Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Saya sedia jumpa FAM'

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) diberi penerangan oleh Tunku Imran Tuanku Ja'afar (kiri) tentang gambar-gambar legenda sukan Malaysia dalam dewan kemasyhuran semasa melawat ke Majlis Olimpik Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD AZIM ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR - ''Saya tidak ada masalah untuk jumpa sesiapa, seelok-eloknya daripada pengurusan tertinggi iaitu pembuat keputusan.''

Itulah penjelasan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selepas menyatakan persetujuan untuk bersemuka dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membincangkan isu pembangunan bola sepak negara.

Menurut Khairy, beliau juga tidak meletakkan sebarang syarat untuk berjumpa dengan wakil FAM dan dalam masa yang sama sebarang polemik boleh diketepikan buat sementara waktu kerana beliau harus menumpukan kepada pembentangan pelan pembangunan bola sepak negara yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Januari depan.

"Sebelum memuktamadkan pelan tersebut saya perlu bentang kepada FAM terlebih dahulu tetapi ia tidak melibatkan skuad senior kebangsaan dan Liga Malaysia tetapi tertumpu kepada pembangunan peringkat umur, jadi saya minta akan minta tarikh kepada FAM, mengenai wakil pula terpulang kepada Presiden, Sultan Ahmad Shah," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan yang meminta Khairy berhenti mengkritik FAM secara terbuka, sebaliknya mengatur satu mesyuarat atau pertemuan dengan barisan Exco badan tersebut bagi membincangkan masalah yang timbul.

Kata Khairy, ketika membentang pelan pembangunan bola sepak negara, beliau mungkin akan membincangkan tentang beberapa cadangan untuk menambah baik perjalanan pengurusan FAM.

"Ia sama seperti hari ini (semalam) di mana saya menghubungi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan kami membincangkan pelbagai perkara dan langkah yang perlu dilakukan untuk penambahbaikan," jelasnya.

Ditanya mengenai kenyataan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang tersinggung dengan kritikannya terhadap FAM, Khairy berkata, perkara tersebut biarlah antara FAM dan dirinya sendiri sebagai menteri dan pada masa yang sama beliau meminta agar Jamal Nasir tidak mencampuri urusan tersebut.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan sebelum itu, Jamal Nasir melahirkan rasa tersinggung apabila ada pihak, apa lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan negara, mengkritik secara melulu seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam badan induk bola sepak itu.

Khairy juga mengakui bahawa sistem tempat duduk bernombor terutama dalam perlawanan penting seperti saingan akhir Piala FA dan Piala Malaysia adalah sesuatu yang bukan mustahil untuk dijalankan di Malaysia seperti mana yang berlaku di England.

"Ia adalah cadangan yang perlu dipertimbangkan oleh FAM kerana sistem yang ada sekarang tidak cukup baik, ia juga diakui sendiri oleh FAM sendiri, kita mahu mencari sistem yang baik bukan mengkritik sebarangan.

"Kita mahu sistem yang baik dari segi penjualan tiket dan tempat duduk. Itulah yang kita mahu dari FAM," ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy turut yakin bahawa skuad bola sepak bawah 23 tahun negara mampu untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar bulan depan.

Malaysia sasar 40 emas

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin (kanan) bersalam dengan pengurus-pengurus pasukan ke Sukan SEA Myanmar 2013 semasa mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Olimpik Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sasaran sebanyak 40 pingat emas pada Sukan SEA 2017 Myanmar yang akan membuka tirai 11-12 Disember ini.

Menurut Khairy, berdasarkan penilaian Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta persatuan sukan, sasaran tersebut adalah paling realistik untuk kontinjen negara.

Mengikut pecahan secara spesifik, tiga daripada acara renang, lapan terjun, satu basikal lebuh raya, satu bola sepak, dua hoki, enam karate, satu menembak, satu muaythai, lima olahraga, dua pelayaran, masing-masing tiga pencak silat dan wushu.

Beliau menegaskan, pada masa yang sama Malaysia juga kehilangan sebanyak 28 pingat emas dalam acara akuatik, tujuh basikal trek, dua lawan pedang, dua menembak, lima boling dan empat ski air berikutan beberapa disiplin dan acara tidak dipertandingkan di Myanmar.

"Saya telah memberi kata-kata semangat kepada semua pengurus sukan yang akan ke sana, cuma mereka minta beberapa perkara dapat dipertimbangkan termasuk dari segi pengangkutan dan saya harap dapat penajaan daripada syarikat penerbangan di Malaysia untuk memudahkan laluan atlet kita ke Myanmar," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Olimpik Malaysia di sini, semalam.

Jelasnya, kemudahan pengangkutan tersebut membolehkan atlet negara terus ke Nay Pyi Taw tanpa perlu menggunakan pengangkutan darat selepas tiba di Yangon.

Namun, jelasnya, semuanya tertakluk kepada perbincangan dengan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

"Setakat ini juga kita tidak bercadang untuk kurangkan jumlah atlet dan pegawai ke Myanmar, dalam masa yang sama kita juga sentiasa pantau keadaan keselamatan di sana selepas menerima laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pihak berkuasa Myanmar

"Kita juga mempunyai sumber lain untuk pantau membuat kajian risiko terhadap kontinjen kita yang akan ke sana, segala persiapan berjalan seperti biasa tanpa ada sebarang perubahan," katanya yang telah mengadakan beberapa perbincangan dengan MOM termasuk isu pembangunan sukan dan persiapan atlet negara ke temasya besar tahun depan.

Khairy juga mengucapkan tahniah kepada MOM kerana sentiasa memberi sokongan padu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk tindakan untuk membangunkan sukan di negara ini.

"Sempena lawatan saya ke MOM ini, kita telah banyak bincangkan isu pembangunan sukan terutama dari segi persiapan untuk ke temasya antarabangsa bermula Sukan SEA di Myanmar bulan depan, Sukan Asia 2014 Incheon, Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Sukan SEA 2015 Singapura, Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan SEA 2017 yang akan dianjurkan oleh negara kita.

"Saya juga turut berbincang dengan MOM tentang kerjasama untuk melihat sukan teras dapat membangun dengan lebih rancak lagi dan memastikan bahawa penganjuran Sukan SEA 2017 akan diadakan dengan cemerlang dan kita telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama antara KBS dan MOM," ujarnya.

Jawatankuasa tersebut akan membincangkan dan memuktamadkan cadangan kepada Persekutuan Sukan SEA tentang acara yang akan dipertandingkan di Sukan SEA Malaysia 2017.

Ia akan dipandu oleh Jawatankuasa Induk yang akan dipengerusikan sendiri Khairy bagi menjalankan persiapan awal merangkumi penganjuran, logistik, gelanggang, persiapan atlet Sukan SEA dan Para ASEAN serta segala perkhidmatan sokongan.

"Kita juga telah membincangkan sedikit sebanyak tentang penganjuran Sesi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kali Ke-127 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 2015, mungkin kerajaan juga dapat membantu MOM untuk penganjuran sesi tersebut kerana ia adalah tumpuan masyarakat antarabangsa," katanya.

Tambah beliau, perbincangan semalam juga menyentuh tentang Akta Pembangunan Sukan yang dicadangkan supaya diadakan pindaan dan perkara itu akan di bawa ke parlimen tahun depan.

Sementara itu, ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Myanmar, Datuk Wira Amiruddin Embi tidak menolak kemungkinan bahawa Malaysia mampu meraih lebih daripada sasaran yang diletakkan di antara 50 hingga 51 pingat emas kerana beliau yakin dalam mana-mana temasya akan terdapat faktor kejutan ditambah dengan semangat serta motivasi tinggi atlet negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved