Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Khairy sedia bersemuka dengan pemimpin FAM

Posted: 11 Nov 2013 12:00 AM PST

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini menyatakan persetujuan untuk bersemuka dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan kemelut antaranya dan badan itu.

"Saya tidak ada masalah untuk berbincang," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Beliau ditanya sama ada bersedia untuk bersemuka dengan FAM bagi menyelesaikan isu berbangkit susulan saranan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan semalam, yang berkata Khairy perlu mengambil pendekatan secara bersemuka bukan menegur badan induk bola sepak tersebut secara terbuka.

Sejak kebelakangan ini Khairy lantang mengkritik FAM antaranya bersabit jualan tiket final Piala Malaysia dan kemuncaknya teguran terhadap Jawatankuasa Keselamatan FAM susulan penemuan pistol di dalam tandas di Stadium Shah Alam semasa final Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang pada 3 November lalu.

Khairy sebelum ini dipetik berkata segala kritikan beliau selama ini adalah demi kemajuan bola sepak tanah air dan bukan bermaksud untuk membalas dendam kepada kepemimpinan FAM. - BERNAMA

FAM saran menteri bersemuka

Posted: 10 Nov 2013 10:26 AM PST

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin diminta berhenti mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara terbuka, sebaliknya lebih baik mengatur satu mesyuarat atau pertemuan dengan barisan Exco FAM bagi membincangkan masalah yang timbul.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, Khairy perlu mengambil pendekatan lebih harmoni umpama bapa dengan anak dalam menangani isu yang timbul bagi mengelak sebarang persepsi buruk terhadap FAM sehingga mengeruhkan lagi keadaan.

Jelas beliau, Kementerian Belia dan Sukan sendiri selama ini tidak pernah memanggil satu mesyuarat dengan FAM meskipun mempunyai kuasa melakukannya, justeru pendekatan bersemuka perlu dilakukan secara kerap selepas ini.

"Untuk menjaga keharmonian saya cadang antara menteri dan persatuan ia dibuat secara mesyuarat atau bersemuka lagipun kementerian ada kuasa untuk melakukannya.

"Menteri boleh panggil mesyuarat atau secara santai, saya yakin barisan Exco (FAM) pasti akan hadir malah ia memberi peluang kepada menteri nyatakan apa yang berlaku dan kami dalam FAM boleh meluahkan semua masalah yang timbul untuk dicari jalan penyelesaian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia mengulas kenyataan Khairy dalam media semalam bahawa beliau sudah bosan dengan FAM ekoran badan bola sepak itu yang dikatakan tidak mahu menerima teguran.

Khairy dilaporkan berkata, segala kritikan beliau selama ini adalah demi kemajuan bola sepak tanah air dan bukan bermaksud untuk membalas dendam kepada kepemimpinan FAM.

Menurut beliau, kritikan tersebut telah disalahertikan sedangkan itu adalah bukti yang beliau amat sayangkan bola sepak Malaysia dan mahu melihat sukan nombor satu negara itu terus maju.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kenyataan yang mendakwa FAM tidak mahu menerima teguran adalah tidak tepat, sebaliknya badan tersebut juga mempunyai peranan sama iaitu mahu memajukan bola sepak Malaysia.

Jelasnya, FAM sentiasa terbuka dengan sebarang kritikan, namun ia perlu dilakukan dengan betul untuk mengelakkan sebarang salah faham yang membawa kepada pandangan negatif masyarakat.

"Saya rasa setiap kritikan akan dipertimbangkan oleh FAM cuma platform itu kena betul sebab kalau dalam akhbar mungkin ia disalahertikan juga.

"Seperti yang macam Khairy cakap mungkin dalam intonasi yang berbeza cuma apabila masuk dalam akhbar ia menjadi tidak seperti yang digambarkan oleh beliau.

"Bila kita bersemuka itu amat baik, kami di FAM tiada sebarang kepentingan peribadi dan matlamat kami sama iaitu memajukan sukan bola sepak justeru perlu ada satu pertemuan antara semua Exco dengan menteri," kata Takiyuddin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved