Jumaat, 3 Januari 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Romantis di Bora Ombak

Posted: 03 Jan 2014 06:09 AM PST

Makan malam romantik di bawah cahaya lilin dengan iringan muzik acappella.

Si ibu, Nik Zaitun Nik Abdullah mengakui bukan saja mengagumi keindahan bumi ciptaan Allah di Bali malah cara penyediaan makanannya juga.

Dek kerana cinta, Nik Zaitun turun ke kampung-kampung di pulau tersebut dan wilayah sekitar bagi mempelajari sendiri teknik penyediaan makanan tradisi terus dari penduduk di sana.

"Resipi itu saya bawa balik dan menjadikan sebagai salah satu hidangan yang disediakan di Bora Ombak Cafe & Restaurant ini.

"Sehingga kini boleh dikatakan sudah lebih 35 kali saya berulang-alik ke Bali untuk mempelajari keunikan hidangan di sana," cerita Nik Zaitun yang ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Bukan setakat resipi, Bora Ombak yang kini diuruskan anak perempuan Zaitun, Anura Zulkeflee, 28, juga didekorasi dengan hiasan berkonsepkan Bali.

Pendek kata apa yang disukai Nik Zaitun, muzik, suasana dan masakan yang lazat semuanya ada di Bora Ombak.

Malah tidak keterlaluan mengatakan sesiapa yang merindukan Bali atau tidak pernah berkunjung ke pusat pelancongan dunia tersebut boleh singgah untuk merasai suasana seakan Bali.

Dulu konsep mamak

Sepuluh tahun lalu, kafe dan restoran ini ditubuhkan khas untuk memberi pilihan makanan dan minuman khusus buat mereka yang bersukan di pusat sukan bersebelahan.

Namun percaturan tersebut berubah apabila Bora Ombak menjadi lokasi permintaan untuk penganjuran majlis dan makan malam eksklusif.

"Perlahan-lahan, konsep tersebut bertukar. Disebabkan terlalu sukakan Bali konsep di sini memang tak serupa kedai makan mamak pun. Kalau awal pembukaan dahulu tiap-tiap minggu kami anjurkan aktiviti poco-poco.

Tiga sajian menarik disediakan untuk pengunjung yang datang bagi menikmati makan malam romantik di bawah cahaya lilin di Bora Ombak, Ampang, Selangor.

"Sambutan memang menggalakkan, ramai yang berpoco-poco di sini, mereka semua nampak sangat seronok dan selepas penat masing-masing menikmati hidangan.

"Kami juga dapati pelanggan yang datang di waktu malam memang mahukan konsep romantik, penataan cahaya suram ditambah dengan alunan muzik instrumental yang secara langsung menambah mood pada suasana romantis.

"Sebab itu lama-kelamaaan restoran ini bertukar menjadi lokasi di mana kebanyakan pasangan kekasih bertunang dan pasangan suami isteri pula meraikan ulang tahun perkahwinan," ujar Anura.

Tambah Anura, sebelum mewujudkan Bora Ombak, keluarganya menjalankan satu perniagaan kafe berkonsep kopitiam yang diberi nama Bora Bora Cafe.

Lokasinya juga terletak di Ampang. Apabila keluarganya mengambil keputusan bertukar ke lokasi di Jalan Memanda ini, nama perniagaan turut diubah kepada nama sekarang.

Menu sedap pakej menarik

Memandangkan ia kini menjadi pilihan pelbagai jenis majlis, Anura berkata, mereka menyediakan pelbagai pilihan pakej istimewa untuk pelanggan.

Pakej serendah RM19+ sekepala dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Pakej yang kami namakan Mampu Kahwin ini ditawarkan sepanjang tahun 2014, yang mana dalam pakej ini kami turut menyediakan hiasan bilik dan pelamin.

"Ruangan yang ada di sini boleh memuatkan dari 600 hingga 2,000 tetamu. Hidangan juga boleh berbincang dengan pihak kami.

"Selain penganjuran majlis, kami juga menyediakan konsep makan malam di bawah cahaya lilin atau candle light dinner setiap hari. Kami menyarankan pelanggan menelefon terlebih dahulu untuk tempahan.

"Dalam pakej makan malam ini terdapat tiga hidangan utama bermula dari hidangan pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut. Pelanggan akan dihiburkan dengan alunan muzik acappella yang sungguh merdu dalam suasana cukup romantis. Pakej makan malam ini hanya RM150 untuk dua orang," kata Anura. - Noor Fazrina Kamal

Jamu selera di Khadijah's Kitchen

Posted: 03 Jan 2014 06:09 AM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

Khadijah Ibrahim bersama kakitangan Khadijah'S Kitchen.

SUARA lantang yang sedikit serak-serak basah milik wanita ini memang bisa menggegar sanubari. Kelebihan itu menjadikan Datuk Khadijah Ibrahim antara penyanyi wanita yang kekal popular pada kelasnya yang tersendiri.

Kehebatan wanita berusia 54 tahun ini bukan sekadar pada suara bahkan pada air 'tangan'nya juga.

Ramai yang sedia maklum Khadijah memang mempunyai air tangan yang istimewa dan bakat tersebut telah diserlahkan menerusi restorannya yang diberi nama Khadijah's Kitchen.

Selepas lima tahun beroperasi di Petaling Jaya (PJ), Selangor, Khadijah kini meluaskan sayapnya dengan membuka cawangan kedua di PV 128, Danau Kota, Setapak.

Dekorasi menarik dengan latar belakang cat merah hati memang menzahirkan satu suasana tenang sambil menikmati menu istimewa Khadijah sendiri.

"Beza antara Khadijah's Kitchen di PJ dengan yang di Setapak ini, kami di sini mempunyai lebih ramai pelanggan di waktu malam.

"Alhamdulillah walau baru tiga bulan dibuka kami telah mempunyai pelanggan di kalangan jiran tetangga di sini dan masing-masing mempunyai masakan kegemaran mereka.

"Menu mesti cuba di sini tentulah tauhu telur, kalau tak cuba memang tak sah, " jelas Khadijah.

Bukan setakat menunya yang istimewa dan sedap, namun yang paling menarik ialah kesemua masakan telah disediakan sendiri oleh penyanyi ini.

Bahagian dalam restoran yang selesa dengan dekorasi yang cantik juga memberikan keselesaan kepada para pengunjung.

Memartabat masakan Melayu

Khadijah mengakui, fokus beliau adalah pada masakan Melayu semata-mata bagi memartabatkan resepi tradisi nenek moyang terdahulu.

"Di Malaysia tiap-tiap negeri mempunyai keunikan masakan yang tersendiri. Di Khadijah's Kitchen selain lauk pauk, kami menyediakan hidangan istimewa identiti setiap negeri seperti laksa Johor, laksa Kelantan, laksa Terengganu dan mi rebus yang diletakkan bawah kategori makanan segera, " jelas beliau yang mengusahakan restoran bersama anak dan menantunya.

Selain tauhu telur, pelanggan juga tidak harus melepaskan peluang mencuba menu, istimewa asam pedas ala tomyam dan sup tulang kambing yang dimakan bersama roti Perancis.

Menurut Khadijah, selain menawarkan menu seperti yang ada di restoran Petaling Jaya, beliau turut membuat hidangan ala-carte dan menu set untuk pelanggan yang mengejar masa.

Tambahnya lagi, di cawangan ini juga terdapat lebih daripada 20 jenis resipi dan Khadijah's Kitchen juga menyediakan perkhidmatan katering sekali dengan penghantaran.

"Apa yang lebih menarik di restoran ini juga disediakan ruang khas untuk penganjuran majlis seperti perjumpaan keluarga, majlis cukur jambul, majlis hari jadi dan sebagainya yang boleh menempatkan kira-kira 400 tetamu pada satu masa, " katanya sambil memberitahu pakej hi-tea bermula daripada RM35 dan bufet padadari RM49 seorang.

Paling penting katanya, makanan yang disediakan di Khadijah's Kitchen adalah dari hati nya.

"Jika tidak mencapai apa yang dijangka pelanggan saya mohon maaf, saya tidaklah boleh menjadi seorang yang sempurna tapi mahu beri yang terbaik pada pelanggan, " ujarnya menutup bicara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved