Jumaat, 3 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Gajah liar serang kampung

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Oleh ABD RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

PENDUDUK melihat pokok pisang yang dimusnahkan oleh gajah liar di Kampung Kaki Bukit, Baling, Kedah, baru-baru ini.

BALING 2 Jan. - Sebanyak 40 keluarga di Kampung Kaki Bukit, Bongor di sini hidup dalam ketakutan apabila dua ekor gajah liar didakwa kerap menyerang kampung itu terutama pada waktu malam sejak seminggu lalu.

Haiwan dipercayai dua beranak itu sering berada berdekatan tiga buah rumah penduduk dan bertindak memusnahkan pelbagai tanaman termasuk berpuluh-puluh pokok pisang.

Kemunculan gajah itu juga menakutkan 15 penduduk untuk keluar menoreh getah kerana bimbang terserempak dengan haiwan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaki Bukit, Ahmad Tajuddin Umat, 40, berkata, kes sedemikian perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan.

"Sebelum berlaku perkara tidak diingini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Baling perlu bertindak segera," katanya.

Menurutnya, pendapatan penduduk di kawasan itu dikhuatiri terjejas apabila tidak dapat menoreh memandangkan harga getah mencecah lebih RM3 sekilogram ketika ini.

"Penduduk bimbang jika perkara ini dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Seorang penduduk, Fakrulrazi Ahmad, 53, berkata, gajah yang masuk ke kampung itu adalah dari hutan berdekatan.

"Kami minta pihak berkenaan, terutama Perhilitan ambil tindakan segera menghalau gajah supaya masuk ke hutan semula," katanya.

Menurutnya, jika dibiarkan, gajah itu boleh merosakkan tanaman padi organik seluas hampir 10 hektar yang diusahakan oleh penduduk dan kini sudah mula mengeluarkan hasil.

"Pada masa ini, gajah itu mula mencari makanan hanya kira-kira 100 meter sahaja dari rumah penduduk," katanya.

21,884 murid mula belajar sesi tahun satu di Pulau Pinang

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

P. Kamalanathan (kiri) beramah mesra dengan dua murid cacat penglihatan yang baru memulakan sesi persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 2 Jan. - Seramai 21,884 murid tahun satu mendaftar bagi sesi persekolahan 2014 yang bermula hari ini di seluruh negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, jumlah itu membabitkan 398 sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

"Sesi persekolahan berjalan lancar sejak awal pagi dan tidak ada masalah besar yang menjejaskan murid pada hari pertama kerana masing-masing kelihatan teruja.

"Yang wujud cuma masalah kecil seperti murid tidak dapat sekolah yang diminta dan pertukaran guru yang mana ini merupakan perkara biasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Tarmizi mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan meninjau sesi permulaan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Alma di sini.

Selain sekolah itu, beberapa sekolah turut dilawati termasuk SJKT Bukit Mertajam dan SK Convent Greenlane.

Bagi kemasukan ke tingkatan satu pula, Ahmad Tarmizi berkata, seramai 23,783 pelajar turut memulakan sesi persekolahan hari ini.

Murid SK Guar Nangka dikunjungi Timbalan Exco Pendidikan

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Asmaiza Ahmad (kiri) diiringi Dun Kasa beramah mesra dengan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Mata Ayer, Perlis, semalam.

ARAU 2 Jan. - Seramai 35 murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, Mata Ayer di sini melalui pengalaman menarik pada hari pertama persekolahan apabila dikunjungi oleh Timbalan Exco Pendidikan negeri, Asmaiza Ahmad.

Asmaiza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping meluangkan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra dengan murid-murid tahun satu di sekolah berkenaan.

Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Dun Kasa dan Guru Besar sekolah berkenaan, Noorizah Shuid.

Sementara itu, Dun berkata, seramai 2, 672 murid prasekolah menduduki 121 kelas di 71 buah sekolah rendah di seluruh negeri ini hari ini.

Katanya, seramai 3,620 murid tahun satu di 74 buah sekolah rendah pula turut memulakan sesi persekolahan mereka.

"Seramai 3,947 pelajar tingkatan satu turut memulakan persekolahan di 29 buah sekolah menengah di negeri ini.

"Keseluruhan pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga enam di Perlis adalah seramai 21, 269 orang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved