Jumaat, 3 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


8 peniaga terima penghargaan MDKT

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Oleh FARIK SALLEH
pengarang@utusan.com.my

Hasrin Kamal Hashim (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama peniaga yang diraikan selepas Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah MDKT di Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI 2 Jan. - Seramai lapan peniaga diraikan dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Penghargaan kerana menjalankan perniagaan melebihi 50 tahun di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Yang Dipertua MDKT, Hasrin Kamal Hashim berkata, kesemua perniaga tersebut dipilih berikutan komitmen serta kesetiaan melebihi 50 tahun membangunkan perniagaan bersama pihaknya.

"Selain itu, penghargaan tersebut adalah sebagai tanda terima kasih MDKT kerana menyokong dan menjadi tulang belakang kepada MDKT melalui pembayaran lesen. Ada antara mereka yang telah memulakan perniagaan sejak tahun 1948 dan sebab itu kita memberikan mereka penghargaan.

"Penghargaan ini amat bermakna sebagai satu galakan kerjasama dan satu semangat serta contoh kepada peniaga lain untuk terus berniaga selain menjelaskan lesen tanpa tunggakan. Kesemua lapan peniaga tersebut kita beri potongan 50 peratus bayaran lesen perniagaan pada tahun 2014," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah MDKT di sini semalam.

Yang turut hadir Setiausaha dan Ketua Whip MDKT, Mohd Hisam Said dan Sarjikon Mojri serta ahli-ahli majlis MDKT.

Menurut Hasrin Kamal, MDKT juga berharap kelapan-lapan peniaga itu dapat menjadi contoh kesedaran kepada peniaga dalam menjalankan perniagaan di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan tersebut.

"Mungkin selepas ini ada anugerah bagi 100 tahun bersama MDKT pula. Malah pihak kita juga akan sentiasa fikirkan supaya peniaga setia bersama MDKT melalui apa jua pengisian termasuk aktiviti, program atau kempen yang dianjurkan," katanya lagi.

Kerajaan negeri alu-alukan sumbangan kepada mangsa banjir

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Hasni Mohammad (bersongkok ) beramah mesra dengan murid-murid yang menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah di Benut, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 2 Jan. - Kerajaan negeri menyambut baik sumbangan yang dihulurkan oleh pelbagai pihak bagi meringankan beban mangsa banjir termasuk kepada anak-anak mereka yang memulakan sesi persekolahan semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, keprihatinan pelbagai pihak itu bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang terjejas, malah membuktikan sikap mengambil berat serta pemurah rakyat Malaysia yang sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku di negara ini.

"Bukan sahaja badan bukan kerajaan (NGO), malahan syarikat milik kerajaan (GLC) turut turun ke padang bagi menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir mengikut keperluan masing-masing.

"Inilah sebenarnya menjadi kekuatan rakyat Malaysia yang sentiasa merasai kesusahan yang dialami oleh saudara-saudara mereka walau di mana sahaja berada," katanya pada Majlis Penyampaian Beg Sekolah kepada mangsa banjir di Komplek Penghulu Mukim Benut di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 117 anak-anak mangsa banjir di tiga pusat pemindahan iaitu Kampung Parit Stan, Parit Abdul Rahman dan Tampok Laut menerima sumbangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Yang turut hadir Pengurus Besar PTPTN Zon 2, Rahimah Senin; Penghulu Mukim Benut, Abd. Jabal Kiman dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Muhamadan Ahmad.

Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata, sebelum ini keluarga mangsa banjir di kawasan berkenaan turut menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk agensi dan jabatan berkenaan.

"Mereka yang berpindah ke pusat pemindahan banjir dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan RM500 seperti yang diumumkan oleh kerajaan Pusat baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Rahimah berkata, pihaknya turut memberikan bantuan serupa kepada mangsa banjir di Batu Pahat dan Segamat yang melibatkan 230 pelajar.

Beliau berkata, sumbangan beg berserta peralatan sekolah merupakan tanggungjawab sosial korporat pihaknya bagi meringankan beban kewangan mangsa banjir dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved