Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


RM600 juta bina, naik taraf sekolah

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan memukul gong ketika merasmikan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul, Kuala Pilah, kelmarin.

KUALA PILAH 10 Nov. - Peruntukan sebanyak RM600 juta dibelanja bagi menampung kos pembinaan bangunan baharu termasuk menaik taraf infrastruktur sekolah di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Pusat itu telah diagihkan kerajaan negeri bagi menaik taraf kemudahan termasuk pembinaan bangunan baharu sekolah lama di negeri ini.

"Kini kita dapat lihat hasil daripada perbelanjaan itu melalui bangunan baharu yang siap dibina di Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul ini termasuk sekolah lain di seluruh negeri yang terlibat dalam proses peningkatan prasarana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu di Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul, Kuala Pilah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abdul Samad Ibrahim dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Kalsom Khalid.

Jelas Mohamad, inisiatif tersebut selari dengan dasar kerajaan negeri menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu.

"Fasa pertama yang dilakukan adalah meningkatkan pembangunan fizikal khususnya menukar bangunan lama di luar bandar kepada bangunan baharu dan serba moden.

"Kita tidak mahu sekolah di luar bandar terus terpinggir dengan mempunyai bangunan lama yang uzur serta kurang kemudahan dan dan tenaga pengajar," ujarnya.

Katanya, sekiranya masalah itu tidak diberi perhatian secara tidak langsung meningkatkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar berikutan tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah yang kurang kemudahan.

Tambahnya, sebaik fasa pertama itu diselesaikan, fasa kedua pula akan menumpukan usaha ke arah melonjakkan kecemerlangan pencapaian pendidikan dengan melaksanakan pelbagai program meningkatkan prestasi pelajar.

"Malah, pihak Yayasan Negeri telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi melatih guru khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam meningkatkan kemahiran tenaga pengajar sekali gus memberi kesan terhadap peningkatan keputusan pelajar terutamanya di kawasan luar bandar.

"Kini kita menuai hasil kecemerlangan menerusi peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang menduduki tiga tempat teratas dari segi pencapaian keputusan cemerlang seluruh negara," ujarnya.

Kemas perlu kaji modul tabika

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

Jalaluddin Alias (tengah) menyampaikan sijil kepada seorang pelajar pada majlis penyampaian sijil Tabika Kemas Ulu Klawang di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Serambai dekat Jelebu, Negeri Sembilan, kelmarin.

JELEBU 10 Nov. - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) disaran meneliti semula modul pendidikan kanak-kanak peringkat tabika dalam memastikan golongan terlibat menerima perkembangan ilmu selari dengan arus pembangunan semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias berkata, landskap pendidikan iaitu bagaimana cara untuk mendidik anak-anak perlu mengalami perubahan dari semasa ke semasa melalui sistem pendidikan baharu.

''Oleh itu, saya menyarankan Kemas supaya dapat mengubah sistem kokurikulum pendidikan bagi kanak-kanak tabika sedia ada agar seiring dengan arus kemajuan yang kita lalui kini.

''Saya tidak kata sistem sedia ada pada hari ini tidak baik sebaliknya sukatan pendidikan yang lebih proaktif iaitu pendidikan baru mesti diperkenalkan kepada anak-anak ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sijil Tabika Kemas Ulu Klawang di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Serambai dekat sini semalam.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata, inisiatif itu perlu dilaksanakan bagi memastikan generasi akan datang tidak tercicir dengan perkembangan ilmu yang sentiasa berubah dalam arus pemodenan dunia.

''Sekiranya kita masih kekal dengan sistem pendidikan sedia ada maka anak-anak ini khususnya di kawasan Jelebu akan ketinggalan daripada apa jua pembangunan, termasuk soal berkaitan dengan teknologi maklumat dan sebagainya.

''Justeru, Kemas perlu menjalankan penyelidikan bagi membentuk satu sistem pendidikan baharu bagi peringkat pra sekolah lagi supaya mereka bersedia dengan apa saja perubahan baru berlaku di negara ini," katanya

Tambahnya, beliau tidak mahu tabika Kemas hanya dikenali sebagai tempat untuk menjadi pengasuh atau tempat ibu bapa menyelesaikan masalah bagi menjaga anak-anak mereka ketika mereka bekerja.

SERT pasukan elit Sains tangani kecemasan

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

REMBAU 10 Nov. - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) akan menubuhkan secara rasmi pasukan kecemasan yang digelar Sains Emergency Responce Team (SERT) pada awal tahun hadapan.

Pengurus Besarnya, Zulkifli Ibrahim berkata, pasukan itu akan terlibat secara total dalam apa juga hubungkaitnya dengan kes kecemasan membabitkan air, loji, stesen dan sumbernya, serta jika ada yang melibatkan orang ramai.

''Jika ini berlaku dalam semua aset Sains, pasukan ini akan terlebih dahulu berada di lokasi bagi kerja-kerja awalan kecemasan sebelum diambilalih oleh pasukan penyelamat seperti bomba, polis dan hospital," katanya di Sawah Raja, dekat sini baru-baru ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan kecemasan 'kebocoran klorin' yang dilakukan SERT di Loji Rawatan Air Sawah Raja dekat sini.

Kata Zulkifli, buat masa ini, Sains mempunyai satu pasukan SERT yang terlatih dan kecekapan mereka sedang ditingkatkan dengan bantuan pakar.

''Mereka boleh melaksanakan kerja kecemasan terutamanya di Loji Rawatan Air di Sawah Raja ini pada waktu ini. Bagi Loji Rawatan Air di Sungai Terip, Jelai, Gemencheh, Linggi, Ngoi-Ngoi, pihak kami akan menubuhkan pasukan SERT di situ pada tahun hadapan," tegasnya.

Apa pun kata Zulkifli, semua anggota SERT ini akan diberi latihan dengan tumpuan diberikan dalam aspek pengawasan di loji-loji.

''Kita mahu anggota SERT ini lebih bersedia dan mahir menangani apa juga bentuk kerosakan dan ancaman di loji serta segera bertindak bagi mengelakkan insiden lebih buruk berlaku," tegasnya.

Sementara itu pada sesi latihan tersebut, anggota SERT telah pun dibantu pasukan polis dari Balai Polis Kota, Rembau, Bomba dan Penyelamat negeri serta Pejabat Kesihatan Daerah Rembau bagi menangani 'kebocoran klorin' di loji ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved