Selasa, 12 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


153 premis kotor diarah tutup

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
pengarang@utusan.com.my

SEREMBAN 11 Nov. - Sebanyak 153 premis makanan telah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri dalam Operasi Bersepadu Ops Premis Makanan Bersih sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan (gambar) berkata, jumlah itu merupakan hasil pemeriksaan ke atas 4,706 premis makanan yang diadakan dalam tempoh tersebut.

"Tindakan undang-undang diambil mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan jika mereka gagal mematuhinya, denda maksimum tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zailan, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang bakal dikuatkuasakan mulai Januari tahun hadapan, dijangka dapat memperkukuhkan lagi aspek penguatkuasaan berkaitan dengan amalan pengendalian makanan yang bersih dan selamat.

Mengulas lanjut mengenai operasi ini, beliau memberitahu tindakan itu akan diadakan sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan dan yang terbaharu adalah di kawasan Tampin.

"Dalam operasi ini, sebanyak 47 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 17 premis telah diarah tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati kotor. Operasi ini melibatkan juga kawasan Gemencheh," tegasnya.

Katanya, pihak jabatan akan sentiasa mengadakan kempen dan operasi pemeriksaan keselamatan penyediaan makanan bagi memastikan apa yang dihidangkan itu tidak menjejaskan kesihatan orang awam.

"Kita mahu melihat, hasil yang mereka jual itu selamat, terhindar daripada sebarang jangkitan kuman, mematuhi aspek keselamatan penyediaan makanan. Pengendali makanan pula hendaklah mematuhi peraturan aspek kebersihan," jelas Zailan.

Melaka komited bantu pembangunan orang kurang upaya

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Idris Haron

MELAKA 11 Nov. - Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini bagi memastikan hak dan penyertaan mereka disamaratakan dalam pembangunan masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan dalam memastikan golongan itu terus diiktiraf.

"Ini termasuklah mengiktiraf kepentingan kebolehaksesan OKU kepada persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan kebudayaan bagi membolehkan penyertaan penuh mereka dalam masyarakat," katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran Abilympics Melaka di Ayer Keroh di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Roslan Ahmad.

Yang hadir sama, Pengerusi Majlis Pemulihan Malaysia (MCR), Datin Katijah Suleiman dan Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan OKU negeri, Ismail Baharom.

Jelas Idris, melalui Akta OKU 2008, golongan tersebut berpeluang membangun dan menggunakan potensi kreatif, artistik dan intelek mereka bukan hanya demi kepentingan diri malah untuk memperkayakan masyarakat.

Sementara itu katanya, Abylimpics atau olimpik bagi OKU merupakan pentas bagi golongan berkenaan untuk membuktikan kemahiran mereka kepada masyarakat.

"Program Abilympics adalah bukti jelas bahawa golongan OKU tidak diketepikan selain sentiasa mendapat sokongan berterusan.

"Sehubungan itu saya menyokong penuh usaha murni bagi membantu golongan tersebut agar mereka dapat disosialisasikan dengan baik dalam kelompok masyarakat amnya," ujarnya.

Tambah beliau, program berkenaan diharap akan turut dapat menarik pihak luar, badan korporat, swasta dan individu untuk bersama-sama menunjukkan komitmen membantu OKU selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.

Ibu bapa disaran eratkan keakraban institusi keluarga

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Latipah Omar (tengah) mengedarkan kek cawan kepada seorang kanak-kanak sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2013 peringkat negeri di Mydin MITC, Melaka, kelmarin.

MELAKA 11 Nov. - Ibu bapa disaran meluangkan masa lebih lama bersama anak-anak bagi mengeratkan hubungan keakraban dalam mengukuhkan sesebuah institusi keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar, berkata, pengukuhan dalam hubungan kekeluargaan menjadi faktor penentu kepada pembangunan yang seimbang dalam melahirkan generasi berkualiti.

Menurutnya, melalui institusi kekeluargaan dapat mencegah anak-anak daripada terpengaruh dengan kegiatan negatif dan terjebak dalam masalah sosial.

"Ibu bapa perlu lebih prihatin tentang kehidupan keluarga dan mengambil inisiatif supaya meluangkan masa bersama anak-anak di samping menanamkan nilai-nilai murni diperlukan sebagai asas sebuah masyarakat yang kukuh dan stabil.

"Pengukuhan dan kemantapan institusi keluarga mampu membina kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional serta kesejahteraan hidup sekali gus melahirkan masyarakat yang harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2013 peringkat negeri di Mydin MITC di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri, Bibi Azlilee Abdullah.

Latipah berkata, sambutan pada tahun ini yang bertemakan Jom Utamakan Keluarga itu antara lain memberi penekanan dengan memupuk kesedaran kepada ibu bapa supaya tidak leka dan mementingkan kerjaya tanpa menghiraukan anak-anak.

"Kesempatan masa yang ada perlu dimanfaat sepenuhnya dengan memainkan peranan seperti membawa keluarga beriadah bahkan membeli-belah barangan keperluan di pasar raya juga dilihat mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dan anak-anak.

"Dengan cara ini mereka dapat mengisi masa bersama terutamanya ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing ketika cuti pada hujung minggu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved