Sabtu, 21 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Hanya terbaik untuk rakyat

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Mahathir (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Maslan sambil diperhatikan Mohd. Puat Mohd. Ali (kanan) dan Abdul Rahman Ibrahim (kiri) di Dewan Wawasan Kubang Pasu, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 20 Dis. - Pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan terhadap satu-satu perkara kerana setiap tindakan yang diambil melibatkan kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pada peringkat awal sejak BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sudah semestinya kepemimpinannya memerlukan sedikit masa untuk meneliti tindakan yang dilakukan sebelum ini dan memahami dengan jelas di sebalik isu berbangkit.

"Tanggungjawab ini memakan masa. Dalam tempoh itu, kadang-kadang kelihatan seolah-olah kerajaan ini tidak membuat keputusan atau tidak boleh hendak memutuskan.

"Sedangkan sebenarnya kerana kita tidak mahu terlalu tergopoh-gapah dalam membuat keputusan begitu penting melibatkan rakyat Kedah, maka pendekatan yang diambil ialah benar-benar menyemak dan memahami apa sebenarnya di sebalik isu, kemudian dibincangkan sesama kita, mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, baru kita putuskan di pihak majlis mesyuarat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) peringkat negeri yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Wawasan Jitra, di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

Seminar itu antara lain bertujuan memberi penerangan tentang tiga agenda besar ekonomi negara iaitu Bajet 2014, pemerkasaan ekonomi bumiputera dan kebaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan memberi fokus kepada beberapa kumpulan sasar seperti kalangan ahli politik dan pemimpin masyarakat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, kelompok belia serta siswa.

Mukhriz berkata, pentadbirannya mahu mengelakkan daripada berlaku keadaan terpaksa berpatah balik dalam membuat keputusan.

Katanya, keadaan tersebut bukan hanya merugikan masa malah pentadbiran kerajaan negeri akan dilihat sebagai tidak cekap.

"Yakinlah kerajaan BN adalah berhemah, berwibawa, penuh berintegriti dan profesional dalam menjaga kepentingan rakyat," katanya.

MAIPk digesa tingkatkan hasil selain zakat

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

RAJA Dr. Nazrin Shah berkenan menerima cek zakat perniagaan RM249,628.57 daripada Harussani Zakaria (dua dari kiri) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, Perak, semalam. -bernama

IPOH 20 Dis. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyeru Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk) merintis usaha lebih berkesan bagi meningkatkan hasil sumbernya selain zakat.

Baginda bertitah, Bajet 2014 MAIPk yang menganggarkan hasil perolehan sebanyak RM135.9 juta, disasarkan sumbangannya hasil daripada kutipan zakat berjumlah RM120 juta berbanding RM10 juta bagi sumber am Baitulmal dan RM5.9 lagi bagi wang terkumpul.

"Hal ini bermakna 88 peratus hasil adalah bersumberkan zakat dan hanya 7.4 peratus diperoleh daripada sumber Baitulmal. Untuk itu, kegiatan lebih aktif perlu dilaksana terutamanya meningkatkan aktiviti pelaburan untuk membangun dan memajukan hartanah milik MAIPk supaya menjadi lebih produktif.

"Dari segi perbelanjaan Bajet 2014 MAIPk, sebanyak RM125.9 juta akan dibelanjakan untuk tujuan pengurusan dan pembangunan asnaf zakat sementara RM10 juta untuk perbelanjaan sumber am Baitulmal," titahnya.

Baginda bertitah demikian sewaktu berkenan merasmikan Persidangan MAIPk Kali Ke-185 di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Persidangan MAIPk kali ini yang membincangkan tentang Bajet 2014 organisasi itu antara lain memberi tumpuan kepada empat teras strategik iaitu pengukuhan urus tadbir bagi kecemerlangan perkhidmatan, pengurusan zakat secara efektif, pembangunan dan pelaburan harta serta institusi masjid.

Sehubungan itu, sebanyak 13 Bidang Keberhasilan Utama telah dirangka meliputi 36 program dan 168 aktiviti untuk direalisasikan tahun depan.

Terdahulu, Raja Nazrin turut berkenan menyempurnakan majlis penyerahan cek zakat tanaman dan perniagaan melibatkan 10 organisasi kepada MAIPk berjumlah RM6,124,490.72.

Organisasi berkenaan termasuklah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebanyak RM2,327,958.91, Felcra Berhad Wilayah Perak (RM1,115,335.32), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (RM850,000), Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (RM840,000), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM249,628.57), Hedd Industries Sdn. Bhd. (RM191,000) dan Smart Aladdin Sdn. Bhd. (RM159,000).

Sementara itu, Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad turut mengeluarkan zakat sebanyak RM150,000 diikuti oleh Agro Bank (RM137,310.08) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (RM104,257.84).

Jambatan Victoria bakal jadi tarikan pelancong

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

jambatan kereta api Victoria yang berusia 113 tahun bakal menjadi daya tarikan utama pelancong ke Kuala Kangsar, Perak.

PADANG RENGAS 20 Dis. - Jambatan kereta api Victoria yang berusia 113 tahun di sini bakal menjadi tarikan utama pelancong ke Kuala Kangsar apabila projek mengindahkan kawasan tersebut siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Pengarah Pusat Pelancongan Jambatan Victoria, Siti Norlizawati Narawi berkata, jambatan itu sewajarnya dijadikan tarikan pelancongan memandangkan nilai-nilai sejarah dan seni bina klasik yang dimiliki.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang giat memperindahkan kawasan sekitar jambatan itu bagi membangunkan kawasan berkenaan yang terletak berhampiran dengan pekan Karai.

"Ia merupakan jambatan kereta api pertama yang dibina merentasi Sungai Perak bagi menghubungkan landasan keretapi antara Taiping-Kuala Kangsar-Ipoh sebelum wujudnya jalan kereta api ke Seberang Perai (Butterworth) di utara, begitu juga ke selatan tanah air.

"Kita merancang membuat pelbagai pembaharuan di kawasan ini. Antaranya menyediakan laluan khas di atas jambatan kereta api itu bagi membolehkan pengunjung berjalan di atas jambatan tersebut," katanya di sini baru-baru ini.

Menerusi usaha tersebut kata Siti Norlizawati, kawasan itu akan lebih dikenali sebagai 'Perkampungan Budaya Jambatan Victoria'.

Kawasan sekitar jambatan itu juga katanya, akan dibina kedai kraf tangan dan gerai-gerai untuk penduduk setempat mencari pendapatan tambahan selain pusat pelancongan yang bakal dibina di situ juga akan berkonsepkan tradisional.

"Apabila pelancong datang terutamanya pelancong dari Eropah, kebanyakan daripada mereka mahu melihat keindahan alam semula jadi.

"Di sini (Perkampungan Budaya Jambatan Victoria) nanti, pelancong akan merasai semua pengalaman itu. Lebih menarik, mereka juga dapat melihat jambatan yang berusia 113 tahun di sini," ujarnya.

Majlis perasmian Perkampungan Budaya Jambatan Victoria akan diadakan pada 12 Januari depan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved