Sabtu, 21 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


18 GRO warga China ditahan

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

ABU Bakar Sidek Hasan (berdiri, depan) menunjukkan pasport kepada wanita warga asing yang ditahan kerana tiada dokumen perjalanan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Melaka Raya, Melaka, kelmarin.

MELAKA 20 Dis. - Seramai 18 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China dicekup Jabatan Imigresen negeri dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Melaka Raya di sini, awal pagi semalam.

Serbuan bermula pada pukul 11 malam hingga 4 pagi itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun, disyaki bapa ayam.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, kesemua wanita berumur antara 22 hingga 40 tahun yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini bagi menarik pelanggan ke pusat hiburan berkenaan.

"Pusat hiburan yang 'kebal' berkenaan sebelum ini pernah diserbu beberapa kali namun gagal kerana jumlah tangkapan sedikit. Bagaimanapun, hasil intipan yang dilakukan, kami berjaya mematahkan kegiatan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Imigresen negeri, Ayer Keroh, di sini.

Menurut Abu bakar, serbuan di lokasi berisiko itu dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) melibatkan sebanyak 105 pegawai dan anggota.

"Anggota yang ramai diperlukan kerana kawasan itu dijaga rapi oleh ramai tonto dan samseng, malah ada di antaranya cuba menakut-nakutkan anggota penguat kuasa dengan pisau selain mengekori kenderaan jabatan hingga ke Pejabat Imigresen negeri di sini awal pagi," ujarnya.

Jelas beliau, seramai 11 daripada wanita China itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit sah manakala tujuh lagi ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan manakala.

"Bapa ayam warga tempatan itu pula ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana dengan sengaja memberi perlindungan kepada pendatang asing," katanya.

Menurut beliau, pihaknya sebelum itu turut menyerbu dua lokasi warga asing iaitu di tapak pembinaan di Telok Mas dan sebuah rumah kongsi di Kota Laksamana.

"Serbuan dijalankan bermula 10 pagi itu menahan 27 warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Myanmar termasuk lima wanita berumur antara 18 hingga 45 tahun.

"Dua daripada mereka ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, 19 di bawah Seksyen 6(1)(c) manakala enam lagi di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen Akta Imigresen 1969/63," ujarnya.

Melaka negeri pertama tandatangan CIP

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

IDRIS Haron (tengah) berkata sesuatu kepada Abu Kassim Mohamed (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang lain dalam majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Pentadbiran Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - BERNAMA

MELAKA 20 Dis. - Melaka mencatat sejarah tersendiri menjadi negeri pertama menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dalam usaha meningkatkan integriti serta menambah kepercayaan terhadap sistem pengurusan kerajaan negeri.

Usaha tersebut merupakan tanda sokongan terhadap inisiatif memerangi rasuah yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pelaksanaan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sebanyak 10 agensi dan anak syarikat kerajaan negeri bersama-sama menunjukkan komitmen menyokong ikrar bagi mendukung prinsip pencegahan rasuah di negara ini.

"Dengan menandatangani CIP, sesebuah organisasi telah membuat deklarasi bahawa mereka tidak terlibat dengan rasuah, berusaha mewujudkan persekitaran perniagaan bebas rasuah dan menegakkan prinsip pencegahan rasuah dalam melaksanakan urusan perniagaan dengan rakan niaga lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Pentadbiran Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Antara agensi yang terlibat menandatangani CIP tersebut termasuklah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Yayasan Melaka serta Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Jelas Idris, bagi menyokong perkara tersebut, sebanyak lima usaha turut diperkenalkan di peringkat kerajaan negeri yang diharapkan dapat mempertingkatkan kualiti produk serta perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kesemua 10 agensi terlibat akan melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif Integriti bagi setiap agensi dihantar berkursus di SPRM bagi melatih mereka menjadi ejen atau pakar rujuk yang mempunyai pengetahuan, kepakaran dan maklumat tentang kegiatan pencegahan rasuah.

"Selain itu, semua pejabat pegawai di Jabatan Ketua Menteri akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), dipantau saya sendiri bagi mengenal pasti kegiatan pegawai, seterusnya dapat menambah baik perkhidmatan jabatan.

"Semua hadiah diterima di peringkat pegawai dalam Jabatan Ketua Menteri atas sifat urusan rasmi akan diisytiharkan sebagai salah satu prosedur penerimaan cenderahati," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut akan lebih tegas dalam urusan pembekalan sesuatu projek yang melibatkan sesebuah syarikat milik suami atau isteri kepada mana-mana pegawai dalam agensi serta jabatan kerajaan negeri.

Kerajaan bangga pencapaian sekolah agama dalam PMR

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

SEREMBAN 20 Dis. - Kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian sekolah agama dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang menyaksikan enam buah sekolah tersebut berada dalam kelompok 15 terbaik di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha meningkatkan pencapaian pendidikan dalam kalangan pelajar sekolah agama yang dibuat sejak beberapa tahun lalu termasuklah jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan telah membuahkan hasil luar biasa.

"Dalam keputusan PMR semalam, 15 sekolah dikategorikan terbaik peringkat negeri. Daripada jumlah itu, enam sekolah adalah sekolah agama bantuan kerajaan," katanya di sini hari ini.

Katanya, ramai pelajar yang cemerlang itu memperoleh keputusan 9A dan 8A, sekali gus menunjukkan pencapaian sekolah agama di negeri ini semakin baik.

"Usaha meningkatkan keupayaan pendidikan bagi sekolah agama bantuan kerajaan dengan kerjasama kementerian ini amat membanggakan dan ia meningkat saban tahun," katanya.

Sementara itu kata Mohamad, tiga buah sekolah agama negeri seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ialah Maahad Ahmadi Gemencheh, Insitut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (Itqan) dan Sekolah Menengah Agama Sains Selaru, Kuala Pilah menyaksikan 22 pelajar telah mendapat 9A dalam PMR.

"Saya berharap, kejayaan pelajar ini juga dijadikan tanda aras untuk kita memastikan sekolah agama ini sentiasa ke hadapan dan cemerlang. Pastikan juga sekolah agama negeri ini mendapat akses pendidikan yang lebih baik.

"Inilah juga yang telah menjadi hasrat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk memastikan sekolah agama menjadi sekolah pilihan dalam kalangan ibu bapa," katanya.

Mohamad juga mengucapkan syabas kepada seluruh warga pendidik serta pelajar kerana menjadikan negeri ini berada dalam kelompok terbaik PMR di peringkat nasional.

"Gred purata negeri (GPN) kita pada angka 2.59 berbanding sebelum ini 2.65. Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan.

"Jurang pencapaian pelajar luar bandar dan bandar semakin dirapatkan, malah peratusan kelulusan juga amat baik. Ini akan dipantau dan usaha diperhebatkan supaya pelajar luar bandar diberi akses terbaik dalam memperkasa pendidikan sekali gus menyaksikan kecemerlangan sama dapat dinikmati," tegas Mohamad.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved