Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Pulihara khazanah ubatan dari rimba

Posted: 10 Nov 2013 09:55 PM PST

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Taman Rimba Herba Perlis menempatkan tumbuhan herba tempatan yang mempunyai nilai perubatan kepada masyarakat.

MASYARAKAT negara ini telah lama menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai penyembuh penyakit.

Sebutkan apa jua kaum, terutama komuniti Orang Asli pastinya memiliki kaedah tersendiri dalam penggunaan tumbuhan dalam proses merawat penyakit.

Tumbuhan herba yang terdapat di dalam hutan sebenarnya memiliki nilai yang tidak terhitung. Sehingga kini hanya sebahagian sahaja yang berjaya dikenal pasti identiti serta penggunaannya.

Selebihnya, rahsia tumbuhan herba tersebut masih belum dikenal pasti tersimpan kukuh jauh di tengah belantara.

Bagaimanapun, kajian demi kajian giat dijalankan pihak-pihak tertentu sama ada di pihak kerajaan, badan bukan kerajaan juga institusi-institusi penyelidikan bagi mengenal pasti tumbuhan yang berpotensi untuk kegunaan manusia.

Pihak Jabatan Hutan Negeri Perlis (JPNPs) merupakan antara pihak yang amat sedar akan potensi tumbuh-tumbuhan itu dan keperluan untuk mengembangkannya.

Bagi Penolong Pengarah, Eko-Pelancongan JPNPs, Che Aziz Ali, hutan bukan setakat membekalkan balak semata-mata.

Jelasnya, pelbagai tumbuhan di dalamnya mampu membekalkan pelbagai kegunaan dan memiliki nilai ubat-ubatan dan nilai komersial yang lain.

"Kami amat menyedari hal ini dan berusaha menyampaikan maklumat berkenaan tumbuhan herba kepada orang ramai.

"Antara usaha jabatan adalah dengan menubuhkan sebuah muzium etnobotani dan bank genetik bangi kebanyakan sumber tumbuhan herba yang boleh di temui seluruh negara di sini," katanya ketika ditemui di Taman Rimba Herba Perlis dalam program Kembara Bersama Media Kementerian Sumber Asli (NRE) baru-baru ini.

Tambah Che Aziz, taman Rimba Herba tersebut ditubuhkan oleh JPNPs pada 1998 dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 1999.

"Antara lain tujuan penubuhan taman itu adalah untuk memperkenalkan tumbuhan herba tempatan yang mempunyai nilai perubatan kepada masyarakat setempat.

"Koleksi tumbuhan herba yang terdapat di taman Rimba Herba terdiri daripada tumbuhan liar sedia ada di dalam taman, tumbuh-tumbuhan yang didatangkan dari tempat lain dan tumbuh-tumbuhan ubatan yang berasal dari negara lain yang telah lama diperkenalkan di negeri ini," katanya.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 80 peratus penduduk dunia masih menggunakan tumbuhan herba sebagai ubatan tradisional.

China dan India umpamanya adalah antara negara yang tertua mengamalkan perubatan tradisional berasaskan tumbuhan dan di seluruh dunia hampir 422,000 tumbuhan berbunga dan 50,000 daripadanya digunakan untuk tujuan perubatan.

Di negara ini, bilangan tumbuhan vascular yang wujud dianggarkan sebanyak 12,500 spesies atau 40 peratus di seluruh negara dan lima peratus daripada jumlah di dunia. Daripada keseluruhan jumlah tersebut, hampir 2,830 adalah spesies berpokok.

Sehingga kini koleksi di taman tersebut telah mencecah 1,000 spesies, antaranya tongkat ali, kacip fatimah, cekur, mengkudu, dan pelbagai lagi.

Sesetengah tumbuhan herba yang terdapat di situ merupakan tanaman yang biasa ditemui di sekeliling rumah tetapi memiliki nilai perubatan seperti bunga raya, bunga tahi ayam, senduduk, pokok kapal terbang, sirih, daun kesom, pinang dan sebagainya.

Dikenali sebagai muzium hidup, taman Rimba Herba amat sesuai dijadikan destinasi kunjungan utama bagi mereka yang berminat untuk mengenali dan mengetahui jenis serta kegunaan tumbuh-tumbuhan tempatan yang memiliki nilai perubatan.

Ujar Che Aziz, melalui pengalaman melihat, menyentuh dan menikmati hasil produk tumbuhan herba, secara tidak langsung pelawat akan mendapat pengetahuan dan kesedaran tentang kelebihan tumbuhan herba.

"Di taman ini kami turut menyediakan laluan interpretasi, tandas, wakaf, bangku rehat dan meja, ruang taklimat, pusat informasi, kiosk cenderahati serta pusat jualan tumbuhan dan produk herba," katanya.

Antara aktiviti menarik yang boleh dijalankan di taman tersebut adalah lawatan berpandu dan lawatan pandu sendiri ke denai alam, rendaman kaki dalam minyak herba, lawatan ke laman orkid dan jualan pokok terutamanya produk herba.

Selain daripada itu, pengunjung juga boleh menikmati urutan minyak herba dan mencuba minuman herba yang ditawarkan di sana.

Taman Rimba Herba Perlis dibuka pada setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang dan anda boleh menghubungi kakitangan jabatan di talian 04-9765966 untuk sebarang maklumat tambahan atau datang terus ke taman tersebut di Rimba Herba, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Paya bakau sebagai sumber perubatan

Posted: 10 Nov 2013 09:55 PM PST

DI Malaysia , terdapat banyak hutan paya bakau yang berguna dalam bidang perubatan. Negeri Sabah mempunyai kawasan hutan paya bakau paling banyak di Malaysia yang boleh dikomersialkan dalam pembuatan ubat-ubatan dari tumbuhan alam.

Pokok paya bakau mempunyai tiga spesies yang popular di dunia.

Satu daripada spesies yang diberi tumpuan ialah languncularia racemosa iaitu pokok bakau putih kerana kandungan biologi yang boleh dikomersial dalam bidang farmasi.

Laguncularia racemosa atau lebih dikenali sebagai white mangrove mempunyai taburan sepanjang pantai banyak dari kawasan tropika benua Amerika termasuk Caribbean dan pantai Pasifik.

Laguncularia racemosa mengandungi banyak kandungan biologi seperti flavonoid, alkaloid, terpenoid, yang telah dijadikan sebagai kandungan dalam ubat antikeradangan dan dalam terapi perubatan yang lain.

Spesies tumbuhan bakau menunjukkan komposisi kimia yang berbeza dalam metabolit tertentu seperti polifenol, terpenoid, polisakarida dan kandungan lain pada kepekatan yang lebih rendah.

Ini telah menunjukkan beberapa tindak balas penting farmakologi seperti aktiviti antikeradangan, antioksidan, antitumor, antikulat dan antibakteria.

Spesies ini lebih cenderung dalam pembuatan ubat yang boleh digunakan untuk masalah kulit.

Ini kerana, tumbuhan bakau mengandungi bahan yang beracun tetapi berguna untuk manusia kerana komponen tersebut boleh digunakan sebagai antifungal dan antibakteria serta sebagai pepticidal.

Tambahan pula, Laguncularia racemosa mengandungi aqueous dan ekstrak etanol daripada batang pokok yang boleh dijadikan ubat kerana kandungan kimia tersebut boleh digunakan sebagai antimikrob.

Ini dapat dibuktikan dengan hasil kajian dari Federal University of Pernambuco dari Brazil.

Dalam kajiaan tersebut, endophytic fungi (sejenis kulat) yang diasingkan dari daun Laguncularia racemosa menghasilkan metabolit sekunder yang boleh dijadikan sebagai antimikrob.

Proses pengasingan dari tumbuhan bakau itu menunjukkan penemuan baru dalam bidang farmasi dan perubatan.

Ini menyediakan sumber baharu dalam pembuatan ubat untuk antimikrob atau penghasilan ubat-ubatan yang mampu membunuh bakteria dan patogen yang lebih mesra alam kerana dihasilkan dari tumbuhan dan tidak mengandungi kimia yang berbahaya kepada manusia.

Selain itu, kajian yang dijalankan oleh University of Port Harcourt, Nigeria mendapati daun Langucularia racemosa mampu menaikkan berat badan dan sebagai makanan tambahan atau makanan kesihatan untuk haiwan ternakan seperti arnab, kuda dan lain-lain.

Kajian telah dilakukan menggunakan arnab dewasa dan berat badan haiwan tersebut bertambah setelah diberikan dari pokok bakau putih.

Apabila arnab dewasa diberikan daun pokok bakau terbabit, berat badan setiap arnab menaik dengan kadar sihat.

Ini juga dapat mengurangkan kos makanan kerana arnab tersebut hanya makan dalam kuantiti yang sedikit dengan bantuan daun dari pokok bakau putih.

Selain menaikan berat, senyawa antibakteria dalam daun tersebut menjadikan arnab tersebut sihat kerana selain menambahkan berat badan, kandungan ion antibakteria dalam daun tersebut memastikan kesihatan usus dan perut haiwan tersebut.

Kesimpulannya, Langucularia racemosa mengandungi kandungan kimia sebagai antibakteria, antifungal dan antimikrob yang boleh digunakan sebagai alternatif dalam penghasilan ubat-ubatan yang berasal dari alam dan tidak memberikan kesan negatif kepada penggunanya.

Hakikatnya, pokok paya bakau boleh dikomersialkan dalam bidang perubatan dan pada masa sama memberikan kesan yang positif dan baik kepada masyarakat.

Dalam zaman serba moden ini, kita seharusnya kembali ke alam untuk menghasilkan ubat dari tumbuh-tumbuhan yang sememang memberikan kesan yang lebih baik dan bebas bahan kimia berbahaya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved