Selasa, 12 November 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


MB Pahang makin pulih, dikeluarkan dari ICU ke wad biasa

Posted: 12 Nov 2013 12:14 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF

KUANTAN 12 Nov. - Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob kembali pulih selepas dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4 November lalu akibat diserang jangkitan kuman sama ada leptospirosis atau meliodosis.

Adnan berkata, beliau kini telah dikeluarkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) dan

telah dipindahkan ke wad biasa di Hospital tersebut pada 8 November lalu. - UTUSAN ONLINE

SOP Patkor Kastima ditambah baik

Posted: 12 Nov 2013 12:13 AM PST

Oleh AZIZI MAJID

JOHOR BAHRU 12 Nov. - Prosedur operasi standard (SOP) bagi Operasi 'Patkor Kastima' yang dijalankan antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Republik Indonesia (DJBC) akan diperbaharui bagi memperkasakan usaha membanteras kegiatan penyeludupan di kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, SOP yang diguna pakai sejak operasi itu dilaksanakan 19 tahun lalu memerlukan penambahbaikan sesuai dengan tuntutan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh penguat kuasa kedua-dua negara.

"Tidak dinafikan banyak kejayaan yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak sejak operasi secara bersama terutamanya dalam membanteras kegiatan penyeludupan di Selat Melaka.

"Namun berdasarkan perubahan masa dan cabaran baharu yang dihadapi ketika ini, kita perlu melakukan penambahbaikan terhadap SOP yang diguna pakai bagi memperkasakan operasi membanteras penyeludupan di kedua-dua negara," katanya selepas upacara penutupan Operasi Patkor Kastima Ke-19 2013 di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Tanjung Pelepas di sini hari ini.

Yang turut hadir, ialah Direktur Jenderal DJBC, Agung Kuswandono dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan Penguatkuasaan), Datuk Matrang Suhaili. - UTUSAN ONLINE

NAP: Malaysia sebagai hab EEV menjelang 2020

Posted: 12 Nov 2013 12:11 AM PST

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Malaysia bakal menjadi hab bagi kenderaan teknologi cekap tenaga (EEV) di rantau ini menjelang tahun 2020 yang juga merupakan antara polisi utama di dalam Dasar Automatif Negara (NAP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, polisi itu adalah antara perkara pokok yang sudah dimasukkan ke dalam NAP dan bakal diumumkan pertengahan Januari tahun hadapan.

"Bagi kita, ini merupakan perkara utama untuk dimasukkan ke dalam NAP selari dengan Thailand yang sudah mengumumkan Polisi Kereta Ekologi manakala Indonesia pula dengan dasar kereta Teknologi Hijau Harga Rendah.

"Namun kita bukan hanya mahu menghasilkan kenderaan berteknologi EEV tapi kita juga mahu Malaysia menjadi hab bagi semua perkara yang berkaitan dengan kenderaan EEV termasuk keseluruhan hayat pusingan kenderaan berkenaan, komponen dan juga alat ganti.

"Setakat ini deraf NAP sudah di peringkat akhir di mana ia sudah diedarkan ke kementerian-kementerian untuk komen lanjut sebelum dibawa ke Kabinet.

"Kita berharap Kabinet akan meluluskan deraf berkenaan penghujung tahun ini," kata Mustapa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Automotif Kuala Lumpur Ke-4 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asian (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam dan Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.

Dalam pada itu Mustapa berkata, NAP tidak boleh diumumkan terburu-buru kerana ia adalah satu polisi yang penting dalam sektor automatif yang akan mencorakkan industri itu di negara ini selain ia merupakan segmen yang amat penting bagi Malaysia.

"Kita mempunyai lebih 500,000 pekerja dalam industri ini, kita ada pembuat kereta tempatan, kita ada pelabur tempatan dan luar negara, jadi apa sahaja yang kita lakukan (untuk NAP) kita perlu pastikan ia mempromosikan sektor industri itu di Malaysia.

"Fokus utama dalam NAP ialah meningkatkan nilai kompetitif sektor ini dan juga memfokuskan mengenai kenderaan cekap tenaga kerana kita percaya Malaysia mempunyai ekosistem untuk melaksanakannya, malah kita juga menerima sokongan untuk membolehkan negara bergerak ke arah itu," katanya.

Menurut Mustapa lagi, memang banyak isu yang mahu dimasukkan ke dalam NAP namun ia perlu dimuktamadkan Disember ini agar ia dapat diumumkan tahun hadapan.

Mengenai isu jangka hayat kenderaan, Mustapa menegaskan ia adalah satu isu yang rumit kerana melibatkan dua pihak iaitu pemain industri dan juga orang ramai terutama penduduk luar bandar.

Malah, kata beliau, penduduk luar bandar bakal menerima tamparan hebat jika dasar jangka hayat kenderaan itu dilaksanakan.

"Pihak industri mahukan polisi ini dilaksanakan kerana ia berkait rapat dengan pertumbuhan industri automatif namun di pihak yang lain terutama penduduk luar bandar akan merana jika ia dilaksanakan.

"Jadi kita akan mengimbangi isu ini termasuk akan meminta pihak berkuasa melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan kenderaan yang melebihi jangka hayat itu mampu dipandu di atas jalan raya.

"Apa pun, semua belum dimuktamadkan lagi dan saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai yang kita akan ambil kira pandangan mereka termasuk pendapat yang diutarakan penduduk luar bandar dalam memastikan perkara ini seimbang antara kedua-dua pihak," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved