Selasa, 11 Mac 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Oleh Siti Aishah Yusoff

Posted: 10 Mar 2014 09:22 PM PDT

Gambar Halim Khalid

Haskina terokai dunia spa

Haskina Wan Kassim di hadapan Spa Green Paradise miliknya.

SEBELUM serius bergelar usahawan spa sejak sembilan tahun lalu, Haskina Wan Kassim , 41, beberapa kali bertukar tempat kerja kerana ingin mencari kepuasan dalam dunia kerjayanya.

Memulakan kerjaya pertamanya sebagai paramugari di Malaysia Airline (MAS) selama enam tahun, beliau kemudian berhenti selama setahun sebelum berkahwin pada tahun 1997.

Menyedari jiwanya yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baharu, beliau kembali ke dunia pekerjaan di sebuah syarikat korporat terkenal.

Namun, tempoh perkhidmatan tersebut tidak bertahan lama berikutan waktu kerja di pejabat yang terlalu panjang tidak kena dengan jiwanya.

"Saya jenis orang yang gemar pada pekerjaan yang banyak keluar dan berinteraksi dengan orang ramai, bukan duduk sahaja di pejabat.

"Sebab itu, saya mengambil keputusan berhenti kerja buat kali kedua sebelum menawarkan khidmat saya di sebuah syarikat bimbingan dan latihan, Mastery Asia Sdn . Bhd.," katanya.

Ternyata pilihan Haskina kali ini bertepatan dan mampu memberikan kepuasan. Ini kerana bidang tugasnya memerlukan beliau sentiasa berjumpa dengan pelatih daripada pelbagai latar belakang.

Namun, sedang seronok dengan pekerjaan baharu itu, beliau dikejutkan dengan berita sedih, iaitu pemergian ibunya menemui Ilahi.

Kebetulan ketika itu beliau masih dalam pantang selepas tujuh hari melahirkan anak bongsunya, yang kini berusia sembilan tahun.

Pemergian arwah ibu memberi tamparan hebat pada Haskina memandangkan beliau amat rapat dengan insan paling disayanginya itu.

"Walaupun sudah kembali bekerja, keadaan emosi saya masih tidak stabil kerana seringkali memikirkan arwah ibu.

Setiap kali terpandang mahupun mendengar deringan telefon di pejabat timbul rasa sedih dan sebak. Semasa arwah masih ada, menjadi rutin saya menghubunginya sekurang-kurangnya tiga kali sehari iaitu ketika pergi kerja, waktu rehat dan petang sebelum balik kerja.

Keadaan itu sedikit sebanyak menganggu kerja. Saya mengambil keputusan berhenti kerja dan duduk di rumah," kata pemilik Spa Green Paradise ini.

Bagi menghilangkan kebosanan di rumah, sepupunya mencadangkan Haskina berniaga barangan kosmetik sepertinya.

Bermodalkan 20 batang gincu dan sokongan suami tercinta, Zulkifli Merican, 49, beliau memberanikan diri mencuba bidang baru sebagai peniaga.

Mulanya saya minta tolong suami menjual gincu berkenaan di pejabatnya. Saya jadi teruja apabila semua habis terjual sehingga mendorong saya untuk menambah modal.

" Sepupu saya juga menyarankan saya cuba berniaga di kios dan tapak promosi yang terdapat di pasar raya. Barangan jualan ketika itu diperluaskan kepada beg tangan di samping kosmetik.

"Saya juga menyewa tapak di pejabat kerajaan dan ketika majlis konvokesyen selain dalam masa yang sama menyewa tapak jualan di pasar raya besar sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," jelasnya.

Ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, penglibatannya dalam perniagaan spa yang mengkhusus kepada rawatan kaki, bermula apabila tertarik dengan satu perniagaan rawatan kaki yang dilihatnya semasa berniaga di kios di pusat membeli-belah Mines, Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, melihat kepada sambutan menggalakkan di pusat rawatan milik bangsa asing itu, timbul sedikit perasaan tercabar kerana walau mereka tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris, pelanggan yang datang bertali-arus.

Menariknya, pemilik pusat rawatan tersebut turut menawarkan latihan bagi mereka yang berminat untuk membuka perniagaan yang sama.

"Bermodalkan RM2,000, saya dan suami telah memasuki program tersebut yang merangkumi satu hari kursus khas untuk rawatan kaki dan diberi produk bagi memulakan perniagaan.

"Berbekalkan produk yang diperolehi itu, kami telah memulakan perniagaan tersebut di Ampang Point, Ampang, pada tahun 2006," jelasnya.

Menurut Haskina lagi, selepas setahun berniaga secara bergerak di beberapa pasar raya sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, mereka akhirnya ditawarkan satu lot kedai di Ampang Point kerana terdapat permintaan menggalakkan.

Beliau juga mengambil inisiatif untuk membangunkan produk sendiri, Curio, khusus untuk rawatan kaki.

Untuk memastikan produk berkesan dan bagus, kami mengambil masa selama dua tahun untuk membuat penyelidikan menggunakan ramuan daripada bahan semula jadi dan alami.

"Istimewanya, sebelum produk pertama ini berada di pasaran, kami telah membuat testimoni dahulu kepada 20 pelanggan tetap Spa Green Paradise untuk mendapatkan hasil terbaik.

Kini produk tersebut telah diperbaharui dari segi pembungkusan dan saiz yang lebih praktikal dan mudah digunakan oleh pelanggan. Produk ini masih sama kandungan bahan dan fungsinya. Ia dijual dengan satu set skrub bersama-sama losyen kaki," ujarnya.

Ditanya cabaran yang dihadapi bergelar usahawan dalam bidang ini, Haskina akui sedikit terkesan terutamanya untuk mendapatkan pekerja mahir dalam bidang rawatan dan urutan kaki.

Bagi menangani masalah tersebut, kebanyakan ahli terapi berpengalaman diimport dari Indonesia dan Thailand.

"Tetapi jika ada anak tempatan yang berminat untuk bekerja di sini dan tidak mempunyai kemahiran, saya tidak keberatan mengajar mereka sehingga pandai," katanya.

Ujar Haskina lagi, lagi dalam usaha memperbaiki dan memajukan lagi perniagaan, beliau telah mengeluarkan produk terbaharu yang dikhususkan untuk rawatan tangan dan kuku yang rosak.

Produk ini juga masih sama kaedahnya yang digunakan untuk pasaran iaitu kami akan mencubanya dahulu kepada pelanggan sebelum memasar dan menjualnya kepada pelanggan.

Pelanggan yang berpuas hati dengah rawatan di sini, mereka juga boleh membuat rawatan kaki sendiri ketika di rumah dengan membeli produk Curio yang dijual dengan harga yang berpatutan," jelasnya.

Mengakhiri perbualan beliau sempat berpesan supaya masyarakat di luar sana lebih peka dengan penjagaan kaki.

Baginya kaki juga perlulah dirawat seperti mana kita merawat muka agar kekal sihat dan cantik.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved