Selasa, 11 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tiga suspek warga asing kes samun, pecah rumah mati ditembak

Posted: 11 Mar 2014 12:18 PM PDT

ANGGOTA polis menjalankan siasatan sebelum mayat suspek dibedah siasat setelah ditembak mati dalam Op Cantas Khas di Ladang Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Osman

SUNGAI PETANI 11 Mac - Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata dan pecah rumah dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Kuala Muda, Jalan Kuala Ketil, dekat sini awal pagi ini.

Seorang anggota polis turut terkena tembakan tetapi terselamat dan mengalami kecederaan ringan, kerana memakai pakaian kalis peluru.

Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 30-an itu, menaiki sebuah kereta Proton Perdana sebelum terserempak dengan pasukan polis yang menjalankan Op Cantas di simpang tiga Bukit Selambau, kira-kira pukul 4.30 pagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, kumpulan suspek melarikan diri namun berjaya dipintas di simpang masuk ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kuala Muda.

"Seorang daripadanya kemudian mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Polis yang membalas tembakan itu untuk mempertahankan diri, berjaya menembak mati kesemua suspek," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini.

Ahmad memberitahu, hasil pemeriksaan menjumpai sepucuk pistol .38mm bersama peluru hidup, parang, beberapa peket dadah dan peralatan pecah rumah.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai tetapi polis percaya mereka adalah warga asing berdasarkan pemeriksaan pada tubuh," katanya.

Katanya, siasatan mendapati kereta yang digunakan suspek dilaporkan dicuri di Pulau Pinang, beberapa minggu lalu, dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kes-kes jenayah lain membabitkan mereka.

Gara-gara percayakan amah warga Indonesia, ahli perniagaan kerugian RM10,000

Posted: 11 Mar 2014 12:18 PM PDT

Lim Bak Soew menunjukkan laporan polis dan gambar Rani yang dipercayai melarikan wang tunai serta jam tangan miliknya di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 11 Mac - Gara-gara percayakan amahnya seorang warga Indonesia, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian hampir RM10,000 apabila wanita itu melarikan diri bersama wang tunai serta barangan berharga yang lain.

Perbuatan itu dilakukan suspek dikenali sebagai Rani, 23, semasa majikan dan ahli keluarganya yang lain tiada di rumah mereka di Taman Bersatu di sini, kerana keluar bekerja, pada 28 Februari lalu.

Datuk Lim Bak Soew, 65, berkata, semasa kejadian, beliau berada di pejabatnya di Jalan Dato Wan Muhamad Saman, atas urusan perniagaan manakala isteri dan seorang anak perempuannya yang bertugas sebagai doktor, keluar bekerja.

"Kira-kira pukul 5 petang, anak saya pulang ke rumah dan terkejut mendapati pintu terbuka. Hasil pemeriksaan dia mendapati wang tunai RM1,800 dan seutas jam tangan yang disimpan di dalam bilik lesap.

"Rani yang berasal dari Jawa Barat juga tiada di rumah dan paspotnya yang saya letak di atas meja di dalam rumah kami, juga telah hilang," katanya ketika ditemui di Jalan Kanchut, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau yang bergegas pulang selepas dimaklumkan anaknya, mendapati wang tunai RM8,000 yang disimpan di dalam almari turut hilang.

"Saya mengambilnya bekerja melalui seorang ejen, tiga bulan lalu. Dia seorang yang sopan dan rajin bekerja sehingga saya percayanya," jelasnya.

Tambah Bak Soew, beliau percaya Rani masih berada di bandar ini, malah membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepadanya.

"Saya tanya dia kenapa curi wang saya, tetapi dia balas (SMS) kata dia tidak curi wang tersebut. Saya kemudian dapat tahu seorang rakan saya di Taman Lamsun juga telah menjadi mangsa Rani.

"Kawan saya hilang RM800 selepas dua hari Rani diambil bekerja di situ sebelum Rani melarikan diri. Saya harap polis segera mengambil tindakan dan orang ramai perlu berhati-hati terhadap amah itu," katanya.

Ketua Polis Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved