Jumaat, 3 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Masjid Negara lubuk rezeki pengemis

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Hasina Ng Abdullah membawa anaknya mengemis di kawasan Masjid Negara untuk menampung hidup setelah bergelar ibu tunggal.

KUALA LUMPUR 3 Jan. - "Daripada asyik mengharapkan bantuan kerajaan, kita terpaksalah juga berusaha untuk mencari rezeki walaupun dengan cara mengemis."

Begitulah pegangan hidup sebahagian pengemis yang ditemukan di pintu masuk Masjid Negara yang boleh dikatakan berada di situ pada setiap hari Jumaat untuk menagih simpati beribu-ribu umat Islam yang hendak mengerjakan solat Jumaat.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir 20 orang pengemis menjadikan Masjid Negara sebagai lubuk rezeki mereka, termasuk menadah tangan kepada pelancong asing yang menjadikan lokasi itu sebagai antara destinasi yang dilawati di ibu negara.

Sedikit sebanyak kehadiran golongan pengemis itu mengundang persoalan kerana ada di antara mereka mengakui mendapat bantuan wang saku daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain memegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU).

"Walaupun dapat bantuan JKM tetapi pakcik hanya dapat sebanyak RM150 sahaja sebulan yang pada asalnya RM200.

"Tetapi bantuan ini akan berakhir pada bulan ini, jadi selepas ini pakcik tidak akan mendapat sebarang duit bantuan dari JKM, jadi pakcik terpaksalah mengemis untuk menyara hidup," kata pengemis berusia 47 tahun, yang enggan namanya disiarkan.

Dia yang ditemui di laluan masuk ke Masjid Negara terpaksa bergantung hidup dengan mengemis sejak awal tahun ini setelah kakinya mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.

"Pakcik sedang membonceng motosikal apabila kami dilanggar kereta dalam satu kejadian di Melaka. Sejak itu pakcik bukan sahaja hilang pekerjaan tetapi terpaksa keluar masuk hospital akibat patah kaki, sehingga kini masih juga tidak sembuh menyebabkan pakcik terpaksa berjalan menggunakan tongkat," katanya.

Dia mempunyai seorang bapa berusia 70 tahun yang masih mampu memandu dan membantu menghantar lelaki itu untuk mengemis di sekitar bandar raya.

Ibu tunggal, Ng Yoke Foong atau nama Islamnya Hasina Ng Abdullah, 43, pula berkata dia terpaksa mengemis di pintu masuk Masjid Negara setiap hari Jumaat dengan membawa anaknya yang berusia 6 tahun, Mohd. Hassan Abdullah bagi mencari rezeki untuk menanggung kehidupan mereka anak beranak.

"Walaupun saya ibu tunggal dan mempunyai hanya seorang anak, tetapi dengan keadaan saya yang sering sakit, tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa menyewa bilik dan ditambah pula dengan beban hutang-hutang lampau saya terpaksa merayu simpati daripada orang ramai seperti ini," katanya.

Selain Masjid Negara, Hasina berkata, dia juga terpaksa mengemis di Masjid Jamek Kuala Lumpur dan hanya dengan cara itu sahaja dia dapat meneruskan kehidupan.

"Saya tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak jadi apa pilihan yang saya ada kecuali mengemis," katanya.

Memerhati dia mengemis dengan menolak anaknya yang berkerusi roda, nampak seperti dia mampu beroleh pendapatan agak lumayan.

Begitu ramai jemaah yang keluar setelah selesai solat Jumaat menghulurkan wang kepada Hasina.

Pengawal Keselamatan Masjid Negara, Zuki Hassan berkata, bidang tugas beliau tidak membolehkannya untuk memastikan pintu masuk dan persekitaran masjid tidak dihampiri oleh pengemis.

"Lebih-lebih lagi di sepanjang bulan Ramadan, lebih ramai lagi pengemis yang mengambil peluang untuk mengemis di sini tetapi kami tidak boleh menghalau mereka dari sini.

"Ini kerana lazimnya mereka mengemis hanya di pintu masjid dan tangga menghala masuk ke masjid sahaja, yang dikira di luar kawasan masjid," jelasnya.

Pengemis yang berada di situ, katanya, terdiri dari pelbagai peringkat umur tetapi kebanyakannya warga emas dan golongan catat penglihatan.

Jalan ditutup sempena pelancaran TMM 2014

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Beberapa jalan di ibu negara ditutup atau dilencongkan hingga Ahad sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka esok.

Polis Kuala Lumpur, dalam kenyataan akhbarnya, memaklumkan Jalan Raja (di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad) dan persimpangan Jalan Tun Perak (menghala Jalan Raja) ditutup selama empat hari bermula semalam.

Menurut kenyataan itu, esok pula Jalan Leboh Pasar Besar (menghala Jalan Sultan Hishammuddin), Jalan Gereja dan Jalan Mahkamah Persekutuan (di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad) akan ditutup sepenuhnya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya menggunakan jalan-jalan alternatif, serta mengelakkan daripada melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan atau lencongan.

"Gunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke Dataran Merdeka selain sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota polis yang bertugas.

"Orang ramai juga dilarang meletakkan kenderaan di tepi jalan terutamanya di laluan yang terlibat dengan acara bagi mengelak daripada tindakan saman atau ditunda," jelas kenyataan itu.

Khidmat bas, LRT, monorel, komuter dilanjut

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Perkhidmatan bas RapidKL, sistem transit aliran ringan (LRT) dan KL Monorel akan dilanjutkan sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 di Dataran Merdeka esok.

Naib Presiden Eksekutif Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Negara Berhad, Lim Jin Aun berkata, stesen-stesen LRT seperti Masjid Jamek dan Hang Tuah serta stesen monorel di Medan Tuanku dan Titiwangsa akan dibuka hingga pukul 1 pagi.

"Operasi LRT dan monorel akan beroperasi hingga pukul 1 pagi dan perkhidmatan bas RapidKL bagi laluan terpilih akan dilanjutkan selama 30 minit selepas penutupan stesen-stesen kami," katanya dalam kenyataan akhbar.

Sementara itu kenyataan akhbar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga memaklumkan perkhidmatan KTM Komuter akan dilanjutkan hingga pukul 1 pagi sempena majlis itu.

Laluan yang terlibat adalah Kuala Lumpur-Sungai Gadut, Kuala Lumpur-Pelabuhan Klang, KL Sentral-Rawang dan KL Sentral-Batu Caves.

KTMB menasihatkan penumpang agar membeli tiket dua hala untuk mengelakkan kesesakan di kaunter dan mesin tiket.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved