Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sukarelawan PMO bantu mangsa banjir

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Sukarelawan dari Pejabat Perdana Menteri membersihkan peralatan dapur yang berlumpur di rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Mengkarak, Bera, baru-baru ini.

KUANTAN 23 Dis. - Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas akibat banjir di negeri itu, sukarelawan Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga tidak mahu ketinggalan bagi sama-sama membantu mangsa yang terlibat.

Bantuan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk barangan keperluan seperti beras, gula dan makanan ringan malah sukarelawan terbabit turut membersihkan kediaman penduduk.

Diketuai Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Mohd. Poad Jelani, pasukan tersebut telah pergi ke beberapa kawasan di Pekan dan juga Bera bagi membantu mangsa yang terlibat di kawasan tersebut.

Kehadiran sukarelawan PMO di kawasan terlibat nyata memberikan semangat kepada setiap mangsa seterusnya membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung mereka ekoran bencana banjir.

Pasukan itu telah mula menjalankan kerja sukarela pada 8 Disember lalu dengan mengunjungi pusat pemindahan banjir di Kampung Lamir, Pekan, dekat sini bagi memberikan sumbangan.

Dalam program tersebut, antara sumbangan yang disampaikan adalah air mineral, bekalan makanan kering seperti biskut dan 50 ekor ayam.

Mohd. Poad berkata, program tersebut adalah program pertama sukarelawan PMO turun membantu mangsa yang terjejas akibat banjir.

"Seramai 25 sukarelawan terlibat dalam program ini dan kita bermula di Kampung Lamir. Selepas ini kita akan bergerak ke kawasan lain bagi memberikan sumbangan," katanya.

Seorang mangsa banjir yang ditemui di Kampung Lamir, Mohd. Saudi Mohd. Ali, 57, begitu berterima kasih atas sumbangan yang diberikan pelbagai pihak termasuk daripada sukarelawan PMO.

"Saya dan keluarga amat bersyukur kepada Allah SWT apabila musibah yang menimpa mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan.

"Syukur sangat dengan bantuan yang diterima, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Selepas melaksanakan kerja sukarelawan di Pekan, pasukan itu pada 14 Disember lalu telah ke Kampung Mengkarak, Bera dekat sini.

Di situ, sukarelawan PMO bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.

Seramai 20 sukarelawan PMO terlibat dalam program tersebut manakala 15 daripada UPM termasuk empat mahasiswa antarabangsa universiti berkenaan yang berasal dari Nigeria.

Sukarelawan PMO diketuai Mohd. Poad dan UPM diketuai oleh Pengarah Urusan UPM Holdings yang merupakan anak syarikat universiti terbabit, Prof. Dr. Husaini Omar.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai.

Wakil sukarelawan PMO, Husnita Hussien, 37, berkata, selepas di Pekan, mereka kini di Bera pula bagi membantu mangsa banjir di situ.

Beliau berkata, selain membersihkan rumah, mereka juga turut menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada mangsa yang terlibat.

"Kami dari PMO sepatutnya ada program lain minggu ini, tetapi atas dasar prihatin dan simpati kami batalkan dan turun ke sini bagi memberikan bantuan membersihkan rumah," katanya.

Sementara itu, Norol Azali berkata, program yang dilaksanakan antara sukarelawan PMO dan UPM itu adalah amat baik kerana dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

"Setelah dilanda banjir, sudah tentu kita tidak dapat mengembalikan keadaan seperti sedia kala tetapi apa yang kita lakukan adalah membantu bagi mengurangkan beban mereka (mangsa banjir)," katanya.

Dalam pada itu, Husaini berkata, UPM sentiasa menyertai program tanggungjawab sosial korporat dalam membantu mereka yang memerlukan.

"Pada program ini, kita juga bawa pelajar antarabangsa kita supaya mereka dapat melihat budaya di negara ini dalam membantu mereka ditimpa sesuatu bencana," katanya.

1,110 sukarelawan cuci sekolah

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Khairuddin Mahmud melepaskan peserta program Jom Cuci-Cuci Sekolah anjuran Jabatan Pendidikan Pahang di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 23 Dis. - Kira-kira 1,110 sukarelawan menyertai program Jom Cuci-Cuci Sekolah anjuran Jabatan Pendidikan negeri bagi membersihkan kawasan sekolah yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku awal bulan lalu.

Sukarelawan terlibat membabitkan penuntut daripada institusi pengajian tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan orang perseorangan.

Lapan buah sekolah di Pekan dipilih untuk dibersihkan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, SK Ganchong, SK Pulau Rusa, SK Pulau Manis, SK Padang Rumbia, SK Kampung Acheh, SK Mambang dan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah.

Majlis pelepasan sukarelawan berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud di hadapan bangunan Kompleks Yayasan Pahang di sini kelmarin.

Khairuddin berkata, banjir yang berlaku kali ini begitu luar biasa sehingga banyak sekolah di negeri ini yang terjejas akibat musibah berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, program sedemikian adalah amat baik dilaksanakan bagi membantu guru membersihkan kawasan sekolah sebelum sesi persekolahan baharu dibuka awal tahun depan.

"Saya sendiri mempunyai pengalaman dalam membersihkan beberapa sekolah di dalam kawasan saya di Pulau Manis yang turut dinaiki air banjir, ada yang terjejas teruk sehingga dewan sekolah dipenuhi dengan lumpur.

"Jadi, inilah yang memerlukan kerjasama kita semua untuk membantu bagi memastikan apabila sesi persekolahan dibuka nanti adik-adik kita tidak akan menghadapi sebarang kesukaran," katanya.

Beliau berharap dengan adanya program sedemikian, semangat kesukarelaan akan terus berkembang dalam kalangan rakyat di negara ini, khasnya golongan belia.

"Juga diharapkan program membersihkan sekolah pada musim cuti sekolah akan dijadikan amalan bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih dan teratur sebelum sesi persekolahan baharu bermula," katanya.

Produk herba sumber pendapatan utama keluarga Ishak

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Ishak Yatim menunjukkan bungkusan pelbagai jenis herba bagi tujuan perubatan dan minuman kesihatan yang dijual di Kampung Pagi, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 23 Dis. - Bermula dengan minat yang mendalam terhadap tumbuhan herba mendorong seorang penduduk menjadikan perniagaan produk herba sebagai pendapatan utama bagi keluarganya.

Ishak Yatim, 53, dari Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini yang diperkenalkan menerusi ruangan Keringatku minggu ini begitu obses dengan pelbagai jenis herba yang kaya dengan khasiat tertentu bagi tujuan perubatan.

Tanyalah apa sahaja jenis tumbuhan herba dan khasiatnya, Ishak pasti boleh memberi jawapan berasaskan pengetahuan dan pengalaman mengenai bidang berkenaan.

Antara tumbuhan herba yang diperoleh dan disimpan di rumahnya ialah mahkota dewa, cekur, pokok tunjuk langit, pokok tutup bumi, kunyit putih, kunyit hitam, halia bara dan sebagainya.

Kesemua herba berkenaan diproses secara tradisional untuk tujuan minuman kesihatan dan perubatan penyakit tertentu.

Menurutnya, pengetahuan dan kemahiran memproses herba yang diperoleh daripada bapanya kerana sering mencari herba bagi mengubati penduduk yang sakit, menyuntik minatnya untuk mengkomersialkan bahan berkenaan.

Tumbuhan herba berkenaan, katanya, mudah diperoleh di Hutan Simpanan Pengau berdekatan Kampung Pagi yang banyak menyimpan pelbagai khazanah tumbuhan tropika.

Ishak berkata, ada juga tumbuhan herba seperti pokok tunjuk langit dan pokok tutup bumi yang tumbuh meliar mudah diperoleh di kebun getah dan dusun kampung itu.

"Bahagian daun, batang dan akar tumbuhan (herba) berkenaan akan diracik halus-halus lalu dijemur selama beberapa hari sebelum dibungkus menggunakan plastik," katanya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling baru-baru ini.

Menurutnya, cara pembungkusan itu memudahkan pengguna 'merebus' bahan berkenaan sebelum diminum bagi meredakan penyakit selain tujuan menyihatkan badan.

Dia berkata, tumbuhan herba berpotensi luas di pasaran dan kini dia hanya menumpukan kaedah tradisional dan belum mampu melaksanakan proses pengeluaran herba secara moden kerana tidak mempunyai kemahiran dan peralatan.

"Ramai orang datang ke kampung ini mengambil tumbuhan herba untuk diproses bagi tujuan perubatan dan minuman kesihatan secara komersial di pasaran tempatan dan luar," ujarnya.

Katanya, herba yang siap dibungkus boleh dikomersialkan terus kepada pelanggan di sekitar kampung ini, Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Ishak berkata, dia menjual campuran pelbagai jenis herba seberat 500 gram dengan nilai RM15 sebungkus dan setiap hari memperoleh antara RM75 hingga RM150.

Tambahnya, hasil jualan herba berkenaan untuk keperluan dapur selain dapat menampung pendapatan hasil menoreh getah yang tidak menentu ketika musim hujan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved