Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


15 rumah dilanda banjir kilat

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 11 Nov. - Sebanyak 15 buah rumah di Padang Tengku di sini dilanda banjir setelah hujan lebat selama dua hari bermula semalam.

Penduduk yang terlibat adalah di Kampung Kechau Tui, Felda Kechau Satu, Kampung Melaka, Kampung Darling dan Kampung Berahmah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada saluran air tersumbat di kawasan berdekatan.

"Apabila hujan lebat, sampah sarap dan bahan buangan tersekat di saluran berkenaan menyebabkan air melimpah ke kawasan kampung," katanya kepada pemberita selepas melawat kejadian itu di Kampung Kechau Tui.

Yang turut hadir Pemangku Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaluddin dan Ketua Kampung Kechau Tui, Azmi Mat Ludin.

Menurut beliau, banjir kilat berkenaan juga disebabkan terdapat kegiatan perlombongan berdekatan kawasan itu sehingga menyebabkan air Sungai Tui melimpah dengan terlalu cepat.

"Pemaju sesebuah projek perlu prihatin dengan keadaan itu supaya tidak berlaku banjir kilat dan mengganggu keselesaan penduduk pada masa akan datang," katanya.

Didik pengguna internet lebih rasional

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

MARAN 11 Nov. - Pengguna internet di negeri ini diminta melayari program 'Klik dengan Bijak' anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan rasional semasa mengakses laman sosial dan sesawang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, program itu diadakan bagi meningkatkan kadar celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kesedaran penggunaan internet.

Menurutnya, program itu sangat baik bagi mengingatkan pengguna tentang tanggungjawab dan memastikan mereka mengetahui apakah kandungan atau perisian penggunaan tersebut.

"Pengguna perlu diingatkan bahawa penggunaan laman sosial seperti Facebook, Twitter, dan lain-lain tidak berseorangan di laman maya, tetapi bersama ribuan orang yang membaca serta berkongsi maklumat.

"Oleh itu, catatan negatif seperti fitnah dan memburukkan individu, tokoh, institusi, pertubuhan dan pihak lain boleh menjejaskan reputasi pihak terbabit,'' katanya selepas merasmikan program Hari Bersama Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kampung Chenor yang turut dihadiri Pengarah SKMM Wilayah Timur, Norazhar Hasan di sini semalam.

Katanya, SKMM mempunyai kaedah tersendiri mengesan maklumat dan fitnah yang disebarkan melalui laman sosial apatah lagi membabitkan keselamatan negara serta kepentingan awam.

Tegasnya, keghairahan pengguna mengeksploitasi laman sosial untuk memberi komen negatif melampau dan sensitif seperti perkauman dan agama boleh 'memakan diri sendiri'.

"Pengguna perlu menggunakan laman sosial atau media baharu itu dengan bijak bagi mengeratkan silaturahim, mempromosi produk dan menyampai mesej lebih bertanggungjawab,'' katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul turut mengingatkan pengguna supaya tidak menggunakan kecanggihan ICT yang disediakan untuk ' menyerang pemimpin kerajaan.

"Pada masa sama, mereka perlu berhati-hati dengan jenayah siber yang banyak berlaku di laman maya kerana ada pengguna mudah terpengaruh dengan 'ayat-ayat cinta'," katanya.

Pengalaman baharu di Taman Safari Bukit Gambang

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

ZIRAFAH dan banyak lagi haiwan terdapat di Safari Gambang yang mula dibuka pada bulan Mei lepas

KUANTAN 11 Nov. - Taman Safari Bukit Gambang (TSBG) merupakan tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini yang kini menjadi tumpuan ramai pengunjung dari seluruh negara terutama pada cuti am dan hujung minggu.

Taman safari berkeluasan 55 hektar itu menempatkan 454 spesies hidupan liar yang kebanyakannya dari luar negara sekali gus merupakan taman safari terbesar di negara ini mengikut spesifikasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)

Eksekutif Kanan Pemasaran dan Komunikasi, Bukit Gambang Resort City (BGRC), Zoe Soo (gambar) berkata, TSBG sesuai untuk semua lapisan masyarakat kerana para pengunjung berpeluang melihat dan menyentuh dengan lebih dekat hidupan di safari itu.

"Sejak dibuka kepada umum Mei lalu, empat zon telah beroperasi iaitu Wild Savannah, Simba Hill, Night Jungle dan Foreign Village yang kebanyakannya menempatkan beberapa spesies hidupan liar yang hampir pupus dari luar negara seperti dari benua Afrika dan negara Australia.

"Menariknya, setiap spesies diambil secara berpasangan bagi memudahkan mereka membiak dan pengunjung diberi peluang untuk menyentuh dan membelai anak-anak haiwan yang baru dilahirkan seperti singa putih dan kanggaru putih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zoe, beberapa zon yang masih dalam pembinaan seperti Forest Land, Land of Predators, Desert Land dan Bear Mountain turut dibuka sebahagiannya walaupun bakal siap sepenuhnya pada Disember ini.

"Para pengunjung dapat merasakan mereka seolah-olah mengembara di pinggir hutan yang berbukit-bukit dengan pelbagai jenis hidupan seperti gajah, kuda belang, zirafah, badak sumbu, harimau, singa, burung unta, kerbau merah jambu, rusa dan dubuk bebas berkeliaran.

"Namun pengunjung tidak perlu bimbang soal keselamatan kerana pengembaraan tersebut menggunakan sebuah bas perantara yang mempunyai tingkap luas," jelasnya.

Menariknya, kata beliau, pertunjukan haiwan dengan pelbagai aksi turut diadakan dua kali sehari iaitu pada pukul 3 petang dan 8 malam di Village Arena yang berkapasiti 2,000 pengunjung dalam satu-satu masa.

Tiket pula dijual pada harga RM48 bagi dewasa dan RM28 bagi kanak-kanak.

Sementara itu, seorang pengunjung, Roslan Mohd. Noor, 45, dari Kuala Besut, Terengganu berkata, TSBG memberi peluang kepada mereka melihat pelbagai jenis hidupan yang kian pupus dan tidak terdapat di Malaysia.

"Selama ini kita hanya melihat haiwan seperti dubuk, singa putih dan kanggaru melalui kaca televisyen tetapi di sini kita dapat melihatnya dengan jelas dan bergambar bersamanya.

"Selain menghiburkan, taman safari ini turut memberi pelbagai maklumat kepada kanak-kanak mengenai hidupan liar yang wujud di dunia ini," jelasnya.

Bagi Nur Asiyah Faizuman, 20, dari Cheras, Kuala Lumpur, dia begitu gembira apabila dapat melihat dan berinteraksi bersama pelbagai hidupan liar dengan lebih dekat.

"Saya sangat gembira apabila dapat memberi makanan kepada zirafah dan burung-burung. Paling menarik apabila saya sendiri berada dalam sangkar burung dan bebas menangkap pelbagai jenis burung yang begitu cantik," kata penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved