.50 mata.

Tiga sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sarawak; Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur dan Sekolah Maahad Pontian masing-masing di Johor.

Dalam pada itu, Khair menjelaskan, kerajaan juga merancang menambah bilangan SMKA di bawah Kementerian Pendidikan sebanyak 77 buah menjelang 2025 berbanding 57 buah di seluruh negara ketika ini.

Anak penoreh getah pelajar cemerlang Sekolah Tinggi Agama Malaysia

Posted: 11 Mar 2014 12:19 PM PDT

SHAH ALAM 11 Mac - Hasrat mahu mengubah nasib keluarga mendorong seorang pelajar Maahad Ahmadi Gemencheh, Negeri Sembilan, Amir Hamzah Ishak, 19, berusaha keras sehingga berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu.

Beliau yang berjaya memperoleh keputusan Mumtaz bagi semua mata pelajaran berkata, kejayaannya merupakan langkah permulaan kepadanya untuk meningkatkan taraf hidup keluarga bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

"Saya kasihan melihat ayah penat menoreh getah. Atas sebab itulah saya berusaha sebaik mungkin untuk berjaya dalam pelajaran. Hari ini, saya mendapat keputusan cemerlang dalam STAM.

"Kejayaan ini bukan hanya datang daripada usaha saya bahkan berkat sokongan keluarga dan yang lebih penting peranan guru-guru yang banyak membantu.

"Saya juga jadikan amalan membaca doa memohon supaya Allah memberkati setiap ilmu yang diberikan oleh guru dan menutup aib mereka daripada pandangan para pelajar," katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Kecemerlangan STAM 2013 di sini hari ini.

Amir Hamzah merupakan salah seorang daripada 34 pelajar yang menerima anugerah dalam majlis tersebut selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STAM tahun lalu.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Nazri Rostam, 19, pula berpendapat, kebolehan menguasai dan memahami Bahasa Arab membolehkannya mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan STAM.

"Selain itu, tanam diri untuk menguasai ilmu agama seperti Fikah. Bahasa Arab walaupun hanya peringkat asas tetapi penting untuk seseorang mendalaminya," kata pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Siti Fatimah Mohamed Azahari, 19, dari Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar Pahang di Pekan pula berkata, pengorbanan dalam semua perkara seperti masa dan wang adalah penting bagi memastikan kecemerlangan seseorang.

"Selain berusaha bersungguh-sungguh, kita harus banyak melakukan pengorbanan dalam usaha mencapai kejayaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved