Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kekotoran masih berulang

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Beginilah keadaan longkang di Pasar Pudu, Kuala Lumpur yang masih dipenuh sampah sarap selepas seminggu operasi pembersihan dilaksanakan di pasar berkenaan.

KUALA LUMPUR 23 Dis. -Operasi penutupan dan pembersihan secara besar-besaran melibatkan tiga pasar basah utama di ibu negara kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyaksikan yang terakhir di Pasar Pudu, pada 16 dan 17 Disember lalu.

Sebelum ini operasi sama bagi tujuan keselesaan peniaga dan pengunjung itu dilaksanakan di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali Pasar Chow Kit pada 12 dan 13 November lalu, diikuti Pasar Keramat pada 9 dan 10 Disember.

Penutupan sementara selama dua hari itu bagi membolehkan lokasi tumpuan ramai itu 'dipulihkan' semula selepas dikenal pasti sebagai lokasi pembiakan tikus tertinggi dan kotor.

Usaha DBKL dengan kerjasama Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) dan peniaga di pasar berkenaan wajar dipuji.

Bagaimanapun, usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan tahap kebersihan di ketiga-tiga pasar berkenaan benar-benar terjamin.

Ini kerana selepas seminggu operasi pembersihan dilaksanakan masih terdapat segelintir peniaga bersikap pengotor dan menjadi punca longgokan sampah di kawasan pasar.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tiga-tiga pasar berkenaan baru-baru ini mendapati tahap kebersihan masih belum memuaskan dan hanya layak diberi tiga daripada lima bintang.

Hasil tinjauan mendapati faktor yang menyebabkan masalah kebersihan di ketiga-tiga pasar berkenaan juga berbeza.

Ini termasuk dari segi struktur pembinaan, lokasi, jumlah peniaga dan sebagainya.

Tinjauan di Pasar Raja Bot mendapati keadaan di pasar itu dilihat semakin baik apabila para peniaga sudah mula menitik beratkan faktor kebersihan.

Berbanding dahulu, pasar berkenaan hanya mampu bertahan beberapa hari selepas dibersihkan, sebelum kembali kepada keadaan asal.

Tambahan pula, tong-tong sampah kecil yang disediakan di laluan berdekatan gerai buah-buahan banyak membantu peniaga dan pengunjung untuk tidak membuang sampah sesuka hati.

Di Pasar Keramat pula, keadaan pasar itu boleh diandaikan sekadar memuaskan dan hanya terdapat perbezaan kecil selepas kerja-kerja pembersihan.

Tiada apa yang boleh dibanggakan selain melihat keadaan lantai premis itu yang masih lecak dan berlopak.

Cuma apa yang boleh dipuji, susunan bakul-bakul milik peniaga di situ dilihat lebih teratur berbanding sebelum ini.

Jika sebelum ini, sampah seperti kertas, plastik membungkus buah dan kulit buah-buahan yang dibuang merata-rata 'menghiasi' pasar itu, keadaan kini sudah banyak berubah.

Berbeza pula di Pasar Pudu, keadaan kebersihan masih pada tahap kurang memuaskan, lebih-lebih lagi kelibat tikus masih bermaharajalela pada waktu siang tanpa menghiraukan pengunjung yang lalu-lalang.

Dalam tempoh kurang 10 minit berada di pasar berkenaan, sepuluh ekor haiwan perosak itu dilihat 'melintasi' kawasan gerai milik peniaga di situ.

Keadaan longkang tersumbat juga turut menggambarkan betapa teruknya keadaan pasar tersebut yang dikenal pasti paling kotor di ibu negara.

Sehubungan itu pihak DBKL perlu mencari mekanisme terbaik baik memastikan tahap kebersihan di ketiga-tiga pasar berkenaan terjamin.

Penutupan pasar secara berperingkat - DBKL

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Keadaan pasar yang terlampau kotor menyebabkan kerja-kerja pembersihan Pasar Pudu di sini tidak dapat dilaksanakan secara keseluruhan dalam tempoh dua hari.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya akan melakukan penutupan semula secara berperingkat selepas ini untuk memulihkan kebersihan di pasar itu.

Menurutnya, operasi pembersihan baru-baru ini hanya boleh dilakukan untuk skop biasa memandangkan keadaan luar pasar tersebut juga kurang sempurna.

"DBKL bercadang untuk melakukan kerja-kerja menaik taraf pasar tersebut meliputi struktur longkang dan lantainya, namun kerja itu akan mengambil masa yang lama kerana melibatkan lebih 1,000 peniaga.

"Saya juga sudah meminta Jabatan Kejuruteraan menyediakan kertas kerja mengenai program menaik taraf di situ dan saya sendiri akan menelitinya termasuk mendapatkan kerjasama persatuan peniaga di situ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia sebagai maklum balas terhadap keadaan pasar tersebut yang tidak banyak berubah biarpun operasi pembersihan dilakukan pada Isnin dan Selasa lalu.

Tambah Mhd. Amin Nordin, kegagalan sistem perparitan berfungsi dengan sempurna menyebabkan keadaan longkang di pasar terbabit sering tersumbat.

Dalam pada itu, Jurucakap Alam Flora Sdn. Bhd. memaklumkan, sebanyak 169 tan sampah pelbagai jenis dikutip pihaknya sepanjang kerja-kerja pembersihan itu dilaksanakan selama dua hari lalu.

"Mengenai sampah di tong sampah besar yang belum dibawa ke tempat pelupusan pula, kerja-kerja itu akan dilakukan segera sementara rumah sampah di kawasan itu disiapkan oleh DBKL," katanya.

Ujarnya lagi, Alam Flora berharap peniaga dapat memberi kerjasama untuk tidak meletakkan barang masing-masing di atas longkang kerana keadaan itu menyukarkan mereka untuk membersihkan longkang yang tersumbat.

Pengurusan sisa pepejal terkawal

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Kerja-kerja pengurusan termasuk pembersihan di stesen pemindahan sisa pepejal Taman Beringin, Kepong, Kuala Lumpur diserahkan kepada Alam Flora Sdn. Bhd sehingga kontraktor baharu dilantik.

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong dekat sini dijangka beroperasi semula pada 30 Disember ini selepas kerja-kerja baik pulih kerosakan mesin pemampat siap.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, operasi pengurusan sisa pepejal di seluruh ibu kota kini dalam keadaan terkawal setelah lumpuh sejak tidak diselenggarakan dengan baik oleh kontraktor asal.

Menurutnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyerahkan pengurusan stesen pemindahan tersebut kepada Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora).

Alam Flora diminta membersihkan stesen ini di samping membaiki kerosakan mekanikal pada kenderaan, kontena dan mesin pemampat. Kita sedang berusaha supaya stesen pemindahan ini beroperasi lebih awal dari jangkaan asal,"katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Perlaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, segelintir pemandu lori nekad melonggokkan sampah yang sepatutnya dihantar ke pusat pengumpulan di bahu jalan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) dari Batu Caves menuju ke Kepong sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa.

Tambah Ahmad Phesal, DBKL bersama-sama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Alam Flora akan bekerjasama bagi memastikan tiada gangguan sepanjang tempoh tersebut.

Kerjasama ini turut melibatkan pemantauan bagi memastikan tiada longgokan sampah haram khususnya di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai lokasi pembuangan sampah haram,"katanya.

Katanya, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 71 Akta PPSPPA (Akta 672) iaitu denda sekurang-kurangnya RM10,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sekurang-kurangnya enam bulan atau maksimum lima tahun.

Dalam perkembangan sama, Zain berkata, pihaknya bersama-sama PPSPPA akan melaksanakan penjadualan semula berhubung pengutipan sampah berikutan jadual asal sedikit terganggu.

Jadual pengutipan sampah di kawasan kediaman dan lain-lain akan mengalami sedikit kelewatan dalam tempoh tersebut, khususnya pada waktu petang.

Bagaimanapun pihak Alam Flora akan berusaha memastikan kerja-kerja pengutipan berjalan lancar,"katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved