Selasa, 12 November 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kempen 'kotor' mula cemari Pas

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

Abdul Hadi Awang berkata sesuatu kepada Mohamad Sabu selepas diumumkan sebagai Timbalan Presiden Pas pada pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Penggal 2011-2013 dengan undian tertinggi daripada perwakilan iaitu sebanyak 420 undi sempena majlis Muktamar Tahunan Pas Ke-57 di Markas Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar, Gombak pada Jun 2011.

''SEPANJANG 35 tahun saya berada dalam Pas iaitu sejak 1978, inilah kempen paling teruk pernah saya lihat.''

Itulah luahan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam wawancara dengan sebuah portal berita pro pembangkang berhubung corak kempen menjelang pemilihan parti itu 22 November ini.

Dalam wawancara itu, Mat Sabu menegaskan, pelbagai kempen dijalankan oleh ahli Pas termasuk dengan cara menyerang dan melabelkan pihak yang tidak dipersetujui oleh masing-masing dengan menjadikan Facebook, SMS dan blog sebagai medan utama.

''Untuk menjatuhkan seseorang pemimpin Pas, pelbagai label diberikan. Paling popular ialah Syiah dan yang kedua liberal,'' kata Mat Sabu.

Ketika Mat Sabu keluh kesah dengan apa yang beliau anggap perubahan minda ahli Pas terhadap muktamar dan kepimpinan parti, tersebar pula gambar wajah salah seorang calon Ketua Pemuda Pas digantikan dengan kepala anjing.

Gambar itu dipaparkan dalam laman Facebook 'Fikrah Islamiah Pilihan Kami'. Walaupun Pas pusat masih belum mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan biadab itu tetapi ia sebenarnya memberi isyarat kepada kepimpinan dan ahli Pas bahawa politik tetap politik.

Dalam politik, tidak ada musuh dan kawan yang kekal dan politik juga berkaitan dengan kedudukan dan kuasa.

Justeru tidak perlulah ada mana-mana pihak cuba menggambarkan seolah-olah Pas sempurna dalam semua perkara. Apa yang berlaku sudah membuktikan parti itu juga ada kelemahannya.

Sepatutnya, kelemahan ini dikaji dan diperbaiki dan bukannya mencari alasan untuk menuduh pihak lain sebagai dalang.

Tetapi inilah yang berlaku, apabila dalam kalangan penyokong Pas tegar, mereka tetap tidak mengakui hakikat ini, sebaliknya mereka menuding jari mengatakan ia adalah perbuatan penyokong-penyokong UMNO.

Adalah sesuatu yang melucukan apabila apa sahaja yang berlaku kepada Pas semuanya salah UMNO, seolah-olah UMNO mempunyai kehebatan luar biasa untuk mengkucar-kacirkan Pas.

Kalau UMNO ada kuasa begitu hebat sudah lama parti itu menjalinkan kerjasama dengan Pas demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam, tetapi keadaan itu tidak berlaku kerana 'kuasa penentang' dalam Pas lebih kuat daripada UMNO.

Begitu juga dalam soal pemilihan Pas kali ini, UMNO tidak mempunyai apa-apa kepentingan untuk menentukan siapakah yang akan menang, apatah lagi bagi mengetuai Dewan Pemuda Pas yang dianggap selama ini ibarat 'hidup segan mati tak mahu'.

Siapa sahaja yang hendak dipilih oleh ahli-ahli Pas itu hak mereka kerana yang menanggung kesan baik buruknya bukan UMNO tetapi Pas.

Lagi pula UMNO mempunyai isu politik lain yang lebih penting untuk diuruskan berbanding hendak mencampuri urusan pemilihan Pas.

Namun begitu sebagai orang Melayu dan umat Islam, sudah pastilah sedikit sebanyak kita mengambil berat terhadap apa yang akan berlaku kepada parti yang melaungkan perjuangan Islam tersebut.

Ini termasuklah hendak melihat Pas dipimpin oleh barisan kepimpinan yang meletakkan kepentingan Islam dan orang Melayu melebihi kepentingan politik.

Tetapi kalaulah ahli-ahli Pas merasakan bahawa pemimpin-pemimpin mereka hebat-hebat belaka, baguslah, namun janganlah pula apabila berlaku perbalahan dalam parti tersebut termasuklah dalam kalangan penyokong, UMNO pula mahu disalahkan.

Sepatutnya, mereka memahami dalam mana-mana juga organisasi politik, mereka tidak akan terlepas daripada kelompok yang taksub menyokong seseorang pemimpin atau golongan.

Begitulah juga Pas, sebagai sebuah parti politik, mereka juga akan dijangkiti virus yang sama. Kalau benarlah Pas sebuah organisasi politik yang berbeza dengan parti-parti lain, sudah pastilah tidak akan berlaku pertandingan bagi apa juga jawatan.

Sebaliknya, pengisian sesuatu jawatan itu akan dilakukan melalui konsep syura atau musyawarah tetapi ini tidak berlaku dalam Pas. Semua jawatan penting ditandingi.

Tidak apalah kerana itu menunjukkan dasar terbuka dan amalan demokrasi yang subur dalam parti tersebut, bagaimanapun apabila kehangatan kempen semakin dirasai janganlah pula secara tiba-tiba UMNO menjadi sasaran.

Sepatutnya, penyokong-penyokong Pas perlu berfikir kenapa keadaan itu berlaku. Jangan anggap semua ahli-ahli Pas baik- baik belaka dan ahli-ahli UMNO buruk-buruk belaka.

Belajarlah untuk munasabah. Sebab itulah Mat Sabu tidak menuding jari kepada sesiapa sebaliknya beliau terkejut dengan perubahan minda yang berlaku dalam kalangan ahli Pas.

Sikap seumpama inilah sepatutnya dicontohi oleh ahli dan penyokong Pas bukannya membuta tuli menuduh UMNO terlibat.

Berbeza ideologi politik dan berusaha meraih sokongan dalam sesuatu pemilihan adalah perkara biasa tetapi gunakanlah cara berhemah.

Sebab itulah atas apa alasan sekali pun, corak kempen yang menyerang peribadi tidak harus dibenarkan dalam mana-mana organisasi kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan tatasusila kemanusiaan tetapi juga dilarang oleh agama Islam.

Dan lebih buruk lagi apabila kita menuduh sebarangan mana-mana pihak terlibat sedangkan mereka tidak melakukan perbuatan itu, tidakkah ia menjuruskan kepada fitnah?

Justeru adalah lebih baik, jika penyokong-penyokong Pas berfikiran terbuka dalam soal ini, jangan melihat 'musuh politik yang nyata' sahaja, lihat juga 'musuh dalam selimut'.

Bagaimana kalau pemilihan Pas ini cuba dijadikan'senjata' untuk terus memecahkan belah perpaduan umat Islam melibatkan ahli-ahli UMNO dan Pas?

Bagaimana pula jika perbuatan provokasi itu sengaja dilakukan supaya ahli-ahli Pas terus membenci UMNO dan sekali gus memungkinkan ada pihak lain 'meraih keuntungan'?

Berikutan itu tidak perlulah penyokong-penyokong Pas terus melibatkan UMNO dalam kehangatan kempen pemilihan parti itu.

Anggaplah ini adalah lumrah dalam sesuatu pemilihan. Perwakilan yang akan membuat keputusan pada 22 November ini sudah tentu bijak menilai siapa yang akan mereka 'tabalkan' menduduki sesuatu jawatan.

Buatlah apa pun propaganda, serangan atau tohmahan kepada calon-calon yang bertanding ia tidak akan menjejaskan keputusan perwakilan.

Tetapi janganlah mengaitkan pihak di luar Pas, khususnya UMNO. Ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan menampakkan bagaimana politik kebencian terhadap UMNO terlalu menebal.

Penulis yakin pemimpin-pemimpin kanan Pas termasuklah Mat Sabu memahami situasi ini dan tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah mengaitkan UMNO.

Dalam apa pun keadaan, orang Melayu dan umat Islam tetap mahu melihat Pas dibarisi oleh satu barisan kepimpinan yang mampu membela kepentingan mereka dan bukannya kelompok pemimpin yang bersedia bertolak ansur demi mencari kuasa politik bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Oleh itu, hentilah politik tidak matang dengan mengaitkan UMNO cuba mengadu- domba ahli-ahli Pas dalam pemilihan parti itu kali ini.

UMNO tiada kaitan dan tidak akan cuba dikaitkan kerana siapa juga yang dipilih oleh ahli-ahli Pas, kelompok itu tetap saudara sesama Islam biar pun berbeza ideologi politik.

Dan seburuk-buruk UMNO, parti itu tidak akan bersedia menggambarkan wajah seseorang dengan binatang kerana itulah seburuk-buruknya akhlak, tetapi tidak mustahil ia boleh dilakukan oleh penyokong Pas yang taksub. Benarkah? fikirlah sendiri!

Cerita sensasi integriti dimusykili

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh Raflly Nann
PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan1Malaysia.

HAKIKAT bahawa masyarakat kita mudah percaya kepada berita sensasi malah bergiat secara aktif untuk menyebarkan berita yang entah dari mana puncanya membuatkan kita semakin gusar dan runsing.

Betapa perilaku yang semakin menjadi budaya ini mencerminkan kepincangan keupayaan masyarakat kita untuk menjustifikasikan maklumat dan mencari kesahihan maklumat yang di terima.

Merujuk kepada kolum bisik-bisik Awang Selamat, Ahad 3 November 2013 atas tajuk "Apa Sudah Jadi" membuatkan saya terpanggil untuk membawa isu ini lebih jauh dimana pencarian punca mengapa ia menjadi berleluasa tanpa kekangan kerana ia menggugat institusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sangat besar tanggungjawabnya untuk mengurus tadbir pilihan raya di negara ini.

Malah isu yang dibangkitkan juga mencemar serta menjatuhkan integriti SPR yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak boleh membiarkanya berlarutan kerana ia menggugat status demokrasi negara ini di mata dunia.

Semenjak 57 tahun merdeka dan melalui 13 pilihan raya, ini bukan kali pertama isu pengundi hantu di jadikan senjata untuk melahirkan kecurigaan dan ketidakpercayaan kepada sistem pilihan raya negara ini. Malah isu ini juga dimainkan di dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, baru-baru ini.

Memang tidak dinafikan bunga yang harum itu ada juga durinya. Institusi mana tidak ada kelemahan? Tetapi janganlah kita membawa kaedah yang tidak boleh dijustifikasikan oleh akal yang waras.

Isu 40,000 pengundi Bangladesh yang dibawa masuk sebagai pengundi hantu di dalam Pilihan Raya ke-13 yang lalu adalah sangat menghairankan lagi pelik kerana ia seperti tiada penghujungnya walaupun di fahamkan bahawa SPR telah membuat dua laporan polis berkaitan perkara yang sama.

Cerita-cerita lain yang tidak boleh dijustifikasikan juga di sebar luas seperti 4 kotak undi yang di seludup masuk ke dalam pusat pengiraan undi semasa pusat pengiraan "Black Out" malah cerita kotak undi jatuh dari helikopter juga wujud. Jika ia benar berlaku di manakah saksinya yang melihat segala kejadian tersebut untuk tampil kehadapan?

Ironinya adalah difahamkan pihak yang membangkitkan isu ini tidak pula memasukkannya ke dalam petisyen pilihan raya semasa bantahan keputusan pilihan raya dibuat. NGO dan badan-badan yang menjuarai isu ini juga tidak lagi kedengaran nada dan irama mereka setelah pilihan raya selesai.

Persoalan yang timbul ialah sama ada isu ini benar-benar berlaku di mana satu siasatan perlu di jalankan atau dijadikan strategi atau alat pilihan raya untuk meraih undi.

Dari sumber yang boleh dipercayai isu ini sentiasa dibangkitkan oleh masyarakat luar negara betapa integriti pilihan raya negara ini dipersoalkan. Perwakilan luar tanpa gagal mengajukan soalan kepada perwakilan kita tentang kesahihan perkara ini malah Christiane Amanpour tidak melepaskan peluang mengajukan soalan sama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam temubualnya baru-baru ini di CNN.

Satu titik noktah perlu dicari dan penyelesaian segera perlu dibuat ke atas isu yang menjadi duri dalam daging ini. Banyak pihak telah menangguk di air keruh dan akibat dari itu jelas telah mengugat integriti SPR malah menganggu-gugat perpaduan negara yang kita cintai ini.

Tindakan segera perlu diambil untuk mempercepatkan proses siasatan keatas laporan yang telah di buat dan sistem keadilan perlu dilihat menyelesaikan isu ini.

Yang paling utama masyarakat ramai perlu menukar budaya yang terlalu cepat memanjangkan maklumat sensasi kepada rakan taulan sama ada melalui Twitter, Facebook, Whatsapp dan SMS supaya berhenti sejenak untuk mencari kesahihan maklumat dan menjustifikasikan tindakan kita supaya jangan ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved