Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


MSN perlu buat

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Olahraga sering jadi penyumbang emas terbesar negara pada Sukan SEA, namun pada temasya di Myanmar hanya empat emas berjaya diraih. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta Majlis Sukan Negara (MSN) melakukan post-mortem terhadap kemerosotan sukan yang sewajarnya menjadi lubuk emas buat kontinjen negara seperti olahraga dan renang pada Sukan SEA 2013.

Kata Khairy, sungguhpun gembira melihat Malaysia berjaya mencapai sasaran pingat emas ditetapkan, namun masih ada beberapa sukan yang mempamerkan prestasi mengecewakan.

Tambah Khairy, post-mortem itu perlu bagi membangunkan semula sukan tersebut, selain perlu merancang lebih banyak program pada masa akan datang.

"Contohnya, MSN perlu bekerjasama rapat dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk melaksanakan program pembangunan khas bagi olahraga dan renang.

"Program pembangunan di peringat daerah dan negeri akan diperbanyakkan untuk mencari lebih ramai lagi bakat baru.

"Barisan jurulatih akan ditambah dan diperkasa melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan kepakaran luar negara juga akan ditambah untuk acara-acara tertentu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar yang melabuhkan tirainya, Ahad lalu olahraga gagal mencapai sasaran lima emas sebaliknya hanya membawa pulang empat emas.

Malah, acara yang sentiasa didominasi Malaysia seperti 20 kilometer jalan kaki, baling tukul besi wanita, 400 meter lari berpagar wanita dan lompat bergalah wanita gagal menyumbang sebarang pingat ekoran ramai jaguh yang mengambil keputusan bersara.

Sementara renang juga sukar untuk menjelmakan lebih banyak pingat emas seperti temasya dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia meraih lima emas, 10 perak dan tiga gangsa.

Bagaimanapun, kali ini renang hanya mampu menyumbang empat pingat emas.

Dalam pada itu, Khairy turut menegur aksi hambar sukan yang sering dikaitkan dengan Malaysia seperti badminton dan sepak takraw.

Kata Khairy, sebagai menteri, beliau mahu memandang ke hadapan dan memberi tumpuan kepada apa yang termampu untuk mengubah tren kemerosotan sukan tersebut bagi membolehkan Malaysia menjadi sekurang-kurangnya kuasa besar di rantau ini.

"Saya juga telah mengumumkan kesediaan MSN untuk membantu Persatuan Sepaktakraw Malaysia bagi menyelamatkan sukan itu dan harap mereka akan berkerjasama dalam program khas untuk mencapai sasaran emas pada Sukan SEA 2017 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.

"Sekali lagi, tahniah pada kontinjen Malaysia, ketua kontinjen, para pegawai, jurulatih dan atlet. Semoga tahun 2014 membawa banyak lagi kejayaan sukan untuk negara," kata Khairy.

Atlet IPT dapat durian runtuh

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Menteri Pendidikan II, Idris Jusoh mengangkat Trofi SUKIPT 2014 semasa Majlis Pelancaran SUKIPT 2014 di Dewan Za'ba Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyumbangkan 24 daripada 43 pingat emas atau 56 peratus yang dimenangi Malaysia dalam Sukan SEA XXVII di Nay Pyi Taw, bakal mendapat 'durian runtuh' sebanyak RM5,000 setiap satunya, daripada skim insentif Kementerian Pendidikan.

Mereka ialah Muhammad Irfan Shamsuddin, Nauraj Singh Randhawa dan Pandelela Rinong Pamg dari Universiti Malaya bagi olahraga dan terjun; Lim Chee Wei dari Universiti Sains Malaysia bagi dua emas karate, Cheong Jun Hoong (Universiti Putra Malaysia - UPM) dengan dua emas terjun serta sebahagian besar pemain skuad hoki wanita (UPM dan Universiti Teknologi Mara).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pencapaian itu cukup membanggakan apatah lagi 32 peratus atau 186 daripada 582 atlet negara pada temasya dwitahunan itu datangnya dari IPT, berbanding sasaran awal kementerian, hanya 30 peratus.

"Mereka membuktikan tetap mampu cemerlang dalam sukan antarabangsa biarpun sebagai penuntut IPT. Daripada 32 peratus atlet negara dari IPT ini, mereka berjaya menyumbangkan 53 peratus pingat Malaysia dalam Sukan SEA," katanya pada majlis pelancaran Sukan IPT (SukIPT) Kedua di sini, semalam.

Kata beliau, atlet IPT turut menyumbangkan 19 daripada 38 pingat perak atau 50 peratus dan 40 daripada 76 gangsa atau 53 peratus dengan secara keseluruhannya, 83 daripada 157 pingat kontinjen negara yang mewakili 53 peratus di Nay Pyi Taw.

"Insentif bagi Sukan Asia dan Komanwel tahun depan pula ditetapkan sebanyak RM15,000 bagi emas, RM10,000 perak dan RM7,000 gangsa, sementara bagi Sukan Olimpik RM25,000 (emas), RM15,000 (perak) dan RM10,000 (gangsa)," katanya.

Sementara itu, SukIPT yang dilancarkan semalam dengan kos penganjuran RM3 juta, bakal berlangsung dari 3 hingga 16 Februari tahun depan di UiTM, Shah Alam dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"SukIPT kali kedua ini akan melibatkan 110 kontinjen (20 IPT awam, 50 IPT swasta, 12 politeknik negeri, 10 kolej komuniti negeri, 14 institusi pendidikan guru dan satu matrikulasi), disertai 8,000 atlet, 2,500 pegawai, 1,500 sukarelawan di 20 gelanggang pertandingan yang mempertandingkan 251 pingat emas," katanya.

Dua puluh empat jenis sukan pada SukIPT 2014 ini ialah bola tampar pantai, catur, hoki, boling padang, memanah, menembak, renang, sepaktakraw, pencak silat, tenis, boling, woodball, badminton, bola jaring, bola tampar, judo, karate, lawan pedang, olahraga, petanque, ragbi, sofbol, skuasy dan taekwondo.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved