Sabtu, 21 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


20 tahun terima bantuan kerajaan

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

ADNAN Mohd. Yassin menyampaikan sumbangan kepada Musman Rahmat yang menderita penyakit sendi di rumahnya di Parit Haji Siraj, Batu Pahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 20 Dis. - Seorang warga emas yang menderita penyakit sendi sehingga tidak mampu berjalan terharu dengan bantuan oleh agensi dan wakil rakyat kepada dirinya sejak 20 tahun lalu.

Musman Rahmat, 65, yang tinggal di Parit Haji Siraj di sini mendakwa hanya menyara diri dengan bantuan kerajaan sejak tidak mampu berjalan selain ihsan ibunya yang merupakan seorang peniaga berusia 84 tahun.

"Sejak menderita penyakit ini saya tidak mampu berbuat apa-apa, ibu yang selalu menemani saya walaupun dia tidak tinggal bersama saya di rumah ini, selain itu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi sumber saraan.

"Rumah yang saya diami ini adalah rumah sementara kerana di rumah ibu, saya tidak mampu menaiki tangga disebabkan itu saya tinggal di sini keseorangan dan dijenguk oleh saudara," katanya ketika menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini baru-baru ini.

Musman berkata, selain JKM dan agensi kerajaan lain, dia turut menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali.

"Walaupun keadaan begini masih ada masyarakat yang prihatin terhadap saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkaitan. Saya juga tidak akan melupakan jasa ibu yang banyak membantu saya menyediakan barangan keperluan asas dan makanan kepada saya," katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM daerah, Adnan Mohd. Yassin berkata, pihaknya memberi bantuan pesakit terlantar sebanyak RM300 sebulan kepada Musman bagi menyara dirinya selain mendapat ubat dan pemeriksaan di hospital.

"Dia layak menerima bantuan terbabit kerana dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu untuk bekerja," katanya.

RM200,000 baiki sekolah rosak akibat banjir

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

SHAHRUNI Aslam (kiri) menyerahkan beg sekolah kepada Mohd. Nor A. Ghani di pejabat Jabatan Pendidikan Johor, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 20 Dis. - Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih sebanyak 15 buah sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir di negeri ini baru-baru ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, pihaknya telah meminta Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang terlibat untuk memastikan kerja-kerja baik pulih tersebut dapat disiapkan sebelum sesi baharu persekolahan bermula tidak lama lagi.

"Dua buah sekolah di Batu Pahat dan Mersing mengalami kerosakan akibat dinaiki air manakala selebihnya menjadi pusat pemindahan bagi mangsa banjir.

"Bagaimanapun, kesemuanya hanya mengalami kerosakan kecil dan kerja-kerja baik pulih yang telah dijalankan dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan sebanyak 1,500 beg sekolah dan alat tulis menerusi Tabung Tijarah Ramadan Yayasan Johor Corporation oleh Pengerusi Jawatankuasa Tabung Tijarah Ramadan, Shahruni Aslam di pejabat Jabatan Pelajaran negeri, di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, susulan pertukaran cuti hujung minggu bagi negeri ini pada hari Jumaat dan Sabtu bermula tahun depan, sesi persekolahan bagi semua sekolah kerajaan di negeri ini akan bermula pada 1 Januari.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan pada tahun ini telah memperuntukkan lebih RM121 juta bagi membantu pelajar di negeri ini antaranya menerusi rancangan makanan tambahan, bantuan awal persekolahan dan baucar Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M).

Sementara itu, menurut Shahruni, sumbangan tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan pihaknya bagi membantu pelajar daripada golongan keluarga kurang berkemampuan di negeri ini.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2005, tabung tersebut yang berjaya mengumpul dana kira-kira RM2.6 juta hasil sumbangan orang ramai, badan korporat termasuk syarikat Kumpulan Johor Corporation telah membelanjakan kira-kira RM2.3 juta bagi membantu golongan yang memerlukan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved