Selasa, 12 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tiga pemaju kena kompaun

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan Notis Pemberhentian Kerja serta merta kepada tiga pemaju projek perumahan yang menjalankan kerja-kerja tanah di Kemensah, Hulu Klang, dekat sini.

Pengarah Jabatan Perancang Korporat MPAJ, Rosliza Mohd. berkata, notis tersebut dikeluarkan selepas mendapati pihak pemaju gagal mengawal hakisan kelodak dan gagal memastikan sistem kawalan hakisan kelodak berfungsi sepenuhnya.

"Ketiga-ketiga pemaju terlibat juga telah diberikan Notis Arahan Tindakan agar sistem kawalan hakisan kelodak dan lumpur berfungsi dengan baik selain dikenakan kompaun atas kesalahan yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebimbangan penduduk Taman Kemensah yang disiarkan Utusan Malaysia pada 6 November lalu berhubung kejadian banjir lumpur di taman itu disebabkan kerja-kerja tanah oleh pemaju terlibat.

Penduduk mendakwa kegagalan pihak pemaju mematuhi syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan menyebabkan mereka berisiko diancam banjir lumpur kali kedua.

Mengenai ketiadaan zon penampan di kawasan itu seperti yang didakwa penduduk, Rosliza menjelaskan, berdasarkan siasatan MPAJ jarak antara tapak projek dengan rumah penduduk adalah mematuhi garis panduan pembangunan.

"Ini adalah kerana jarak antara tembok maccarferi projek dengan dinding rumah terdekat menepati keperluan minimum jarak sepuluh meter," katanya.

Tambahnya, pihak pemaju juga telah selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang yang dipenuhi lumpur di kawasan Taman Tropika Kemensah manakala kerja-kerja pembersihan di Jalan L7 masih dalam tindakan pemaju.

Laporan 9,000 pili bomba rosak tidak benar

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang menyatakan bahawa kira-kira 9,000 daripada 17,000 pili bomba di ibu kota mengalami kerosakan.

Sebaliknya beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat jumlah pili bomba yang mengalami kerosakan cuma 253 unit sahaja dan bukannya seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Malah beliau berkata, pihak kementerian turut mempertikaikan persatuan yang memberi maklumat tentang kerosakan pili bomba berkenaan memandangkan persatuan itu tidak diiktiraf oleh pihak jabatan bomba walaupun telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Apa yang telah dilaporkan oleh akhbar ini tidak betul. Berdasarkan laporan akhbar tersebut setengah daripada jumlah keseluruhan pili bomba di Kuala Lumpur tidak berfungsi.

"Sebenarnya saya amat kesal dengan laporan yang telah dibuat ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Rahman juga mempersoalkan tindakan persatuan terbabit apabila mereka dikatakan cuba membuka pili bomba secara tidak sah.

Dalam perkembangan sama Abdul Rahman berkata, secara keseluruhan jumlah pili bomba di seluruh negara lebih 300,000 unit.

"Untuk makluman kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan akan dilakukan oleh jabatan bomba manakala tekanan air adalah di bawah tanggungjawab syarikat pembekal air seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas)," ujarnya.

Abdul Rahman ketika menyentuh isu sama turut meminta golongan masyarakat bersama-sama menjaga pili bomba supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Pihak bomba tidak mampu memantau pili-pili bomba ini, Oleh itu adalah diharapkan masyarakat juga dapat sama-sama membantu kita memastikan pili-pili bomba ini tidak rosak," ujarnya.

Menyentuh mengenai Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) beliau berkata, jawatankuasa itu akan berperanan sebagai wakil penduduk yang sekali gus diyakini mampu merapatkan hubungan antara penduduk bandar dengan pihak kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pasar Raja Bot ditutup sehari sebulan

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz (tiga dari kanan) dan Mohd. Zain Hassan (dua dari kanan) melihat tikus yang terperangkap dalam perangkap yang dipasang oleh DBKL di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pasar Raja Bot akan ditutup sekurang-kurangnya sehari setiap bulan bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembersihan secara berkala dilaksanakan di situ demi memastikan kebersihan premis itu terjamin.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, penutupan pasar tersebut akan dibuat pada hari Selasa pertengahan bulan dan kerja-kerja tersebut perlu dijalankan secara berterusan untuk memastikan pengunjung berasa lebih selesa.

"Ia merupakan usul daripada Kementerian Wilayah Persekutuan yang meminta semua premis di ibu kota sama ada di dalam bangunan, pasar dan pusat penjaja dibersihkan supaya Kuala Lumpur bersedia menerima tetamu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Pasar Raja Bot yang dibina pada 1955 ini amat kotor dan uzur serta menjadi tempat pembiakan tikus. Hari ini kami memfokuskan pembersihan sistem perparitan dan tempat pengumpulan sampah. Selain itu lantai dan jalan yang berlubang disimen dan diturap semula," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena penutupan dan operasi pembersihan pasar itu, yang turut dikenali Pasar Chow Kit.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan, Presiden Peniaga dan Penjaja Bumiputra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Rosli Sulaiman, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Hayati Abdullah dan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Rolan Abd. Rahman.

"Selain itu, peniaga diminta membersihkan unit masing-masing kerana agak sukar bagi petugas Alam Flora untuk membersihkannya disebabkan masalah halangan struktur. Pasar ini juga sedang dibangunkan semula dalam jangka masa tiga tahun yang melibatkan 1,139 penjaja," katanya lagi.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan DBKL menutup sementara operasi pasar itu berkuat kuasa selepas Deepavali lalu kerana dikatakan menjadi tempat pembiakan tikus.

Mhd. Amin Nordin berkata, pihaknya mendapati Pasar Raja Bot, Pasar Pudu dan Pasar Keramat adalah antara pasar yang terkotor di ibu kota selain peniaga juga didapati tidak mematuhi peraturan kerana membuang sampah di luar tong sampah.

"Selepas ini DBKL akan menempatkan anggota penguat kuasa di pasar bagi memantau perkara tersebut dan mengenakan kompaun kepada peniaga terbabit. Jika didapati (mereka membuang sampah) menggunakan lori, maka lori itu akan disita," jelasnya.

Katanya, disiplin dan kerjasama daripada peniaga dan penjaja amat diperlukan bagi menjaga kebersihan Pasar Raja Bot secara berterusan khususnya untuk menghapuskan habitat tikus di situ.

"Kami telah meletakkan racun tikus dan esok kita akan memungut tikus-tikus itu. Kami juga menggunakan kaedah penangkapan tikus menggunakan sangkar. Selain itu, kami turut menerima laporan yang Pasar Pudu dan Pasar Bukit Maluri juga menjadi tempat pembiakan tikus," ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 4,226 ekor tikus ditangkap sejak Mac hingga Mei tahun ini di Pasar Raja Bot.

Dalam perkembangan lain, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk menjalankan operasi pembersihan di Pasar Pudu dan Pasar Keramat selepas membersihkan Pasar Raja Bot dalam masa terdekat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved