Sabtu, 21 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Hargai sumbangan sukarelawan

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh HERMAN HAMID
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 21 Dis. - Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan seluruh negara yang bertungkus-lumus terlibat membantu mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, keprihatinan pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan material dan tenaga banyak memberi kelegaan kepada mangsa banjir yang amat memerlukan sokongan semua.

Katanya, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu walaupun tanpa publisiti telah memberi sumbangan yang cukup banyak.

"Bagaimanapun pada masa sama, ada pula pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada musibah banjir untuk meraih laba politik.

"Bawa sumbangan makanan untuk 20 orang, sibuk ambil gambar masuk dalam laman sosial kononnya mereka lebih prihatin daripada pihak kerajaan yang hakikatnya menguruskan puluhan ribu mangsa," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Banjir dan Penghargaan Sukarelawan Peringkat Nasional yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini semalam.

Sementara itu, Adnan berkata, banjir sememangnya satu bentuk ujian yang betul-betul menduga kesabaran pelbagai pihak khususnya mangsa banjir itu sendiri.

"Bila diuji seperti banjir kita tahu sikap sebenar sama ada kita betul-betul sabar, pemurah dan sebagainya.

"Maka, kita dapat dengar ada yang sanggup keluar parti kerana tidak dapat roti. Bagi saya, kalau keluar parti biarlah sebab perjuangan bukan kerana sebuku roti, malu," jelasnya.

Tambah Adnan, bencana banjir besar di Kuantan khususnya turut memberi pengajaran kepada agensi kerajaan cara untuk berhadapan ujian serupa pada masa depan.

"Lebih baik kita sebut ini semua sebagai satu cubaan yang baik untuk kita menilai diri kita sendiri dalam berhadapan ujian yang mungkin lebih besar.

"Wakil rakyat kita juga diingatkan supaya sentiasa bekerja kuat menjaga kawasan masing-masing terutama ketika musim banjir seperti sekarang," katanya.

Empower ECERDC bantu pelajar Orang Asli

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

RAUB 21 Dis. - Walaupun tinggal di pedalaman, namun dua pelajar Orang Asli di Pos Kuala Koyan, Lipis, Norkhasirah Karim dan Iniana Munam membuktikan dengan kesungguhan melakukan rujukan dan latihan, mereka mampu mencatat kejayaan membanggakan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013.

Pelajar berkenaan yang merupakan peserta Program Latihan Akademik Empower, Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) berpusat di Sungai Koyan turut berterima kasih kepada agensi itu kerana banyak membimbing mereka melakarkan kejayaan.

Menerusi keputusan PMR 2013 yang diumumkan kelmarin, Norkhasirah memperoleh 4A manakala Iniana mendapat 3A serta lulus semua mata pelajaran lain yang cukup membanggakan kalangan masyarakat Orang Asli Pos Kuala Koyan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan, Lipis.

Norkhasirah dan Iniana antara 296 peserta program latihan akademik Empower ECER wilayah Pahang Barat di negeri ini yang memperoleh kejayaan PMR dan diraikan dalam satu majlis di SMK Tersang 2, dekat sini semalam.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Yaacob.

Kedua-dua rakan akrab itu yang bercita-cita menjadi guru menjelaskan, mereka tidak mempunyai rahsia tersendiri ketika mengulang kaji pelajaran kecuali bersikap konsisten menggunakan buku rujukan di samping tekun ketika guru mengajar di bilik darjah.

Norkhasirah berkata, dia berterima kasih kepada ECERDC kerana menerusi program kelas tambahan dan bantuan persekolahan banyak menolong meringankan beban kesusahan keluarga di kampung.

"Saya tekun belajar semasa di dalam kelas di samping berpeluang mengikut kelas tambahan anjuran Empower Lipis setiap minggu.

"Kejayaan PMR ini, walaupun tidaklah sebaik pelajar lain, tetapi merangsang saya untuk berusaha gigih dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi," katanya di Sungai Koyan, semalam.

Iniana berkata, bantuan program latihan akademik anjuran program Empower ECERDC antara penyumbang kejayaannya memperoleh 3A dalam PMR dan lulus mata pelajaran lain menerusi keputusan semalam.

"Gurulah yang banyak membantu saya semasa di sekolah dan sekali sekala berpeluang menggunakan soalan daripada portal pendidikan yang turut mengasah kemahiran menjawab soalan PMR sebagai latihan tambahan," katanya.

Tambahnya, kejayaan itu antara pencetus semangat serta merangsang adiknya serta rakan lain dalam kalangan Orang Asli etnik Semai Kuala Koyan belajar bersungguh-sungguh untuk menempa kecemerlangan pada masa akan datang.

Penggiat seni di Pahang dirai

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

KUANTAN 21 Dis. - Seramai 400 penggiat seni di negeri ini menghadiri Majlis Malam Seniman Pahang yang berlangsung di sebuah hotel di sini baru-baru ini sebagai tanda penghargaan kepada golongan tersebut dalam mengangkat martabat seni budaya.

Majlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin.

Dalam ucapan ringkasnya, Mohd. Sharkar berharap seniman di negeri ini memainkan peranan sebagai penyuntik dalam merancakkan aktiviti seni budaya di negeri ini.

''Ini terutama dalam persediaan menyambut kedatangan pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 tidak lama lagi," katanya.

Turut diadakan dalam majlis itu ialah penyampaian Bantuan Kebudayaan Kerajaan Negeri Pahang kepada 12 pertubuhan berkaitan melibatkan peruntukan sebanyak RM80,000.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved