Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Hasilkan produk jenama sendiri

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Mohd. Nizar Zakaria (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman antara Omar Ahmad (dua dari kanan) dan Ramli Abas di Dataran MBI, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 22 Dis. - Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Negeri Perak bakal mengeluarkan produk di bawah jenama sendiri tidak lama lagi apabila satu memorandum persefahaman dimeterai bersama syarikat Sidratul Corporation Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Pengurus Pemasaran Sidratul Corporation, Ramli Abas berkata, pihaknya yang merupakan syarikat pembuat, pemasar dan pemborong akan bertindak menyediakan kursus dan latihan projek francais kepada ahli persatuan berkenaan dengan mempraktikkan Amalan Pengilangan Islam (IMP).

"Ketika ini, kita membantu menghasil dan memasarkan produk melibatkan sebanyak 100 buah syarikat aktif di negara ini dan kilang kami terletak di Kuala Kangsar.

"Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat kami ialah Jus Tok Guru serta Jus Qaseh Adinda dan Kekanda yang dipopularkan oleh penceramah terkenal, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 peringkat negeri di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria dan turut dihadiri oleh Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Perak, Mohd. Hilmi Mohd. Noor.

Pada majlis tersebut, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Perak, Datuk Omar Ahmad turut menandatangani memorandum persefahaman tersebut bersama Ramli sambil disaksikan oleh Mohd. Nizar.

Selain itu, Mohd. Nizar turut menyampaikan Anugerah Penjaja Terbaik kepada Restoran Mi Rebus Ramli yang berjaya memperkembangkan perniagaan daripada hanya sebuah kedai makan di Kampung Tawas sekitar 1970-an kepada tiga cawangan di Taman Tasek Jaya, Taman Bercham Raya dan Taman Pengkalan Utama di sini.

130 anak Orang Asli sertai khatan beramai-ramai

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Sebahagian daripada anak Orang Asli menunggu giliran untuk dikhatankan dalam Program Jiwa Murni di Sekolah Kebangsaan Pos Legap, Lintang di Sungai Siput, Perak, kelmarin.

SUNGAI SIPUT 22 Dis. - Seramai 130 Orang Asli termasuk seorang lelaki berusia 47 tahun dikhatankan secara beramai-ramai di Sekolah Kebangsaan Pos Legap dekat sini semalam.

Program Jiwa Murni itu dianjurkan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang dengan kerjasama Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak.

Selain berkhatan, perkhidmatan kesihatan lain turut diadakan termasuk pemeriksaan pergigian oleh Kor Kesihatan ATM.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria merasmikan program berkenaan.

"Jika ada keperluan, kerajaan negeri akan menyelaraskan program seumpama ini ke seluruh perkampungan Orang Asli di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas program berkenaan semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Razak Md. Yusoff dan Pengarah Jakoa Negeri Perak dan Kedah, Abdul Wahid Akmal Omar.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap, Ahab Sudin yang berusia 47 yang menyertai program berkhatan beramai-ramai itu berkata, dia mengetahui tentang amalan bersunat selepas menyertai pelbagai program motivasi termasuk kerjasama dengan jabatan agama.

"Saya tidak tahu mengenai amalan bersunat yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.

"Namun, setelah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menganjurkan pelbagai program motivasi termasuk kerjasama bersama jabatan agama, akhirnya timbul hasrat saya untuk bersunat," katanya.

Ahab yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pos Legap berkata, keputusannya untuk bersunat itu diharapkan dapat menjadi ikutan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut yang sebahagian besarnya terdiri daripada suku Temiar beragama Islam.

Program Jiwa Murni adalah sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan untuk merapatkan hubungan ATM bersama rakyat di kawasan pedalaman dan telah masuk tahun ketiga penganjurannya di kawasan berkenaan selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan projek naik taraf jalan Pos Legap ke Pos Kuala Mu pada Mei tahun lalu.

Program khatan beramai-ramai yang turut mendapat sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah itu juga menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada kira-kira 1,300 masyarakat Orang Asli yang menetap di 10 buah perkampungan di sini.

Kutu rayau akibat kurang perhatian

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

KUALA KANGSAR 22 Dis. - Kurang perhatian daripada ahli keluarga dikenal pasti sebagai antara punca terutama golongan warga emas menjadi 'kutu rayau' di daerah ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah, Noor Syafazlin Aida Biadris berkata, hasil daripada operasi yang dijalankan, jabatan itu mendapati bukan semua kutu rayau disebabkan keluarga mereka miskin tetapi mereka menjadi kutu rayau disebabkan tiada pengawasan atau bimbingan daripada ahli keluarga.

Beliau menjelaskan, malahan ada kutu rayau yang didapati mempunyai kewangan yang mencukupi untuk hidup, namun mereka tidak ada ahli keluarga yang menyediakan keperluan seharian seperti makan minum.

"Mereka melarat dan merayau kerana tidak mendapat perhatian daripada ahli keluarga," katanya selepas operasi kutu rayau di pasar minggu di sini hari ini.

Operasi itu disertai pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang diketuai Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah, P.Pusparajah, pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Pejabat Anti Dadah daerah.

Mengenai operasi berkenaan, Noor Syafazlin Aida berkata, operasi hari ini melibatkan pemeriksaan terhadap orang kelainan upaya (OKU), kutu rayau, pengemis, pengutip derma dan gelandangan yang mencurigakan.

Katanya, ia merupakan yang ketiga selepas operasi pertama pada Ogos lalu di Sungai Siput dekat sini, disusuli operasi kedua pada September lalu.

Hasil tiga operasi berkenaan, katanya seramai 12 orang ditahan yang sebahagian besarnya merupakan warga emas yang berusia 60 tahun.

"Bagi kutu rayau yang berusia lebih 60 tahun, mereka akan dihantar ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan Kinta dan mereka yang berusia di bawah 60 tahun, mungkin akan ditempatkan ke Desa Bina Diri, Pahang namun kita masih menyiasat latar belakang mereka," katanya.

Beliau juga mendedahkan, ada di antara kutu rayau yang ditahan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan, selain bantuan daripada Baitul Maal tetapi tetap mengemis.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved