Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lima anak syarikat JCorp diiktiraf

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Hamim Samuri (tengah) menyampaikan trofi Anugerah SME100 2013 kepada Pengarah Urusan Tiram Travel Sdn. Bhd., Md. Yusof Abd. Ghaffar (kanan) dalam majlis menghargai kejayaan syarikat industri kecil dan sederhana di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 22 Dis. - Lima anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menerima pengiktirafan industri peringkat kebangsaan apabila tersenarai dalam 100 syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) paling berjaya sepanjang tahun ini.

Syarikat tersebut ialah Tiram Travel Sdn. Bhd., Healthcare IT Solution Sdn. Bhd., Microwell Bio Solutions Sdn. Bhd., Syarikat Pengangkutan Maju Berhad dan Tepak Marketing Sdn. Bhd.

Kesemua syarikat itu menerima trofi Anugerah SME100 2013 yang disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, syarikat berkenaan menerima anugerah tersebut berdasarkan pertumbuhan perniagaan termasuk aspek modal, pendapatan dan keuntungan yang diraih serta kedudukan syarikat dalam pasaran.

"Kemenangan ini membuktikan pihak industri mengiktiraf skim keusahawanan yang dilaksanakan JCorp yang telah berjaya melahirkan banyak usahawan IKS yang hebat dan berjaya.

"Pengiktirafan ini juga diharap dapat memperkukuhkan imej syarikat selain meningkatkan lagi keyakinan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Majlis penganugerahan kali kelima anjuran sebuah majalah bisnes tempatan, SME & Entrepreneurship Magazine itu telah menganalisis hampir 1,000 syarikat daripada 20 kumpulan industri, namun hanya 100 yang terbaik layak memenangi anugerah tersebut.

UMLand hulur RM53,000 bantu mangsa banjir

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Norshida Ibrahim (dua dari kiri) membantu seorang pelajar mencuba pakaian sekolah sambil diperhatikan oleh Chia Lui Meng (tiga dari kiri) di pasar raya Giant Segamat, Johor, baru-baru ini.

SEGAMAT 22 Dis. - Seramai 353 pelajar di daerah ini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini mampu tersenyum lebar apabila pelbagai pihak sudi menghulurkan bantuan terutamanya menyumbang barang kelengkapan persekolahan.

Terbaru syarikat UMLand Berhad tampil menghulurkan bantuan berjumlah RM53,000 bagi membeli peralatan sekolah kepada para pelajar berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif UMLand, Chia Lui Meng berkata, sumbangan yang dihulurkan itu merupakan salah satu khidmat masyarakat bertujuan mengurangkan beban ibu bapa yang terlibat dengan bencana banjir menjelang musim persekolahan tidak lama lagi.

"Kami memberikan sumbangan kepada 353 pelajar dengan harapan dapat membantu mereka membeli keperluan untuk memulakan musim persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

"Kami berikan baucar kerana ingin memberi mereka peluang untuk memilih sendiri barangan yang disukai selain merasai nikmat membeli-belah barangan keperluan seperti pelajar lain yang tidak dilanda banjir," katanya ketika ditemui di pasar raya Giant di sini baru-baru ini.

Lui Meng berkata, pihaknya sentiasa sedar dan berusaha membantu serta berkongsi sebahagian keuntungan syarikat dengan golongan yang memerlukan termasuk mereka yang ditimpa musibah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan oleh pelbagai pihak kepada mangsa banjir di Segamat dan membuktikan rakyat negara ini merupakan golongan yang pemurah dan prihatin.

"Mungkin ramai yang terlupa betapa beruntung menjadi rakyat Malaysia yang begitu mewah dan tidak mengharap bantuan dari luar walaupun negara dilanda bencana seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

"Saya harap rakyat sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka berbanding negara lain dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dinikmati sambil berusaha mengekalkannya untuk generasi akan datang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved