Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Astro siar

Posted: 23 Dec 2013 12:59 AM PST

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Astro akan meraikan kedatangan Tahun Baru dengan penayangan telefilem baharu 'Oh My English' yang difilemkan di Amerika Syarikat, kata Naib Presiden Perniagaan Generasi Seterusnya, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.

Beliau berkata telefilem itu, 'Oh My English! - Hello America', akan ditayangkan pada 15 Januari, pukul 9 malam di saluran Astro TVIQ dan saluran definisi tinggi (HD) di Astro Maya.

Yasmin berkata telefilem itu merupakan susulan kepada telefilem pertama Oh My English, 'Oh My Ganu', yang mendapat sambutan amat menggalakkan dengan meraih sebanyak 1.1 juta tontonan pada hari tayangan perdananya dan berada di kedudukan nombor satu trend topik di laman Twitter di Malaysia.

"Oh My Ganu merupakan filem HD Astro yang paling ditonton pada 2013, dan sokongan peminat kami amat menakjubkan," kata Yasmin kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata telefilem itu merupakan cara Astro membalas sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat.

Menurutnya, peminat program Oh My English! sudah pastinya akan gembira kerana kebanyakan watak kegemaran mereka akan dipaparkan dalam telefilem baharu ini seperti Henry Middleton (Zain Saidin), Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah), Cikgu Malik (Aaron Aziz), Encik Mohd Salleh (Harun Salim Bachik), Azlin (Izara Aishah), See Yew Soon (Roax Tan), Jibam (Akmal Nazri), Mazlee (Zhafir Muzani) dan Anusha (Kaameesha Ravichandran). - BERNAMA

Lefthanded lelong gitar untuk bantu mangsa banjir

Posted: 23 Dec 2013 12:32 AM PST

PEMAIN gitar Lefthanded, Man Kidal (kiri) menunjukkan gitar Fender yang dilelong kepada peminat bagi membantu mangsa banjir sempena persembahan kumpulan rock itu di Hard Rock Cafe Melaka, malam tadi. - UTUSAN

MELAKA 23 Dis. - Kumpulan rock Lefthanded tidak terkecuali membantu mangsa banjir di Terengganu dan Pahang apabila menyumbang sebanyak RM15,000 hasil daripada penjualan gitar dan kemeja T mereka.

Jualan tersebut dilakukan ketika kumpulan berkenaan yang diketuai vokalis utama, Nash, Man Kidal (gitar utama), Man Dayak (drum), Fauzi NRG (bass), Rosa (keyboard) dan Elly (gitar kedua) membuat persembahan di Hard Rock Cafe Melaka di sini malam tadi.

Gitar jenis Fender itu dibeli seorang peminat dengan harga RM10,000 manakala RM5,000 lagi hasil daripada penjualan kemeja T kumpulan tersebut.

Nash berkata, kumpulan Lefthanded begitu prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir yang melanda dua buah negeri yang teruk dilanda bencana alam itu di Terengganu dan Pahang.

"Melalui konsert yang kita adakan, kami menjual gitar Fender dan mujurlah ada seorang peminat membelinya dengan harga RM10,000 dan penjualan kemeja T.

"Walaupun jumlah sumbangan yang diperoleh tidak banyak, sekurang-kurangnya kumpulan Lefthanded dapat menyumbang bagi meringankan beban mangsa banjir,'' katanya ketika ditemui selepas konsert tersebut malam tadi.

Lelongan tersebut dibuat sewaktu anggota Lefthanded berehat selepas hampir sejam membuat persembahan di hadapan lebih 500 peminat. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved