Sabtu, 21 Disember 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


2014: Harapan dan kebimbangan

Posted: 21 Dec 2013 10:01 AM PST

Oleh Tan Sri Nordin Kardi

ADALAH diharapkan tahun 2014 akan menjadi lebih baik dari sebelumnya setelah untuk beberapa ketika terkait dengan masalah ekonomi yang meruncing. - Gambar hiasan

PADA umur 80 tahun Anjang Mat Jelas (bukan sebenar) masih kuat berbasikal ke pekan untuk membeli surat khabar setiap hari. Dia dikurniakan tenaga yang masih munasabah dan mata yang masih terang. Dia seorang sahaja di pekan kecil itu yang masih berbasikal, selain kumpulan remaja yang berbasikal hanya untuk tujuan riadah. Katanya dia kekal berbasikal kerana kira-kira 65 tahun yang lalu cita-citanya ialah memiliki basikal sendiri.

Cita-citanya tercapai semasa dia berumur 15 tahun, selepas tiga tahun bekerja sendiri, melakukan pelbagai pekerjaan di kampungnya. Sebaik saja dia berhenti sekolah pada usia 12 tahun, dia tidak lagi bergantung hidup kepada ayahnya walaupun mereka masih tinggal serumah. Anaknya pula telah bersara sebagai pegawai tinggi kerajaan dan sekarang berumur 60 tahun. Seperti dia, anaknya pada usia 18 tahun juga mengimpikan memiliki kenderaan sendiri. Namun kenderaan yang dimimpikan anaknya bukan sebuah basikal tetapi sebuah skuter.

Semasa anaknya berada di tingkatan lima sekolah menengah kebangsaan aliran Melayu, anaknya bertekad untuk mendapat pekerjaan dengan kerajaan. Dia sangat tahu dengan berkelulusan SPM dia boleh mendapat pendapatan RM230 sebulan. Pada hitungannya, dengan pendapatan sebanyak itu dia mampu membayar ansuran bulanan sebuah skuter. Itulah cita-citanya. Entah bagaimana pada tahun 1970, UKM ditubuhkan dan bersekali dengan Dasar Ekonomi Baru, tak semena-mena anak Anjang menjadi mahasiswa dan di situ dan ketika itulah cita-citanya memiliki skuter tercapai.

Anak Anjang tamat pengajian universiti dan tidak pernah merasa menganggur walau sehari pun kerana UKM mengamalkan sistem dua kali konvokesyen, iaitu ijazah Sarjana Muda Am selepas tahun ketiga dan Sarjana Muda Kepujian selepas tahun keempat. Anak Anjang mendapat pekerjaan dengan menggunakan Ijazah Sarjana Muda Am sementara dia menunggu konvokesyen ijazah kepujian. Cucu Anjang tidak seperti datuk dan ayahnya.

Dia tidak bercita-cita memiliki kenderaan. Sejurus berumur 17 tahun, dia sudah mempunyai lesen memandu. Dia bergerak sendiri dengan memandu salah sebuah daripada kenderaan bapa atau ibunya. Cita-citanya lain dan sukar difahami. Katanya dia mahu jadi dirinya sendiri. Dia akan marah-marah jika dia dibanding-banding dengan bapanya. Tidak seperti bapanya yang bercakap mengenai job security, bertukar dari satu pekerjaan kepada satu pekerjaan yang lain bukan suatu perkara besar kepadanya.

Bapanya setia dengan jabatan kerajaan sehingga khidmatnya tidak diperlukan lagi. Tidak juga seperti bapanya yang resah kalau terlalu lama tidak menjenguk kampung, cucu Anjang lebih selesa menghabiskan masa dengan kawan-kawan sebaya di bandar raya.

Demikian cerita tiga generasi yang melalui evolusi aspirasi hidup. Kesemua mereka hidup di bumi Malaysia namun mimpi mereka berubah dengan kelajuan yang kian pantas.

Perubahan tiba-tiba menjadi pantas semenjak tahun 1970. Masyarakat Malaysia, terutamanya Melayu pernah digerakkan oleh seruan kepentingan negara, bangsa dan agama. Masyarakat diseru supaya sanggup bersakit-sakit mencapai cita-cita negara dengan alasan apabila negara makmur, maka setiap warganegaranya akan turut makmur.

Tiba-tiba kini seruan itu sudah tidak diterima lagi. Pemerintah negara komunis seperti China dan Vietnam (apa lagi Kesatuan Soviet yang sudah lama berkecai) sendiri mengakui bahawa setiap individu hanya akan sanggup bekerja mati-matian sekiranya dia melihat ada keuntungan untuk dirinya.

Negara China misalnya sudah mula melakukan reformasi tanah dengan membenarkan pemilikan tanah individu berbanding dahulu - tanah adalah milik negara. Dengan adanya pemilikan individu baharulah individu dikatakan sanggup bekerja siang dan malam memajukan tanah masing-masing. Generasi baru mahu melihat kehendak mereka tertunai dahulu sebelum melihat kepada kehendak-kehendak lain. Kehendak-kehendak peribadi itu pula amat pelbagai dan banyak di antaranya tidak pernah terlintas di benak generasi terdahulu.

Realiti semasa

Setiap orang mahu merealisasikan potensi diri masing-masing yang dianggap unik dan tugas negara ialah memastikan segala-galanya ada bagi menyokong ideal baru itu. Ideal itu amat indah sekiranya dunia ini benar-benar tiada sempadan. Setiap individu boleh memilih untuk senang, kebuluran atau mati di mana-mana sahaja. Realiti semasa menunjukkan ideal individu masih dikekang oleh sempadan kenegaraan politik. Di luar sempadan negara politik yang memberi individu itu suatu pengenalan atau identiti tiada sempadan lain yang peduli akan tuntutan-tuntutan merealisasikan potensinya.

Hanya ada dua pasport yang membolehkan individu itu dialu-alu di luar sempadan negaranya iaitu pertama, modal wang dan kedua, modal profesional. Wang boleh membersihkan noda termasuk noda menindas manusia. Sebagai perumpamaan, elok diperhatikan apa yang termeterai antara China dengan Israel dan antara China dengan Palestin semasa lawatan Menteri Luar Republik Rakyat China, Wang Yi ke Timur Tengah baru-baru ini.

Semasa berjumpa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Wang Yi hanya bersetuju meminta Israel meneruskan rundingan damai, tiada isu lain. Semasa dia berjumpa rakan sejawatnya di Israel, Avigdor Lieberman, dia menandatangani persetujuan membantu Israel menyediakan tapak dan suasana selesa untuk Israel melabur di wilayah Asia dan sebagai balasan, Israel akan memudahkan pemindahan teknologi kepada China. Untuk membolehkan itu terjadi, kedua-dua pihak bersetuju memansuhkan keperluan visa bagi pasport diplomat dan perkhidmatan bagi warganegara dua negara itu.

Kedua-dua negara juga menandatangani persetujuan kerjasama guna tenaga dan setuju memperbanyakkan penerbangan terus antara kedua-dua negara. Itulah perbezaan 'alu-aluan' kuasa besar China kepada Palestin dan Israel meskipun dunia melihat bagaimana Palestin menjadi golongan 'mustadafin' di negaranya sendiri angkara Israel.

Apakah anak-anak muda Malaysia, terutamanya Melayu, sudah memiliki kedua-dua pasport yang dinyatakan sehingga dia akan dialu-alukan di mana saja di dunia ini? Tentu akan ada yang menjawab 'peduli apa' sama ada dialu-alu atau tidak di tempat lain. Soalnya, kian hari negara ini kian dibanjiri oleh orang dari luar dan dengan pantas pula mereka merebut segala peluang mencipta emas dan kehidupan di sini atau dibawa pulang. Pergerakan besar setakat ini seperti sehala.

Dalam konteks ini, hasrat yang dibina semenjak lebih daripada 20 tahun yang lalu untuk warganegara Malaysia berbangga dengan identiti dari negara maju sepenuhnya menjadi amat kritikal dalam tempoh lima atau enam tahun ke hadapan menjelang 1 Januari 2014 ini. Laporan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mengenai Malaysia amat tidak memberangsangkan dalam perjalanan menuju identiti itu. Laporan itu mengatakan tenaga pekerja di Malaysia jauh lagi di belakang berbanding negara maju berpendapatan tinggi.

Malaysia kekurangan pekerja mahir, pertumbuhan produktivitinya lemah dan daya kreativiti serta inovasinya sangat rendah. Malaysia (terutamanya majikan yang hanya memikirkan keuntungan jangka cepat) bergantung sepenuhnya kepada buruh asing yang digaji murah. Laporan itu juga menyebut bahawa 73.8 peratus tenaga kerja Malaysia adalah buruh tidak mahir yang 47 peratus daripadanya buruh asing yang hanya memiliki pendidikan sekolah rendah.

Kedudukan ini jauh berbanding jiran-jiran Asia seperti Singapura, Taipei dan Korea. Akibatnya pertumbuhan IKS yang sangat penting sebagai jentera pertumbuhan negara maju berpendapatan tinggi terpaksa berjalan seperti kura-kura. Bank Dunia (2010) melaporkan daripada syarikat-syarikat industri di Malaysia yang dikaji, 40 peratus melaporkan mereka terpaksa mengambil masa empat minggu sebelum dapat mengisi kekosongan jawatan berkemahiran, suatu tempoh yang dianggap industri sebagai terlalu panjang mengikut piawai negara maju berpendapatan tinggi.

Demikian pengharapan untuk warganegara Malaysia berbangga dengan identiti warganegara negara maju dengan kebimbangan persiapan menghadapinya bagai dua mempelai yang tidak sekufu. Untuk yang tidak sekufu itu ditransformasikan menjadi suatu tenaga luar biasa, suatu tekanan kreatif diperlukan oleh Malaysia. Adakah mungkin cabaran kenaikan harga pelbagai perkara berkaitan kehidupan yang kelihatan bermula tahun 2014 merupakan suatu latihan dan persediaan untuk mendesak setiap warga Malaysia bekerja kuat meningkatkan pendapatan diri dan keluarga supaya seiring dengan pengharapan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, yang bukan semata-mata impian dan angan-angan pemerintah.

Pemerintah pula bukan hanya ingin melihat lonjakan pertumbuhan KDNK sebaliknya bersusah-payah memahami aspirasi setiap warganegaranya. Slogan 'individu hendaklah tunduk kepada kehendak ramai' dan 'kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua orang' sudah menjadi slogan masa silam. Susah? Ya memang susah, rumit dan tegang tetapi itulah yang dinamakan 'ketegangan kreatif' yang perlu diurus. Jika tidak sanggup bersusah mengasah otak mengurus ketegangan itu, tidak usah tampil menawar diri untuk memimpin. Pemimpin yang hanya pandai tersenyum-senyum menghulur salam hendaklah diganti dengan pemimpin tajam akal lagi bijaksana.

Dalam keadaan itu, pemimpin yang baik dari sekarang dan ke hadapan ialah pemimpin yang berkongsi, menyahut dan menunaikan pengharapan warga Malaysia, bukan yang menghabiskan banyak masa melayan kebimbangan dan rungutan.

Warganegara yang baik pula ialah warganegara yang dengan bijaksana menjadikan pengharapan itu suatu ideal kehidupan, bukan dia yang meronta-ronta meratapi hari semalam dan bukan juga mereka yang cepat meminta ganjaran syurga dari masa silamnya, sedangkan perjalanan kehidupan masih panjang dan jauh dari selesai. Selamat menyambut kedatangan tahun baru 2014!

Utamakan maruah bola sepak negara

Posted: 21 Dec 2013 10:01 AM PST

KEPUTUSAN TAN SRI ANNUAR MUSA meletakkan semua jawatan yang dipegang iaitu Timbalan Presiden FAM, Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan ahli Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara (JKPPBSN) baru-baru ini, mencetuskan polemik melibatkan dirinya serta badan pengurusan bola sepak tertinggi negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau yang sering dicap sebagai budak nakal dalam FAM sebelum ini telah dikenakan hukuman digantung jawatan Timbalan Presiden di bawah Artikel 88 FAM kerana mengkritik persatuan sukan itu dalam media.

Kini sekali lagi Ahli Parlimen Ketereh itu menimbulkan kontroversi kerana dikatakan tidak boleh berada dalam JKPPBSN ekoran statusnya yang masih dalam penggantungan.

Akhirnya beliau membuat keputusan drastik itu atas alasan mahu menjernihkan kemelut yang berlaku antara FAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya kerjasama yang lebih rapat dapat dilakukan demi pembangunan dan kemajuan sukan yang paling diminati di negara ini.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau dengan tegas menyatakan mahu melihat perubahan besar dalam FAM supaya lebih banyak ruang untuk penambahbaikan dapat dilakukan.

Baginya, masyarakat ternyata sudah bosan dengan semua alasan yang diberikan oleh FAM selama ini.

Kalau mesyuarat tidak dilakukan dan blueprint pun tidak wujud bagaimana kita boleh kata telah melakukan yang terbaik. Tidaklah saya kata FAM tidak membuat kerja tetapi jika mesyuarat dan blueprint pun tidak ada, bagaimana kita mahu melakukan perancangan yang teratur serta tersusun yang akhirnya boleh memajukan sukan bola sepak negara ini," kata Annuar.

MINGGUAN: Kenapa Tan Sri bertindak melepaskan kesemua jawatan dalam bola sepak. Apakah ia satu bentuk protes atau tekanan?

ANNUAR: Saya tidak terfikir yang tindakan saya ini mampu memberi tekanan kepada FAM kerana dengan kuasa yang ada pada mereka, apa yang saya lakukan ini tidak akan diendahkan. Ini lebih kepada soal praktikaliti apabila saya digantung melebihi tempoh saya dilantik kerana saya digantung sehingga Oktober 2014. Maknanya sepanjang tempoh saya dilantik, tidak dibenarkan melakukan apa-apa. Seterusnya peristiwa saya dipertikaikan sebagai ahli Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara (JKPPBSN) menjadi satu bukti bahawa FAM bukan sahaja mahu menghalang saya melakukan apa-apa setakat dalam bidang kuasa saya tetapi seolah-olah sudah menjadi begitu personal sekali. Sedangkan pada fahaman saya, persatuan hanya ada kuasa dan budi-bicara dalam kalangan anggota persatuan. Ini kerana undang-undang persatuan tidak tertakluk kepada orang lain tetapi hanya pegawai dan badan-badan gabungan.

Jawatankuasa itu diwujudkan oleh kerajaan. Maknanya jawatankuasa ini boleh buat apa sahaja dan melantik sesiapa sahaja dan ia merupakan satu jawatan yang neutral. Jadi apabila saya duduk di jawatankuasa itu dan mereka menimbulkan pertikaian maka jelaslah FAM menggunakan saya sebagai alasan dan kemudian timbul pula polemik dengan KBS. Bila berlaku begitu, saya terpaksa berfikir, apa akan dilakukan selepas ini. Mungkin bila tarikh semakin dekat dengan kongres, mereka mengambil keputusan untuk menyambung pergantungan saya. Perkara itu boleh dilakukan kerana saya berpandangan penggantungan saya sejak awal dilakukan dengan niat-niat tertentu. Sebelum ini ada yang digantung selama enam bulan sahaja atau setahun tetapi bila melibatkan saya, ia berlanjutan sehingga dua tahun setengah.

Saya merasakan tindakan itu dilakukan supaya saya tidak boleh menawarkan diri pada pemilihan akan datang. Maka setelah dilihat semua yang berlaku ini, apa maknanya bagi saya memegang jawatan kerana tidak boleh melakukan apa-apa. Saya fikir selagi saya memegang jawatan, saya adalah sebahagian pegawai bola sepak dan tertakluk dengan undang-undang yang ada. Malah kalau nak ditambah hukuman juga dibolehkan kerana saya masih pegawai dan bukan dilucutkan jawatan. Oleh itu saya berada dalam keadaan tidak boleh melakukan apa-apa tetapi juga turut terdedah kepada penganiayaan seterusnya.

Apakah ini yang menjadi punca perletakan jawatan Tan Sri?

ANNUAR: Sebenarnya ada dua perkara asas pertimbangan saya. Pertama, saya boleh mengekalkan jawatan dalam jawatankuasa kerana menteri menyatakan saya boleh duduk di situ. Tetapi jika saya kekal, FAM akan gunakan saya sebagai alasan mereka tidak boleh menyertai jawatankuasa tersebut. Sedangkan saya hanya individu dan cuma memikirkan pembangunan bolasepak, bukan kerana ada masalah personal dengan sesiapa di FAM. Saya tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh FAM dan bukan dengan individu dalam FAM. Saya sentiasa berjumpa dan minum bersama dengan pegawai-pegawai FAM. Jadi antara saya, FAM dan menteri, siapa yang lebih penting? Salah seorang kena berundur kerana jika saya tetap menganggotai jawatankuasa tersebut FAM tidak mahu menyertai.

Maka atas nama kepentingan bola sepak, lebih baik saya berundur. Malah tindakan saya ini juga hanya sementara kerana selepas tamat penggantungan, saya boleh masuk balik dalam jawatankuasa berkenaan jika menteri mahukan saya.

Keduanya, setelah saya melihat campur tangan dalam urusan di luar FAM maka saya kena beringat-ingat kerana jika saya masih memegang jawatan, saya boleh dihukum lagi. Maka itulah sebab utama kenapa saya melepaskan ketiga-tiga jawatan untuk melihat FAM dan JKPPBSN dapat bekerjasama. Selain itu saya bertindak supaya tidak lagi menjadi sebahagian daripada FAM.

Tan Sri ada menyatakan tindakan ini bukan bermaksud mengalah dan akan melawan habis-habisan. Boleh jelaskan?

ANNUAR: Maksud saya ketika menyatakan akan melawan habis-habisan jangan disalah tafsir. Apa yang saya nyatakan bukan melawan individu tetapi melawan apa yang saya rasa patut dilakukan demi perkembangan bola sepak negara. Mungkin ada orang yang akan berpandangan saya akan melawan FAM atau saya sudah give up dengan bola sepak. Itu bukan maksudnya kerana seperti yang saya nyatakan tadi, saya mahu bebas melibatkan diri. Macam sekarang saya digantung dan kemudian melakukan perkara yang melanggar peraturan FAM sudah tentu kesalahan ini akan menjadi bahana.

Saya dalam keadaan mahu membuat kerja tetapi tidak mahu melanggar peraturan maka saya perlu buat kerja atas kapasiti orang yang bebas. Jika saya masih memegang jawatan, saya masih terikat dengan peraturan yang ada.

Jadi maksud lawan di sini adalah apa-apa yang saya fikir patut dilakukan atau tidak patut dilakukan, perjuangan untuk memperbetulkan keadaan itu perlu diteruskan. Ini kerana matlamat saya mahu melihat sukan bola sepak negara ini maju dan jika saya hanya melihat perkara yang tidak betul ini berterusan tanpa diperbetulkan, itu sudah tidak kena. Walaupun saya tidak ada apa-apa jawatan namun saya akan terus beri pandangan serta berkongsi pengalaman sama ada kepada FAM mahupun KBS. Apa yang saya maksudkan adalah terus memajukan sukan bola sepak negara dan bukan melibatkan individu dalam FAM.

Tan Sri sebelum ini sering dilihat sebagai seorang yang vokal dalam menyampaikan idea mahupun menegur FAM. Tidakkah tindakan ini dianggap sebagai asyik buat perangai sahaja?

ANNUAR: Dalam hal ini kita kena bezakan antara tanggungjawab dan soal individu. Saya tidak ada masalah langsung dengan individu, baik dengan Presiden mahupun timbalan, masih berhubung seperti biasa. Namun perbezaan pendapat yang terwujud dalam soal melibatkan bola sepak negara, saya akan berterus-terang. Saya tidak akan berselindung jika merasakan sesuatu itu tidak kena. Bila saya dilantik memegang jawatan dalam FAM, ini bermaksud satu tanggungjawab. Jika hanya kerana mahukan jawatan atau bergesel bahu dengan sultan dan jadi orang besar, zaman itu telah berlalu bagi saya. Saya pernah menjadi menteri Kabinet dan memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan maka soal pangkat bukan penting bagi saya. Kita menguruskan perkara berkaitan bola sepak bukannya dapat duit, dapat elaun, kemudahan dan sebagainya. Malah saya memegang jawatan Timbalan Presiden FAM bukannya ada kerusi dan meja pun, namun saya tetap buat kerja setiap hari.

Ada orang yang mempunyai pejabat besar tetapi pemain tidak pernah jumpa, stadium tak pernah pergi, buat apa pegang jawatan? Saya melakukan semua ini kerana minat namun orang melihat seolah-olah saya mengenakan tekanan dan sebagainya. Pada saya jika sesiapa yang tidak menjalankan tugas, tak perform maka dia tidak harus berada di situ kerana bola sepak adalah sukan milik semua dan mempunyai ramai peminat. Peminat berhak mahu melihat industri sukan bola sepak lebih maju dan cemerlang. Sukan bola sepak antara yang paling banyak pelaburan telah dilakukan dengan stadium di setiap negara mencecah ratusan juta ringgit. Jumlah prasarana bola sepak dalam negara ini bernilai berbilion ringgit. Namun bukan kita berlawan siapa bina stadium paling bagus atau canggih tetapi kita berlawan pasukan yang terbaik akan menang.

Malangnya di mana kedudukan pasukan kita sekarang? Sudah tentu ia dianggap pembaziran yang besar kerana kita gagal mengangkat mutu bola sepak negara. Kita juga perlu melabur dalam soal pembangunan bola sepak. Jika tidak apa makna mempunyai stadium banyak tetapi kalah dengan pasukan yang hanya memiliki jumlah stadium yang terhad.

Apakah FAM sukar menerima teguran dan kritikan atau bagaimana?

ANNUAR: Saya telah melalui pengalaman di luar dan juga di dalam industri bola sepak sama ada sebagai menteri, memegang jawatan dalam FAM dan menguruskan sebuah kelab bola sepak maka saya berpandangan yang kena berubah adalah FAM. Persatuan yang dipertanggungjawabkan perlu mengakui di mana kesilapan yang dilakukan. FAM juga adalah sebuah persatuan yang mempunyai kuasa yang begitu besar dalam bola sepak negara ini yang diberi oleh FIFA sehingga orang politik pun tak boleh campur. Kalau wujud campur tangan satu negara mereka boleh gantung semua hal berkaitan bola sepak di seluruh negara. Sudah tentu jika sukan bola sepak tidak maju, FAM yang perlu mengambil tanggungjawab. Begitu juga dalam sukan lain jika sepak takraw atau badminton misalnya tidak maju, persatuan berkaitan yang perlu bertanggungjawab. Yang lain-lain pula hanya bertindak sebagai membantu seperti kerajaan, badan gabungan dan sebagainya.

Maka bagi, saya setelah menduduki jawatan dalam FAM selama empat tahun, saya lihat sukan ini tidak banyak kemajuan malah ranking pula semakin menurun. Kejayaan yang kita peroleh bukanlah boleh dibanggakan sangat, paling baik pun hanya di peringkat ASEAN. Malah kebanyakan negara ASEAN pun memiliki keupayaan yang tidak jauh beza dengan kita malah Filipina yang pernah kita belasah 12-0 pun sekarang menduduki ranking lebih baik daripada kita.

Bila saya mengkritik FAM ia turut melibatkan saya kerana saya berada di dalam FAM dan saya berpandangan keseluruhan jawatankuasa yang ada sekarang perlu ada kekuatan untuk mengakui kita telah gagal. Sepatutnya bukan saya sahaja yang perlu meletak jawatan tetapi kesemua jawatankuasa pun perlu melakukan perkara sama. Namun saya faham tafsiran di luar sana. Ini kerana mereka melihat saya melawan, budak nakal dan memberi tekanan tetapi ia berlaku secara kebetulan.

Ada pihak mengatakan seolah-olah tindakan Tan Sri ini berpakat dengan Menteri KBS sendiri. Apa komen Tan Sri?

ANNUAR: Buat apa saya mahu berpakat dengan menteri kerana beliau bukan ada kuasa pun. Jika betul saya berpakat lebih baik saya berpakat dengan Presiden bola sepak peringkat negeri kerana mereka mempunyai kuasa serta undi dan boleh melakukan sesuatu dan bukannya dengan menteri. Kebetulan apa yang didedahkan media itu adalah antara beliau dengan pengurusan FAM dalam hal yang tidak berkait dengan saya. Malah kita juga jangan lupa bahawa Khairy Jamaluddin juga pernah menjawat Timbalan Presiden FAM dan barangkali beliau ada pengalaman tersendiri ketika berada di dalam FAM. Ingin saya jelaskan apa yang berlaku antara Khairy dan FAM tidak ada kena-mengena dengan saya. Itu satu episod yang tersendiri dan saya tidak mahu memberi komen. Namun adalah jelas bahawa bukan saya sahaja yang mempunyai masalah. Oleh itu jika asyik ada masalah sudah tentu ada yang tidak kenalah dengan FAM. Jika kita lihat FAM sentiasa mempunyai masalah dengan pelbagai pihak antaranya pernah bermasalah dengan AFC, menteri, badan gabungan seperti Sarawak, Perlis, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya. Saya merasakan ini bukanlah satu keadaan yang baik dan FAM tidak boleh berpendirian hanya mereka sahaja yang betul dan orang lain semua salah. Kena terima realiti itu dan jika tidak boleh melakukan dengan baik maka perlulah berundur.

Tidakkah tindakan Tan Sri ini akan memanjangkan lagi konflik bola sepak negara?

ANNUAR: Saya tidak nampak begitu kerana apa yang saya lakukan adalah untuk kebaikan bola sepak negara ini. Bagi saya, FAM itu sendiri yang perlu berubah. Mungkin selepas ini jika sesiapa sahaja memegang jawatan dalam FAM, mereka perlu serius membuat kerja. Paling utama saya harap tidak akan ada pelantikan yang bersifat ambil hati atau berkumpulan kerana jika perkara ini tidak dibaiki, bola sepak negara ini tidak akan maju sampai bila-bila. Mereka perlulah terdiri daripada orang yang mahu terjun dalam alam pengurusan bola sepak. Saya berpandangan bermula dengan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta ahli exco mesti terdiri daripada badan-badan gabungan yang sedang bertugas. Mereka yang lain tidak sesuai memegang jawatan dalam FAM dan kita perlu lihat pengurusan FAM ini seperti sebuah syarikat yang terdiri daripada stake holders iaitu ahli-ahli badan-badan gabungan.

Mungkin pihak FAM beranggapan telah melakukan segalanya tetapi nasib belum menyebelahi atau beberapa faktor lain mengakibatkan sukan bola sepak masih di takuk lama. Apa pandangan Tan Sri?

ANNUAR: Dalam bola sepak bukan begitu. Memanglah takdir penting dalam setiap perancangan kita. Tetapi sukan bola sepak bukanlah masalah kerana semua negara ada model pembangunan bola sepak masing-masing. Di mana-mana negara melalui peruntukan undang-undang oleh FIFA yang turut diguna pakai oleh FAM. Presiden juga adalah pengerusi jawatan kuasa pasukan kebangsaan.

Saya nak tanya mana dia minit mesyuarat jawatankuasa pasukan kebangsaan yang mana saya turut terlibat? Jadi kita pun boleh bayangkan jika mesyuarat pun tidak pernah dilakukan, bagaimana sesuatu dasar mahu dilaksanakan dengan berkesan. Kita tidak boleh kata nasib kerana kita tidak melakukan yang terbaik. Sudah tentu dalam melakukan dasar dan pembangunan, kita memerlukan satu blueprint. Pada pertama kali saya masuk mesyuarat FAM, saya bertanya tentang blueprint tetapi diberitahu akan dilakukan dalam masa terdekat. Kini telah empat tahun saya tidak nampak sebarang blueprint dilakukan. Oleh itu kalau mesyuarat tidak dilakukan dan blueprint pun tidak wujud bagaimana kita boleh kata telah melakukan yang terbaik. Tidaklah saya kata FAM tidak membuat kerja tetapi jika mesyuarat dan blueprint pun tidak ada, bagaimana kita mahu melakukan perancangan yang teratur serta tersusun yang akhirnya boleh memajukan sukan bola sepak negara ini.

Saya berada di dalam FAM tetapi bila bagi cadangan mereka sensitif, bila kritik saya digantung, bila nak buat kerja blueprint tak ada. Setiap anggota gabungan melaksanakan pembangunan mengikut cara masing-masing, tidak ada satu blueprint yang selaras boleh digunakan. Semua orang akan kata mereka buat kerja dan memang betul tetapi cara yang kita buat ini tidak kena.

Kalau lihat di Korea Selatan dan Jepun, mereka mempunyai satu blueprint lengkap yang selaras. Jadi ke mana sebenarnya hala tuju sukan bola sepak negara ini jika perancangan dan pelaksanaan yang betul-betul kukuh tidak dilakukan. Mungkin mereka melihat tidak ada masalah tetapi bagi saya sebenarnya banyak masalah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved