Selasa, 12 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


SKMM bina 365 pencawang di Pantai Timur

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

SHAHANIZA Shamsuddin (kiri) menerima cenderamata daripada Nor Azhar Hasan pada majlis perasmian PI1M di Kampung Chenor di Maran, Pahang, baru-baru ini.

MARAN 12 Nov. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membina 365 menara pencawang komunikasi di negeri-negeri Pantai Timur hingga akhir bulan lalu.

Pengarah SKMM Wilayah Timur, Nor Azhar Hasan berkata, pencawang tersebut amat penting bagi mengukuhkan liputan telekomunikasi dan perkhidmatan capaian internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi).

Menurutnya, di negeri ini sahaja sebanyak 138 pencawang telah beroperasi daripada 207 yang dirancang manakala selebihnya iaitu 69 pencawang lagi dalam proses pembinaan.

"SKMM dan syarikat telekomunikasi sentiasa berusaha dalam membina tapak pemancar di merata tempat strategik di seluruh negara demi kebaikan pengguna.

"Penambahan bilangan menara pencawang secara langsung dapat meningkatkan liputan capaian internet selari dengan perkhidmatan Kampung Tanpa Wayar dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Bersama PI1M Kampung Chenor yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin di sini kelmarin.

Nor Azhar berkata, pusat itu merupakan satu program dalam menyediakan capaian internet jalur lebar secara menyeluruh di negeri ini.

Jelasnya, terdapat 58 PI1M di Pahang termasuk lima di Parlimen Maran iaitu Kampung Chenor, Kampung Awah, Felda Jengka 2, Felda Jengka 3 dan Kampung Luit.

"Ini dapat mendidik rakyat daripada semua golongan menguasai dan celik internet bagi tujuan menjana kehidupan lebih baik," ujarnya.

Katanya, mereka yang mampu menguasai internet dapat mengakses pelbagai perkara seperti memperolehi sesuatu maklumat, melakukan promosi dalam urus niaga tertentu, pembayaran bil dan sebagainya.

"Bagaimanapun pengguna perlu bijak mengawal diri tanpa terperangkap penyebar fitnah, pujuk rayu, judi internet dan sebagainya,'' katanya.

DuPont hulur bantuan RM23,000

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh ASLIZA MUSA
utusanpahang@utusan.com.my

ONG Ewe Hock (berdiri, empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lembah Bertam di Cameron Highlands, Pahang, kelmarin.

CAMERON HIGHLANDS 12 Nov. - Seramai 250 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley di sini yang terjejas akibat banjir lumpur pada 23 Oktober lalu menerima bantuan kelengkapan persekolahan berjumlah RM23,000 daripada DuPont Malaysia di sini, semalam.

Kesemua murid yang terlibat menerima bantuan berupa beg sekolah dan alatan tulis setiap seorang manakala empat buah komputer pula disumbangkan kepada sekolah berkenaan.

Majlis penyampaian bantuan disempurnakan oleh Pengarah Urusan DuPont Malaysia, Ong Ewe Hock dalam satu majlis ringkas di pekarangan sekolah tersebut yang turut dihadiri guru besarnya, Tee Lian Yew.

Menurut Ewe Hock, sumbangan tersebut bukan sahaja merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya malah menjadi tanda komitmen mereka dalam membantu golongan yang memerlukan.

''Kami bersimpati dengan kejadian malang yang menimpa penduduk di sini dan memahami kesulitan yang ditanggung oleh mereka.

''Oleh itu, sumbangan ini, diharap mampu meringankan beban ibu bapa terutama dalam melakukan persiapan persekolahan anak-anak menjelang pembukaan penggal persekolahan pada awal tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Lian Yew berkata, pihaknya menyambut baik kesudian DuPont untuk meringankan beban keluarga mangsa-mangsa banjir sekali gus memberikan keceriaan kepada anak-anak mereka dalam membuat persiapan untuk kembali ke sekolah.

''Terima kasih kepada DuPont Malaysia kerana sudi menghulurkan sumbangan kepada murid di sekolah ini. Kesudian menyumbangkan empat buah komputer ini cukup besar ertinya kepada kami selepas kejadian sebelum ini," katanya.

Pengurusan sekolah perlu proaktif sedia persekitaran kondusif

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

MARAN 12 Nov. - Pengurusan sekolah di daerah ini diminta proaktif dalam menyediakan persekitaran kondusif sebagai pra-syarat untuk menjalinkan hubungan kerja antara guru dan ibu bapa serta komuniti setempat.

Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Baharum Samad berkata, ini kerana sistem pembelajaran negara ini bukan sahaja berlaku di sekolah tetapi juga di rumah dan komuniti setempat.

Menurutnya, jalinan itu merupakan suatu inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang memberi ruang serta tanggungjawab pendidikan untuk dikongsi bersama bagi memastikan pembelajaran berkualiti diwujudkan kepada murid dan pelajar sekolah.

"Kerajaan mengambil langkah menggubal PPPM yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk mewujudkan transformasi sistem pendidikan.

"Oleh itu, pihak sekolah perlu menyediakan keadaan yang kondusif bagi menggalak kan ibu bapa dan komuniti terlibat dalam pembelajaran anak di sekolah,'' katanya ketika berucap merasmikan Malam Anugerah Perdana Seroja 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 di sini semalam.

Yang turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jengka 18, Aminallah Mat Long dan Pengetua SMK Jengka 18, Saimah Hasan.

Baharum berkata, pihak sekolah perlu berperanan untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak mereka kerana hanya 14 peratus setahun masa pelajar berada di sekolah dan selebihnya di rumah.

Menurutnya, memperluaskan peranan ibu bapa sebagai rakan sekolah sangat perlu dalam meningkatkan keberhasilan anak-anak dalam pelbagai bidang.

"Perubahan terhadap sistem pendidikan negara bertujuan melonjakkan pencapaian bagi memenuhi aspirasi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved