Jumaat, 3 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kuala Tahan terima kemudahan

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 3 Jan. - Kampung Kuala Tahan yang menjadi pintu masuk ke pusat pelancongan Taman Negara di sini menerima beberapa projek kemudahan asas yang bakal dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abd Razak berkata, bagi memenuhi matlamat itu, satu pelan kemajuan khas (RKK) telah dirancang menerusi penyusunan semula serta pembangunan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, antara fokus RKK itu adalah mewujudkan lokasi baharu dan tersusun menggantikan penempatan haram berdekatan pesisiran Sungai Tembeling, pembinaan premis, balai polis, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), hospital, sekolah rendah, padang golf dan menaik taraf sistem kumbahan.

"Projek berperingkat ini dianggarkan bernilai RM3 bilion dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang menyaksikan Kuala Tahan sebagai pusat transit pelancongan yang moden.

"Antara projek lain yang turut dilaksanakan di bawah RKK adalah menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dengan menempatkan pelbagai agensi kerajaan beroperasi di bawah satu bumbung," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, sebanyak 164 rumah penempatan haram di pesisiran Sungai Tembeling akan dipindahkan ke lokasi sesuai untuk memastikan penduduk terbabit selesa dan mampu menjana pendapatan.

Katanya, kerajaan negeri akan menyediakan satu kawasan penyimpanan sistem kumbahan jauh dari kawasan perumahan kerana sebelum ini kumbahan tersebut dialirkan ke Sungai Tembeling dan memasuki Sungai Pahang.

"Ini merupakan langkah efisien kerajaan negeri untuk kesihatan penduduk di samping mewujudkan sebuah penempatan yang masih mengekalkan ciri budaya Melayu tradisional.

"Saya yakin kawasan RKK merangkumi 380 hektar akan dijenamakan sebagai pusat pembangunan moden berasaskan pelancongan dan pertanian tanpa menjejaskan keindahan alam sekitar hutan hujan tropika yang berusia 130 juta tahun itu," katanya.

Projek itu bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada 10,000 penduduk di Mukim Tembeling Tengah dan Mukim Hulu Tembeling dalam sektor hospitaliti, usahawan dan pertanian.

Pelbagai acara menarik di Pahang sempena TMM 2014

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Sebahagian pelancong yang tiba sempena TMM 2014 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 3 Jan. - Pejabat Pelancongan negeri akan mengadakan pelbagai acara antaranya Festival Muzik Antarabangsa Kuantan bagi menarik kedatangan pelancong terutama dari luar negara ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengarah Pejabat Pelancongan negeri, Idros Yahya berkata, festival yang bakal menampilkan ramai artis dari dalam dan luar negara itu dijadual diadakan April ini.

"Melalui penganjuran festival ini, kita akan mendedahkan kepada pelancong keunikan budaya dan muzik tradisional tempatan, seterusnya memberi peluang kepada pelancong mengenali lebih dekat nilai hidup setempat.

"Selain itu juga, festival seperti ini boleh dijadikan lokasi pertemuan lebih ramai pemuzik dari seluruh dunia, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada mereka bertukar-tukar idea mengenai kebudayaan masing-masing," katanya selepas majlis menyambut kedatangan pelancong kumpulan pertama di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Ishak Mokhtar dan Pengarah Tourism negeri, Mohd. Faharuddin Hatmin.

Sebanyak 110 pelancong yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur dan Fireflyz dari Singapura diraikan dengan persembahan kebudayaan negeri pada majlis itu.

Sementara itu, Ishak berkata, tiga program yang terdapat dalam kalendar pelancongan negeri tahun ini diyakini dapat menarik kedatangan pelancongan di negeri ini.

"Program Mengenal Burung di Bukit Frazer pada Jun ini, disusuli acara Sambutan Aidilfitri Peringkat Nasional dan Royal Billfish Challenge di Rompin sememangnya diakui program paling mendapat perhatian daripada pelancong dari dalam dan luar negara.

"Jadi, sempena TMM kali ini, kita yakin dapat menarik lebih ramai pelancong dengan memperkenalkan beberapa pakej pelancongan menarik kepada mereka.

"Selain itu, Pejabat Pelancongan negeri juga akan memperkenalkan acara 'Pahang Bicyclemania' yang akan diadakan di setiap daerah sepanjang tahun ini," katanya.

Mangsa banjir terharu terima sumbangan GWGF

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Saharin Othman

KUALA KRAU 3 Jan. - Mangsa banjir di tanah rancangan Felda di negeri ini menghargai sumbangan pelbagai pihak termasuk Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Mereka menyifatkan usaha tersebut dapat meringankan beban selepas kebanyakan barangan keperluan musnah dalam musibah itu.

Ketua Kampung Felda Jengka 8, Saharin Othman, 57, berkata, usaha dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu harus dipuji.

"Kami terharu dengan bantuan dihulurkan GWGF kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir yang masih bersedih dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan banjir oleh Timbalan Pengerusi GWGF, Datuk Abdullah Abu Bakar di Dewan Semai Bakti Jengka 8 di sini.

Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Jengka 8, Jamilah Hassan, 46, berkata, apa yang dilakukan oleh GWGF terbabit wajar menjadi contoh kepada NGO anak Felda yang lain.

"Amalan seperti ini wajar dicontohi generasi muda Felda dalam membantu mana-mana warga peneroka yang ditimpa musibah," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Saari Din berkata, sumbangan berupa air mineral dan keperluan harian tersebut membabitkan 50 peneroka di Felda Jengka 8, Jengka 11, Jengka 14, Jengka 15 dan 16.

"Misi ini merupakan inisiatif GWGF bagi menyumbang tenaga dengan memberi bantuan kepada warga Felda bagi mengurangkan beban ditanggung mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved