Jumaat, 3 Januari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM tak gusar liga 'tenggelam'

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Afandi Hamzah

PETALING JAYA - Biarpun kemeriahan Piala Dunia 2014 Brazil mampu menyebabkan minat terhadap liga tempatan menurun dengan drastik, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak menghentikan jadual Liga Malaysia (Liga M) bagi memberi laluan kepada kejohanan terbesar di dunia itu.

Tegas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk menunda Liga M kerana masa siaran aksi Piala Dunia yang akan berlangsung dari 12 Jun hingga 13 Julai dijangka tidak bertembung dengan waktu perlawanan liga tempatan.

Cuma pembabitan skuad negara di Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan dari 19 September hingga 4 Oktober bakal menjadi pertimbangan JKPT sebelum memuktamadkan jadual perlawanan Liga M bagi musim 2014.

''Perbezaan masa antara Malaysia dengan Brazil begitu jauh, saya rasa bukan menjadi satu masalah buat FAM meneruskan Liga Malaysia pada saingan Piala Dunia sedang berlangsung.

''Peminat masih berkesempatan untuk turun ke stadium pada waktu malam kerana kebanyakan perlawanan siaran langsung Piala Dunia akan berlangsung pada sebelah pagi, jadi kami rasa tiada sebarang kewajaran untuk menunda jadual perlawanan Liga Malaysia.

''Liga Malaysia hanya akan berehat pada bulan Ramadan sahaja (28 Jun- 28 Julai) dan sepanjang Sukan Asia, pihak FAM akan memberi kelonggaran kepada persiapan pasukan Bawah 23 tahun kerana pada waktu itu bertembung dengan kempen Piala Malaysia, " katanya pada sidang akhbar Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, semalam.

Sebaik Liga Malaysia akan memulakan sepak mula pada 17 Januari ini, Afandi juga memberitahu, hanya empat gelanggang akan beraksi di sebelah petang kerana tahap kecerahan lampu limpahnya masih belum mencecah 1,000 lux seperti yang disyaratkan FAM.

Stadium-stadium terbabit adalah Stadium Hang Jebat, Stadium Bandaraya, Stadium UiTM dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) yang akan menjadi gelanggang tuan rumah sementara kepada Selangor sehingga Stadium Shah Alam yang di dalam proses pengubahsuaian bakal dibuka semula pada Mac depan.

''Selain Selangor, ada dua pasukan (PKNS dan Felda United) lagi akan turut menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang utama mereka, jadi pihak JKPT sedang cuba menyelaraskan jadual pertandingan agar tidak bertindih.

''Berdasarkan pemeriksaan awal, pihak MBPJ juga begitu giat menjalankan kerja-kerja penambahbaikan pencahayaan lampu lux agar boleh melepasi tahap minimum yang kita tetapkan supaya semua perlawanan boleh diadakan di sebelah malam, " katanya.

Dalam masa sama, Afandi mengesahkan tiada lagi masalah membabitkan status timbul pemain selepas Mohd. Amirulhadi Zainal sah menjadi milik Johor Darul Ta'zim selepas Jawatankuasa Status bersidang pada 27 Disember lepas.

''Tiada lagi kes terbaharu membabitkan status pemain dan pendaftaran pemain bagi setiap pasukan difahamkan telah selesai, jika ada sebarang rayuan membabitkan dari pasukan Pahang lagi membabitkan Amirulhadi, kita akan tengok sejauh mana kes itu dapat diselesaikan, " katanya.

Pengganti Rajagobal diumum bulan ini

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

SUBANG - Tanda tanya siapa ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya sama ada warga asing atau anak tempatan, bakal terjawab pada pertengahan bulan ini atau paling lewat pun, sebelum penghujung bulan Januari.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan bekas jurulatih Piala Dunia Jepun 2002 dari Perancis, Philippe Troussier sebagai antara tiga calon warga asing selain tiga anak tempatan yang kini berada dalam senarai pendek persatuan.

"Troussier salah seorang jurulatih yang dikenal pasti. Saya tidak nafikan pengalamannya yang telah banyak membawa negara Afrika ke Piala Dunia. Selain itu, ada juga tiga jurulatih asing Eropah dan seorang dua anak tempatan dalam senarai.

"Namun sama ada jurulatih luar atau tempatan, biarlah selepas mesyuarat Exco (Jawatankuasa Eksekutif) dan Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) yang umum. Kami memang hendak dapatkan seorang jurulatih secepat mungkin bagi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia (di Yemen, 5 Mac ini).

"Saya rasa dalam dua minggu, pertengahan Januari, InsyaAllah kita akan umum jurulatih baharu yang akan memimpin Harimau Malaya," katanya pada Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Kata Subahan, yang juga Exco dan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM, Datuk Ong Kim Swee kekal sebagai jurulatih sementara kerana beliau perlu meninjau perlawanan Liga Malaysia dan mengenal pasti pemain yang boleh dipanggil bagi latihan pusat skuad negara.

"Kami akan buat latihan pusat pada penghujung Februari dan pada 1 Mac, pasukan negara akan berdepan Filipina bagi perlawanan persahabatan sebelum ke Yemen," katanya.

Katanya lagi, kedudukan Kim Swee juga bukan masalah besar memandangkan jurulatih Harimau Muda A itu dijangka masih berada dalam perancangan persatuan dalam menyediakan skuad bawah 23 tahun menghadapi Sukan Asia XVII Incheon, September ini.

Sementara itu, penjelajahan trofi Piala Dunia ke 88 buah negara tiba di Malaysia semalam.

Trofi bola sepak paling berprestij itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang menaiki pesawat khas dengan diiringi oleh Duta FIFA dan bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke dan Pengurus Bola Sepak Global Coca-Cola, Anna Maria Gazda.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved