Selasa, 12 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Peruntukan khas itu bagi mereka yang berdaftar dengan JKM

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Rusnah Kassim

IPOH 11 Nov. - Anak yatim di pusat penjagaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini akan menerima peruntukan khas sebanyak RM350 mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini hanya disampaikan kepada pertubuhan rumah anak-anak yatim.

"Kerajaan negeri mengotakan janji dengan memperuntukkan RM400,400 sebagai bantuan kepada 38 rumah anak yatim berbilang kaum.

"Kita mengutamakan anak yatim untuk diberikan sumbangan memandangkan keperluan kewangan bagi pembiayaan keperluan seorang kanak-kanak adalah tinggi lebih-lebih lagi untuk keperluan persekolahan pada awal tahun 2014," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyampaian peruntukan khas kerajaan negeri Perak kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak yatim serta bantuan geran tahunan JKM kepada pertubuhan sukarelawan kebajikan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Chong Phaik Kee.

Terdahulu, ketika berucap Rusnah berkata, sebanyak RM4.1 juta telah diberikan kepada NGO negeri Perak pada tahun ini bagi menampung sumber kewangan mereka untuk meneruskan perkhidmatan bermanfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, jumlah tersebut antara lain meliputi RM508,000 dalam bentuk geran tahunan kepada 44 pertubuhan sukarela pelbagai kategori dan RM3,232,400 lagi kepada 26 buah pertubuhan sukarelawan kebajikan.

"Kita berharap agar pertubuhan yang diberikan geran tahunan ini dapat mempertingkatkan usaha melalui program dan aktiviti selaras dengan dasar kementerian selain membantu melengkapkan lagi kemudahan yang disediakan oleh kerajaan meliputi seluruh lapisan masyarakat," katanya.

Modul pendidikan awal: Tabika Kemas contohi tadika swasta

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Norliza Abdul Rahim (kiri) dan Omar Faudzar (dua dari kiri) beramah mesra dengan kanak-kanak tabika sempena majlis Konvokesyen Tabika Kemas Bukit Gelugor di Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini.

PULAU PINANG 11 Nov. - Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) boleh mencontohi kaedah pembelajaran di tadika swasta sebagai penambahbaikan kepada modul pendidikan awal kanak-kanak sedia ada yang sekali gus dapat melahirkan modal insan berkualiti pada masa depan.

Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Wanita UMNO, Senator Norliza Abdul Rahim berkata, prestasi modul tadika swasta dilihat lebih jauh ke depan sehingga ada yang sudah dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji semula modul yang digunakan di Tabika Kemas supaya relevan dengan kehendak semasa.

"Saya mencadangkan kerajaan menjalin usahasama dengan tadika swasta seperti kaedah modul membaca dan mengira yang dilihat berkesan.

"Di bawah modul pembelajaran yang berkesan dan berkualiti di kalangan kanak-kanak, saya yakin lebih ramai pelajar pintar dapat dihasilkan oleh negara," katanya selepas majlis Konvokesyen Tabika Kemas Bukit Gelugor, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar; Penolong Pengarah Operasi II Kemas Pulau Pinang, Sakinah Ibrahim dan Pengerusi Aktiviti Kemas Bukit Gelugor, Abu Bakar Ahmad.

Dalam majlis itu, kira-kira 105 kanak-kanak diraikan dan menerima sijil Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang.

Penduduk lega ancaman gajah liar berkurangan

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

SUNGAI SIPUT 11 Nov. - Ancaman gajah liar yang sebelum ini kerap memusnahkan tanaman penduduk di daerah ini semakin berkurangan ekoran usaha berterusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap dan memindahkan haiwan tersebut ke kawasan lain.

Antara kawasan yang mengalami masalah itu termasuk di kawasan Felda, Kampung Lasah, Kampung Perlop 1, 11 dan 111, Kampung Lintang, Kampung Jalong, Kampung Pulau Mentimun dan beberapa kawasan lain.

Setiap kali gajah liar memasuki kawasan berkenaan, penduduk mengalami kerugian apabila tanaman mereka seperti kelapa sawit yang baru ditanam, pokok pisang, kelapa dan anak getah dimusnahkan.

Namun, jelas penduduk, sejak kebelakangan ini tiada lagi ancaman daripada haiwan berkenaan dengan penangkapan empat ekor haiwan itu oleh Perhilitan kira-kira lima bulan lalu dan merupakan kali terakhir haiwan itu ditangkap dan dipindahkan.

Bekas Ketua Kampung Perlop 111, Hamid Maidin, 63, mendakwa, penduduk di kawasan berkenaan pernah mengalami kerugian besar ekoran tanaman mereka dimusnahkan gajah liar.

Menurutnya, anak-anak pokok yang mereka tanam tidak sempat membesar akibat dimusnahkan haiwan berkenaan.

"Penduduk di sini semakin lega kerana ancaman gajah liar yang memusnahkan tanaman semakin berkurangan ekoran usaha Perhilitan yang menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan.

"Ketika itu, penduduk terpaksa membuat penanaman semula sehingga ada yang tiga empat kali kerana dimusnahkan oleh gajah liar.

"Malah kerana tidak tahan dengan ancaman gajah liar, ada penduduk yang terpaksa bekerja di luar dari kawasan kampung ini untuk menambah pendapatan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kini Kampong Perlop 111 yang mempunyai seramai 114 peserta gembira kerana tanaman kelapa sawit seluar 50 hektar yang sudah hampir dua tahun tidak diusik oleh gajah liar.

Selain itu, katanya, tanaman lain seperti buah-buah dan sayur-sayuran tidak lagi terdedah kepada ancaman haiwan berkenaan.

"Saya menganggarkan 30 gajah liar di kawasan ini dipindahkan oleh Perhilitan dan kini penduduk sudah boleh mengusahakan tanaman mereka tanpa perlu berasa risau akan dimusnahkan oleh gajah liar," katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji usaha Perhilitan yang giat memasang pagar elektrik sepanjang 20 kilometer dari Kampong Kajang hingga ke Kampong Raja Intan Suraiya berhampiran Empangan Chenderoh bagi mengelak gajah liar memasuki kawasan kampung.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved