Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kecewa barang niaga 'lesap'

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

Koay Ping (kiri) bersama penjaja lain mengadakan demonstrasi aman membantah tindakan Bahagian Perlesenan MPPP yang merampas barang jualan mereka tanpa alasan munasabah di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 10 Nov. - Hasrat Koay Ping, 40, memulakan hidup baharu dengan berniaga secara kecil-kecilan sejak tiga bulan lalu musnah apabila barang niaga miliknya 'dirampas' Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Kejadian berlaku pada 8 September lalu ketika dia tiada di tapak niaga yang terletak di Lorong Ipoh, Jelutong di sini.

Ketika itu, kesemua barangan tersebut dijaga oleh pekerjanya.

Menurutnya, sebaik kembali ke situ, dia terkejut apabila diberitahu pekerjanya yang barangannya telah diambil kakitangan Bahagian Pelesenan MPPP tanpa sebarang notis atau surat amaran.

"Apa yang menghairankan tindakan tersebut dilakukan oleh Bahagian Pelesenan MPPP, bukannya Bahagian Penguatkuasaan.

"Kejadian ini amat mengecewakan kerana ternyata berlaku salah guna kuasa dan saya mahu MPPP memberi penjelasan dan bertanggungjawab terhadap perkara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Koay Ping menambah, empat hari kemudian dia ke pejabat Bahagian Penguat Kuasaan MPPP namun terkejut apabila dimaklumkan barangan miliknya tiada di situ.

Dia juga mendakwa, kakitangan MPPP di bahagian berkenaan memaklumkan tindakan tersebut berkemungkinan dibuat berikutan Koay Ping dikategorikan sebagai warga asing sekali gus tidak layak berniaga di situ.

Dia kemudiannya membuat laporan polis bagi mendapatkan semula barangannya dan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 apabila barang niaga miliknya berupa barangan kulit dan am 'hilang'.

Koay Ping juga menulis surat pada 26 September lalu kepada Pengarah Pelesenan MPPP bagi mendapatkan penjelasan tetapi sehingga kini masih belum ada maklum balas.

Sehubungan itu, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap MPPP jika isu tersebut gagal diselesaikan.

Seorang lagi penjaja, Ho Boon Huat, 62, turut mengalami nasib sama seperti Koay Ping.

Boon Huat mendakwa Bahagian Pelesenan MPPP 'merampas' barang niaganya pada 26 Oktober lalu atas alasan sama iaitu dia merupakan warga asing dari China.

Katanya, sejak kebelakangan ini, kira-kira 10 peniaga lain di situ turut menerima nasib sama seperti mereka yang mana barangan 'dirampas' oleh Bahagian Pelesenan MPPP tanpa alasan munasabah.

"Saya berniaga di sini sejak lima tahun lalu dan kini saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain untuk sara hidup," ujarnya.

Sementara itu, difahamkan, Bahagian Pelesenan MPPP akan mengadakan sidang akhbar esok bagi memberi penjelasan berhubung tindakan tersebut.

UiTM Perak Tapah beroperasi Jun 2014

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

PARIT 10 Nov. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Kampus Tapah yang bakal siap pada Januari tahun depan dan beroperasi sepenuhnya pada Jun berikutnya akan membuka pendaftaran mahasiswa baru mencecah 5,500 orang.

Rektor UiTM Perak, Prof. Ir. Dr. Zainab Mohamed berkata, kampus berkenaan akan difokuskan kepada pembangunan tiga fakulti melibatkan Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Perakaunan.

"Dua fakulti akan dikekalkan di UiTM Perak di Seri Iskandar iaitu Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Jumlah pengambilan pelajar bagi kedua-dua fakulti ini akan ditingkatkan sehingga memenuhi kapasiti kampus sebanyak 12,000 orang.

"Keputusan ini adalah hasil penjajaran semula UiTM yang mahu mencapai sasaran pengambilan pelajar mencecah 200,000 sebelum ditingkatkan kepada 250,000 orang menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Kali Ke-79 di UiTM Perak di Seri Iskandar, dekat sini hari ini.

Majlis istiadat konvokesyen tersebut dirasmikan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid.

Seramai 2,352 graduan berjaya dianugerahkan diploma dan ijazah sarjana muda pada sesi konvokesyen dua hari itu bermula hari ini.

Dalam pada itu, Zainab berkata, penjajaran semula yang dilakukan oleh UiTM bertujuan menjadikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut lebih fokus selain dapat memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada termasuk dari segi kewangan.

Beliau berkata, langkah tersebut secara tidak langsung membolehkan UiTM menekankan aspek berkaitan nilai tambah antaranya dari segi pengiktirafan profesional termasuk dari luar negara.

"Di kampus Tapah, kita sebenarnya mempunyai tanah seluas 1,100 ekar. Jadi, kita akan membangunkannya secara berperingkat-peringkat bermula dengan penawaran kursus seperti diploma sains dan pradiploma sains," katanya.

YBU henti permohonan pinjaman secara online

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

SUNGAI SIPUT 10 Nov. - Yayasan Bina Upaya (YBU) Perak menghentikan permohonan bantuan pinjaman makro kredit yang dibuat secara dalam talian sejak dua bulan lalu setelah mengesan ada pemohon memberikan maklumat peribadi yang tidak benar.

Ketua Eksekutif YBU, Datuk Ismail Sofian menegaskan, pihaknya berjaya mengesan beberapa kes sedemikian yang bertujuan untuk memudahkan pinjaman mereka diluluskan.

"Penipuan maklumat mudah dilakukan menerusi permohonan secara online kerana pemohon cuma perlu mengisi borang yang disediakan di dalam sistem dan kemudiannya dihantar tanpa perlu pengesahan daripada pihak berkenaan.

"Memang kita berjaya mengesan beberapa kes maklumat peribadi yang disertakan oleh pemohon tidak benar," katanya selepas program Khidmat Turun Padang Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di Dewan Terbuka FELDA Lasah, dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun.

Ismail menjelaskan, skim pinjaman makro kredit YBU menyediakan pinjaman antara RM20,000 hingga RM60,000 untuk membantu pengusaha atau peniaga kecil meningkatkan perniagaan mereka.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima permohonan pegawai YBU akan membuat menemui pemohon untuk membuat penilaian lanjut.

"Namun, maklumat yang diberikan pemohon menerusi online tidak sama dengan apa yang kita lihat dan ini mengelirukan, jadi YBU membuat keputusan menghentikan permohonan seumpama itu.

"Jika permohonan dibuat menerusi ketua kampung atau wakil rakyat, mereka boleh membuat tapisan dan mengesahkan seseorang pemohon itu layak atau tidak untuk mendapat pinjaman," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, YBU sedang dalam usaha menarik pihak swasta memberikan sumbangan bagi meneruskan program membantu rakyat.

"Buat masa ini YBU bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri dan memerlukan sumber kewangan tambahan untuk memberikan khidmat lebih menyeluruh," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved