Selasa, 12 November 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


TMJ sokong Khairy

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan sokongan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kritikannya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tunku Mahkota Johor itu berkata, Khairy sememangnya layak menyuarakan pendapatnya kerana selaku Menteri bertanggungjawab, beliau diberi mandat oleh kerajaan untuk mentadbir hala tuju sukan negara termasuk bola sepak.

"Selain itu, beliau (Khairy) juga membuat teguran dengan niat yang baik demi kemajuan sukan bola sepak tanah air," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan PBNJ di sini, semalam.

Hubungan Khairy dan FAM sebelum ini menjadi panas apabila secara terbuka mengkritik badan induk bola sepak negara atas keprihatinannya yang mahu melihat sukan tersebut maju ke depan sekali gus sebagai bukti beliau sayangkan sukan itu.

Bagaimanapun, kritikan serta teguran yang dibuat Khairy kepada FAM nyata tidak disenangi sesetengah pihak, termasuk bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyifatkan tindakan Menteri itu seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam persatuan berkenaan.

Ekoran kenyataan Jamal Nasir itu, Khairy kemudiannya membuat pengakuan bahawa beliau sudah bosan dengan FAM apabila tidak boleh menerima teguran daripada mana-mana pihak, malah menyifatkan hasratnya disalah ertikan apabila dituduh berdendam dengan FAM.

"Saya tidak ada dendam kepada sesiapa, saya tegur FAM atas keprihatinan saya hendak melihat bola sepak maju ke depan, takkanlah persatuan sukan dah jadi kebal. Sampai menteri tak boleh cakap apa-apa.

"Ini yang berlaku hari ini, menteri tegur sikit pun hendak kena panggil bekas pemain, lepas itu kritik menteri," kata Khairy.

Isu Khairy-FAM jadi agenda Exco - Hamidin

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengalu-alukan kesediaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk bertemu pihaknya, malah mungkin menjadikannya antara agenda penting mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan pada 24 November ini.

"Kami juga tiada masalah untuk membincangkan apa sahaja perkara demi kebaikan bola sepak negara termasuk pelan pembangunan sukan itu bagi peringkat umur yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Januari tahun depan.

"Beliau pun pernah menjadi sebahagian FAM (Timbalan Presiden persatuan) jadi pastinya kami mengalu-alukan kehadirannya," katanya mengenai kenyataan Khairy Jamaluddin kelmarin yang seperti mengenakan syarat tertentu iaitu cuma mahu bersemuka pengurusan tertinggi atau pembuat keputusan persatuan.

Namun, Hamidin enggan memanjangkan isu kenyataan Khairy yang pada Jumaat lalu, menganggap sistem jualan tiket Piala Malaysia dan Piala FA seperti zaman purba, malah menuntut Setiausaha Agung FAM itu mengakui kesilapannya dan tidak cuba menegaskan bahawa persatuan itu yang lebih arif.

Menteri Belia dan Sukan itu terdahulu mengulas saranan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan supaya beliau berhenti mengkritik persatuan secara terbuka sebaliknya mengatur pertemuan dengan Exco persatuan jika mempunyai cadangan membina dalam memperbaiki perjalanan bola sepak negara.

Khairy juga terheret dengan 'perang mulut dalam media' dengan bekas bek kanan kebangsaan yang juga bekas ahli Majlis FAM, Datuk Jamal Nasir Ismail yang turut cuba membandingkan kelantangannya dengan pengurusan skuad realiti TV bola sepak oleh menteri itu, MyTeam yang hanya bertahan tiga tahun.

Kata Hamidin, beliau belum memaklumkan kepada Sultan Ahmad Shah berhubung kesediaan Khairy itu tetapi mungkin melakukannya sekembalinya Presiden FAM itu dari luar negara, minggu depan.

"Saya belum berpeluang berbuat begitu memandangkan Tuanku Presiden masih berada di Amerika Syarikat. Tunggulah baginda pulang ke tanah air. Kemungkinan besar juga kami cuba mengetengahkannya sebagai agenda Exco FAM (24 November)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved